Terasing

Hai, panggil aku S, seorang perempuan dan menginjak usia pertengahan 20-an. Aku terpanggil untuk menulis di sini sebab aku dah tak tahu mana nak salurkan fikiran ini. Beberapa orang yang aku ceritakan hal ini nampaknya tak memahami bahkan lagi buat aku hilang mood nak meluahkan. Straight to the point, ada satu hal yang mengganggu fikiran aku kebelakangan ini.

Hal ini telah lama terjadi kepada aku sejak aku kecil. Tapi tidaklah begitu teruk, cuma sejak aku berusia 19 tahun, ia semakin ketara. Aku ada satu masalah (aku anggap ia sebagai masalah) di mana aku sering bermimpi perkara yang pelik-pelik. Pelik itu maksudnya pula, sesuatu yang logik akal aku tak boleh terima. Sebagai contoh, aku bermimpi perkara yang telah terjadi terhadap seseorang (biasanya rahsia orang itu), perkara yang sedang terjadi, atau bakal terjadi. Aku berikan lagi gambarannya, aku tidur dan aku bermimpi, dalam mimpi itu aku lihat kawan aku berada dalam sebuah bilik bersama dengan seorang lelaki, bersedia untuk “bersama”. Aku pun berada disitu tapi mereka seperti tidak sedar kehadiran aku, puas aku menjerit jangan lakukan, tapi mereka tak dengar. Seakan-akan aku tak wujud dimata mereka. Dan rupanya, “hal” itu memang terjadi antara mereka berdua. Lagi, aku ternampak dalam sebuah mimpi kawan aku dibelasah teruk sewaktu sekolah menengah, seakan-akan dibuli. Rupanya dia disekolah memang dibuli.

Aku selalu bermimpi yang aneh. Aku akan bermimpi aku sedang belajar bahasa arab/kitab dengan seseorang yang aku tidak nampak siapa tapi aku dengar suara dia. Dan anehnya, aku mudah sekali untuk faham bahasa arab dan maksud kitab. Di kelas, aku kira perform juga la walaupun aku bukan dari sekolah agama. Aku selalu bermimpi kejadian aku sewaktu kecil, sepertinya aku kembali ke masa dulu untuk lihat rekod pengalaman aku. Yang peliknya, dalam mimpi aku yang melihatkan diri kanak-kanak aku, aku melihat diri aku yang sudah dewasa ini menjaga diri aku yang kecil itu. Korang faham tak? Dulu waktu kecil aku “nampak” hantu, orang bersayap terbang ke langit dan macam-macam, dalam mimpi aku, aku dikejar oleh makhluk seakan-akan anjing tapi kepala dia lain sikit, dan kemudian aku nampak diri aku yang dewasa selamatkan aku dan menghalau makhluk-makhluk itu. Ini betul, bukan rekaan.

Dulu sewaktu aku berumur 19-21, aku sangat menjaga hubungan aku dengan Tuhan. Dengan cara itu, ia buat hati aku terisi, aku tak rasa kosong. Tapi lagi banyak benda aneh akan terjadi, mimpi yang pelik tentang pesawat terhempas, terbakar, orang beramai-ramai bawa sepanduk tanda protes, seorang lelaki membawa asap berdiri atas awan,.bendera arab saudi berkibar. Semua itu macam satu puzzle, datang satu-persatu dan sekarang pula, banyak kejadian yang aku boleh kaitkan dengan apa aku nampak tu. Sebelum tu aku jelaskan, kadangkala ia bukan dalam bentuk mimpi, ia datang seperti visi sepintas lalu sewaktu aku memejam mata. Aku takut sebenarnya.

Aku juga ada satu masalah yang mana bila aku tidur atau pejam mata, bila aku berhubung dengan hati aku untuk rasa ketenangan, tiba-tiba aku lihat sekeliling aku lain dari biasa. Aku nampak makhluk-makhluk pelik seperti hantu, dan aku nampak diri aku yang zahir sedang pejam mata. Dan aku boleh berjalan-jalan ke sekeliling aku, bezanya ialah aku yang sebenar masih lagi tidur/pejam mata, tapi “aku” pula sedar di satu dimensi lain. Dulu aku tak boleh kawal diri, bila aku tidur, tiba-tiba aku merasa diri aku melayang dan sampai ke satu alam lain. Kadang ke sungai, kadang ke gunung, kadang belajar, kadang berlawan dengan hantu, hahaha, macam lawak pun ada. Dan bila aku terbangun dari tidur, aku akan rasa agak letih sebab aku bermimpi macam-macam, bezanya ialah, mimpi itu seakan real, kalau orang tanya, aku boleh describe keadaan/tempat tu macam mana dengan keadaan sebenarnya. Sama!

Banyak lagi aku mahu cerita, tapi aku pun penat nak taip. Oh ya, kebanyakan peristiwa ni terjadi sewaktu aku jaga hubungan dengan Allah lagi-lagi waktu umur 19-21 tahun dahulu. Kerana takut, aku dah kurang berzikir, jaga solat ala kadar aje. Tapi jujur aku cakap, bila berkeadaan macam ni, aku rasa ada sesuatu yang kurang dalam diri aku, macam kehilangan makna diri yang terdalam. Dua hari lepas, aku rasa rindu sangat dengan Tuhan, aku zikir semula dan nah, datang mimpi pelik ini. Tentang rahsia terdalam orang-orang terdekat aku, tentang pemikiran orang lain. Aku tak tahu nak buat macam mana.

Lagi satu, biasanya apa aku nampak, ia datang dari hati aku. Bila aku pejam mata dan fokus pada apa aku mahu, aku akan nampak sekeliling, dalaman seseorang itu, pemikiran dia, tapi hal ni aku boleh nampak dengan jelas hanya bila aku dalam keadaan tenang yakni, hati aku berhubung dengan kebenaran. Kadang kala waktu huha huha pun boleh tapi jarang. Cuma mimpi sahaja, ia selalu datang tak kira masa. Dan dalam hati aku, ada satu suara yang bila aku dekat dengan Tuhan, aku boleh dengar suara itu. Bila aku marah, dia akan cakap sabar, bila aku dah hilang semangat dan mahu bunuh diri (ya aku pernah buat cubaan bunuh diri), suara itu memujuk untuk kembali kepada Allah. Untuk terus bersabar. Suara tu mendamaikan, kadang cukup satu perkataan “sabar”, terus aku jadi sejuk hati. Dan dia selalu berpesan hati-hati, jangan terperangkap dengan tipu daya syaitan. Cara syaitan sangat halus, jangan sampai terkena belitan syaitan. Sebab itu, aku jadi skeptikal. Apa yang terjadi, aku perlu berhati-hati dan tapis, sebab boleh jadi penipuan datang dalam bungkusan dilabel “kebenaran”. Apa yang aku mampu buat ialah terus memohon petunjuk dari Tuhan, jaga keikhlasan hati. Sebab aku tak tahu kenapa, tapi aku sangat takut dengan semua ini.

Pembaca sekalian, berilah nasihat untuk aku ambil pengajaran. Sebab aku terasa kehilangan diri aku, aku terlalu banyak menafikan kebenaran dan peristiwa yang jadi dalam hidup aku. Aku takut berhadapan dengan kebenaran. Aku betul tak tahu apa yang terjadi dengan aku. Aku juga harap kalau ada orang yang mengalami hal yang sama seperti ini boleh berhubung dengan aku, sebab aku rasa terasing dalam dunia ni.
Akhir kalam, terima kasih sudi baca luahan ni, aku serius rasa lega dapat luahkan.

– S

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit