Aku Lisa, telah berkahwin dan berumur lewat 20-an. Aku seorang pemegang ijazah di dalam jurusan psikologi dari universiti terkemuka di Malaysia.
Lepas grad, aku menyesal ambil bidang ni sebab peluang pekerjaan sangat terhad dan kebanyakan peluang di dalam sektor awam. Berpuluh kali jawab exam dan interview, namun semuanya menghampakan.
Kerja pertama aku guru taska, lama juga aku kerja dalam setahun enam bulan. Pada yang pernah kerja dalam bidang ni, mesti korang tahu betapa rendahnya gaji guru-guru taska dan tadika ni.
Kerja tak tentu masa, dah penat jaga budak dari pagi sampai petang lepas tu kena bersihkan satu taska. Kebersihan pula ada harian dan mingguan. Dan disebabkan para pekerja memang tinggal di taska, hujung minggu diberi tugas mengecat dan membuat alat bantu mengajar.
Semua tu tiada OT, hanya dijanjikan pahala kerana mendidik anak-anak yang suci dari dosa.
Aku dijanjikan kenaikan gaji setelah memperoleh sijil KAP, tetapi sia-sia. Majikan memberi alasan perniagaannya semakin merosot dan menolak permohonan kenaikan gaji semua pekerja. Sedih juga, tapi lepas tu aku mula cari kerja lain.
Aku redha, dan aku bersyukur bekerja di sana kerana segala ilmu yang aku dapat aku aplikasikan pada anak-anak. Aku berhenti dengan cara baik walaupun majikan berat untuk melepaskan aku. Kebanyakan pekerja yang datang bertahan tak sampai sebulan.
Selepas tu aku bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat kecil. Gaji RM1300 masa tu dan tiada elaun atau gaji lebih masa. Lepas tolak EPF adalah tinggal RM1100.
Kerja bertambah dari hari ke hari. Dari kerani tiba-tiba aku kena packing barang untuk pengeposan online dan tak lama lepas tu aku juga kena jaga stor. Bila barang hilang terus tolak gaji tanpa check CCTV terlebih dahulu.
Koyak aku, baki gaji tinggal RM800 memang cukup-cukup makan. Sebenarnya tak cukup, hujung bulan minta duit pada ayah. Hari-hari balik 10 malam sebab kerja aku sebagai kerani banyak yang tak siap sebab banyak habiskan masa dalam stor dengan packing barang.
Dekat syarikat ni lah aku berhenti dengan cara paling tak baik, aku terus cabut je. Kebetulan malam tu aku kena kejar dengan orang tak betul, nasib baik sempat masuk kereta.
Esoknya aku mengadu pada manager, aku tak sanggup dah balik lewat tapi ditolak. Dengan OT tak bagi langsung, nak je aku report pada buruh.
Hari yang sama gaji masuk, esoknya aku terus lesap.
Aku pindah ke negeri suami yang masa tu tunang aku. Dia yang banyak bantu aku cari kerja, sampailah aku dapat kerja di sebuah kilang.
Masa tu aku dapat jawatan pembantu HR, gaji cecah RM2000.
Enam bulan je aku kerja, lepastu PKP. Kilang terpaksa buang semua pekerja baru dengan pampasan gaji dua bulan. Sedih betul aku, kerja situ stress tapi aku boleh tahan. Mungkin sebab cuti yang seimbang dan waktu kerja 9 pagi hingga 6 petang. Stress pun bila ada isu berbangkit je.
Aku menganggur lama, lepas tu aku kahwin.
Lepas kahwin aku kerja sebagai telemarketer yang promote insuran tu. Walaupun bercakap dalam telefon dan orang tak kenal kita, tapi koyak juga bila kena maki hamun hari-hari.
Aku hadap je sebab kerja ni ada basic walaupun aku tak achieve target untuk bulan tu. Tak sampai setahun kerja, PKP balik. Putus asa betul aku dengan PKP ni.
Syarikat hanya kekalkan pekerja yang perform dan top sales sahaja, selebihnya dibuang tanpa pampasan. Ramai juga yang senasib dengan aku, dan aku sedar telemarketer bukan bidang aku.
Aku tak ada kemahiran memujuk orang untuk mengambil produk yang ditawarkan. Bila pelanggan kata tidak, aku okey sahaja. Aku faham, ketika tu ramai yang terjejas pendapatan.
Selepas tu aku kerja di sebuah klinik, dan masa tu kes memang meningkat berganda-ganda. Suami tak izinkan sebab berisiko untuk aku yang mengandung anak pertama, tetapi aku berkeras juga.
Bukan niat aku nak derhaka, tetapi pendapatan suami tidak mencukupi untuk kami. Banyak yang tertunggak sana sini. Muda-muda nama dah sangkut sebab hutang PTPTN tak bayar. Nak bayar untuk dia pun tak lepas, apatah lagi nak bayar untuk dua orang.
Walaupun gaji di situ kecil, tapi aku tenang. Majikan dan rakan sekerja baik-baik belaka. Aku positif covid ketika kandungan aku berusia 8 bulan, dan terus dikejarkan ke hospital.
Aku terpaksa dikuarantin di hospital dan disebabkan keadaan kesihatan ibu dan bayi yang tak mengizinkan aku terpaksa bersalin secara pembedahan. Pengalaman yang tak akan aku lupakan sampai bila-bila.
Aku berhenti kerja atas desakan suami yang risau akan kesihatan anak dan isterinya. Aku sedih sebab aku sayangkan klinik tersebut.
Selepas berpantang, aku bekerja di bahagian retail di syarikat yang sama dengan suami. Suami yakin aku memang boleh perform dan berpotensi di dalam syarikat tersebut.
Satu syarikat, tapi tidak sebumbung. Jarak kedai kami 5km, dan suami terpaksa berulang-alik jika aku memerlukan bantuan kerana aku masih baru dalam bidang tersebut.
Ya, aku perform dan gaji aku lagi tinggi dari suami dan itu membuatkan aku sedih. Aku baru bekerja, dan dia dah lebih 5 tahun berkhidmat. Langsung tiada kenaikan gaji untuk pekerja lama sedangkan dia yang banyak berkorban untuk syarikat tersebut.
Bila aku buat salah, segala kesalahan diletakkan di atas bahu suami dengan alasan suami pekerja senior. Aku akui, bila kerja terlalu banyak memang aku jadi cuai dan kurang fokus.
Workload sangat banyak. Report harian, mingguan dan bulanan wajib disediakan on time. Untuk report harian, aku wajib sediakan walaupun sedang bercuti.
Jika ada sebarang perubahan terhadap dokumentasi yang aku lakukan, wajib buat on the spot walaupun masa tu aku MC ke, melancong ke takpun tengah beli groceries.
Jawatan aku promoter, tapi aku kena kira margin untung rugi cawangan yang aku jaga. Gaji pekerja yang bekerja dengan aku pun, aku yang kira. Tak pernah ya aku buat payroll, masa kerja HR dulu pun aku tak sempat belajar banyak.
Staff aku kata aku dah macam manager, tapi syarikat tak pernah declare jawatan tu untuk aku. Dan sama dengan suami, dia yang uruskan cawangan tu dari A sampai Z, tapi dia bukan manager. Suami kata jawatan tak penting, kerja je sehabis baik.
Tugas yang diberikan pun kadang-kadang tak jelas, tiba-tiba suruh aku buat. Tiada arahan direct, tugas diberikan secara pass-pass. Salah satu sebab ialah tak semua orang atasan tau berkomunikasi dalam bahasa melayu atau inggeris.
Kadang-kadang nganga jugak aku, apa aku nak buat ni? Tanya pada orang yang bagi arahan, dia pun tak tau apa yang aku kena buat.
Upper management sangat kasar, dan benda tu buatkan aku fobia. Tengah beli barang pun aku berhenti tepi siapkan kerja dulu. Aku bukan takut aku kena marah, tapi aku takut suami yang kena marah disebabkan aku.
Aku tak tau kenapa mereka jarang marah aku, tapi suami memang teruk dibantai dalam group kerja.
Sistem yang digunakan juga baru untuk aku, yelah lain syarikat lain sistem. Malah suami juga menggunakan sistem yang lain. Bila ada sesuatu yang aku keliru, pertanyaan dijawab dengan pertanyaan.
Perbezaan bahasa pun aku rasa satu isu yang besar sebab aku, dua orang staff dan suami je yang berbangsa melayu. Kadang-kadang mereka tak faham apa yang kami maksudkan dan sebaliknya.
Bahasa inggeris pun ke laut, tonggang terbalik jenuh aku nak hadam apa yang dorang nak. Tiba-tiba kena marah. Fuhhh.
Dua lagi staff yang lain tu pun memang nak berhenti sebab kata mereka upper management sangat kasar. Salah sikit memang habis kena marah. Tengah solat jumaat pun kalau tak respon teruk kena maki.
Aku dah hilang sikap profesional kerana aku isteri, lebih untuk melindungi suami.
Dulu aku selalu marah suami bila dia sibuk dengan telefon waktu cuti. Tak pun masa cuti sibuk nak pergi kedai nak siapkan kerja tapi sekarang aku dan suami sama je. Tak ada beza langsung. Anak pun terabai, dua-dua sibuk dengan telefon.
Kalau lambat respon dalam group, maut menanti.
Aku tanya suami, kenapa masih bertahan? Suami kata sebab bos dia terlalu baik. Terlalu banyak jasa majikan terhadap dia. Di saat semua orang memandang rendah pada dia, bos dia lah yang bangkit mempertahankan dia.
Bila ada meeting dan semua orang cakap bahasa lain, bos yang buka mulut “please respect another races here.”
Dia nak balas dulu, baru dia nak move on. Sekarang dia tengah kumpul duit nak buka bisnes sendiri cuma dia belum berani.
Takut bisnes tak jalan, dia tak ada kerja.
Baru-baru ni suami ditawarkan kerja oleh pelanggannya sendiri kerana budi pekerti suami terhadap dia.
Ketika itu aku ada di situ, dan pelanggan tersebut mengatakan kali pertama berjumpa dia memaki hamun suami kerana barang yang dibelinya rosak setelah seminggu digunakan. Dia kata suami tenang, dan sedikit pun tidak melenting.
Sejak dari hari itu, dia menjadi pelanggan tetap suami sehingga kini.
Suami menolak dan meminta dia mempertimbangkan untuk mengambil aku sebagai pekerja. Kata suami aku lagi berhak bekerja di situ kerana waktu kerja yang seimbang dan aku boleh luangkan lebih masa untuk anak.
Pelanggan tersebut bersetuju tetapi aku masih dilema.
Semalam aku buat resume, aku baru sedar semua pekerjaan aku berlainan bidang. Aku rasa resume aku sangat negatif dan menunjukkan aku tak komited dalam sesuatu kerja. Seolah-olah aku kerap melompat dari satu syarikat ke satu syarikat.
Patut ke aku berhenti dan kerja di tempat baru? Atau timba pengalaman dulu di syarikat yang sekarang? Mohon pendapat semua pembaca.
– Lisa (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit