Tekad tak mahu diri menbawa fitnah pada agama

Salam.. terima kasih sudi baca. Saya bukan nak mengadu tapi saya nak kongsi cerita

Ceritanya begini.. kat kampung saya ni pedalaman sungguh, kalau pernah nampak dokumentari cikgu mengajar kat sabah sarawak yang naik perahu tu, haa.. itulah dia gambaran kampung saya.

Kampung saya ni penghuninya buta huruf, tak membaca, jadi ceritalah macam mana indahnya islam tu kat merekapun mereka takkan percaya. Alkisahnya saya ni bekas kristian dan bekas agama saya ni memang menitik beratkan soal kebersihan dan gaya hidup yang sihat. Kopi, udang dan ikan tidak bersisik tak boleh makan, merokok ke minum arak apatah lagi, memang haram ! Pakai emaspun tak boleh tau. Siapa kata islam lagi susah? Agama ni lagi susah. Kalau dah masuk petang jumaat dah tak boleh nyanyi lagu selain dari puji pujian sampailah petang sabtu tu. Husband saya cakap macam agama yahudi, ye agama saya ni sembahyang hari sabtu. Agama kristian lain sembahyang hari ahad.

Saya nak sharelah macam mana kelakuan kita ni lebih banyak memberi impak daripada kata-kata kita. Bila pastor masuk kampung tu, mereka tidak cerita pasal kristian lagi, mereka duduk situ dan bercucuk tanam macam orang kampung situ, di samping tu mereka ajarkan lagu puji pujian dan mereka memang suka lagukan jadi mereka enjoy. Pastor nipun pembersih dan akhlak yang baik. Cakapnya lembut dan suka senyum. Dan beginilah cara pastor menyampaikan mesej pada orang kampung sehingga satu kampung memeluk kristian.

Bila kami kenal orang islam. Allah.. minum arak, merokok, pengotor dan suka buat pemujaan. Contohnya masak pulut kuning pastu hidang kat orang dah meninggal, mereka kata nanti arwah lapar kat kubur. Orang kristian kampung saya langsung dah tak percaya semua ni dan cakap mereka ni puja syaitan bukan Tuhan. Maka makin jauhlah jurang antara kristian dan muslim.

Bila saya balik dr kl saya sembang dengan nenek cakap islam ni bagus. Tau nenek jawap apa? Eee… islam ni tak baguslah tengok jela org islam tu pakai ketat nampak sana sini. Time tu saya baru tingkatan 4 jadi takdelah saya terfikir nak buat perbandingan saya (saya pakai tudung dan pakai pakaian longgar) dan org islam yg lain. Saya terkedu je dan tak tau dah nak terus macam mana. Adeh..

Saya cakap dengan nenek islam tak minum arak tau, dosa. Nenek saya jawap tapi kenapa org islam minum juga? Lagi sekali saya tak pandai jawap itu adalah dosa individu tidak mewakili agama tu. Hmmm.. budak tingkatan 4 kan. Adeh.

Apa yang saya nak sampaikan ialah.. ada orang level pemikiran dia setakat tu je, dia menilai berdasarkan apa yang dia nampak, dia tak boleh dah nak banding bandingkan walaupun nampak dengan jelas. Jadi benda mudah dia nak hadam ialah apa yang dia lihat. Jika dia baik maka kita ikut dia, dia jahat kita salahkan semua (kenapa tak dia sorg je kan? Yg tu musykil huhu).

Kita usahalah sama-sama memperbaiki diri. Semoga kita tidak menjadi fitnah pada agama yang indah ini

– Biarlah rahsia