Tiada Manusia Yang Mulia :)
Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamua'laikum! :)
Jujur, aku tak kisah kalau confession aku ini diterbitkan atau pun tidak. Jika ada manfaatnya, terbitkanlah. Jika tiada, biarkan ia terkubur, cukup disini sahaja. Baiklah, aku bukan pelajar UIA dan aku juga bukan pelajar yang datang dari kalangan keluarga yang kuat agamanya. Cukup jika aku katakan, aku pun seorang manusia biasa, yang hari-hari tanpa malu melakukan dosa kepadaNya :'(
Baru beberapa minit yang lepas, aku membaca luahan seorang hamba yang menganggap dirinya umpama air musta'mal. Pernah terlanjur, pernah bermaksiat, sehinggakan suatu ketika dia dipandang keji oleh mereka yang beragama itu sendiri. Jujur, aku cuma tersenyum hambar. Terasa sedih sebab sebenarnya ramai manusia yang menjadi musta'mal tanpa sengaja. Bukan sahaja dia tapi aku, kamu dan mereka-mereka yang pernah melakukan dosa
Ya, mereka-mereka yang pernah melakukan dosa. Semuanya ibarat air musta'mal. Bagaikan air suci, namun masih bertaubat bermaksiat, bertaubat bermaksiat sehingga ke penghujung hayat manusia. Percayalah, tiada manusia yang tidak terlepas daripada melakukan dosa
Pernah terfikir tak, kenapa Allah itu Maha Pengampun?
Pernah terfikir tak, kenapa tiada manusia yang sempurna?
Aku yakin ramai antara kita pernah memikirkannya. Aku sendiri dibalik langsir, kadang termenung sendirian. Memikirkan betapa hebatnya Allah dalam setiap satu perancangan agungNya. Kadang, bila manusia mendambakan sesuatu yang lebih baik, Allah datangkan ujian dahulu, untuk Dia nilai manusia dan seterusnya berikan manusia sesuatu yang lebih baik daripada sebelumnya
Jujur aku kagum dengan ceritera kehidupan insan yang dikatakan musta'mal itu. Dalam hening hatinya, tiada manusia yang tahu siapa dirinya dipandangan Allah. Siapa dirinya dahulu dan apa asbabnya Allah kembali menarik Dia ke jalan Dia. Biarpun dia pernah ternoda dengan dosa-dosa yang lalu, biarpun dia merasakan diri dia musta'mal, sungguh sebenarnya Allah lebih kenal siapa dia
Jujur aku masih lagi kagum
Jalan cerita kehidupan dia, Allah aturkan segalanya dengan penuh hikmah dan ibrah. Dia yang pernah melalui setiap satu kegelapan, dia yang pernah melalui setiap satu kegeliciran, terlanjur lalu diambil kembali hatinya menuju Tuhan, dibawa kembali hakikat dan hidayah imannya menuju Tuhan. Ah! Satu kemanisan yang indah dan kemanisan ini milik mereka yang bertungkus lumus, yang bersusah payah kembali mencari Tuhan :)
Jujur aku cemburu dengan nikmat hidayah milikNya
Kamu tahu, segala yang dia telah lalui ini sebenarnya telah memberikan satu pembelajaran dan hikmah kepada dirinya sendiri dan kamu tahu apa antara ibrah dariNya? Antaranya adalah apabila dia tidak cepat memandang rendah pada mereka yang lain, yang pernah berdosa, sama seperti dirinya :)
Sebab itu kadangkala, aku merasakan satu perkara yang hakikatnya menyentuh jiwa aku yang penuh dengan nista
Mereka ini kadangkala lebih mulia darjatnya disisi Allah Taa'la. Mereka pernah hidup dalam limpahan kejahilan. Mereka pernah bersalah. Ambil sahaja ibrah dari kisah Saidina Umar A.S. Sahabat nabi ini sebelum Islamnya bagaimana? Selepas keislamannya pula bagaimana? Tidakkah setiap satu jalan kehidupannya dibawah jangkauan manusia? Menjadi salah seorang dari sepuluh sahabat Rasulullah yang dijamin syurga pula?
Nampak tak, bagaimana hikmah dan penilaian Allah itu kepada manusia? Ya, Allah tidak menilai manusia melalui kesilapan lalunya, melalui zaman-zaman gelapnya. Tapi Dia nilai manusia, dari usaha manusia untuk kembali, dari istiqamah manusia untuk kekal dijalan Ilahi, dari segala-galanya yang perlu untuk seorang hamba tunaikan hak-hakNya
Maka, perlu lagikah untuk kita anggap diri kita mulia?
Tidak, tidak selagimana kita masih berdosa :)
Dan buat kamu yang hidup dalam kehidupan beragama,
Mampukah kamu merasa, menghayati setiap satu nikmat hidayah yang Allah berikan kepada dia? Mampukah kamu memahami setiap satu keperitan yang dia hadapi tatkala dia cuba bangkit, keluar dan meraba-raba dalam kegelapan mencari jalan cahaya?
Tidak, kamu tidak akan mampu :)
Kerana kehidupan dia yang sebegitu, tidak akan menurunkan darjatnya disisi Allah Taa'la tapi sebaliknya, membawa dia ke satu tahap yang mana hanya dia yang mampu menikmatinya, In Shaa Allah! :)
Dan buat kamu yang menganggap diri kamu umpama air musta'mal, jangan merasa sedih. Jangan merasa layu. Biarkan segala yang berlalu itu, terus berlalu. Kamu tidak salah, sahabatku. Kamu cuma tersilap arah. Tiada istilah tidak layak, tidak suci untuk kamu kerana kamu juga manusia ciptaan Tuhan. Lumrah sahaja seorang manusia yang pernah melakukan salah. Tapi beruntungnya kamu, kerana kembali dibimbing Dia Yang Maha Penyayang. Jangan disia-siakan bisikan hidayah. Jangan dibiarkan ianya melepas. Selagimana kamu ada Dia Yang Esa, Percayalah! Percayalah tiada manusia yang mampu menghalang langkahmu menuju redhaNya :)
"Mereka yang hidup dalam limpahan cahaya dan suasana agama, tidak akan pernah merasai betapa sakit dan tabahnya seorang insan yang biasa-biasa, yang musta'mal kata mereka, keluar, meraba-raba dalam gelap dan hinanya kejahilan ke jalan cahaya milik Dia. Anggap sahaja diri ini penuh dengan lumpur-lumpur dosa. Maka, akan kau ketahui sakitnya manusia yang pernah berlumurkan hina dan noda"
Moga Allah ampuni kita semua
Hamba-hambaNya yang hina
Hamba-hambaNya yang "musta'mal" belaka
Sama ada dosa itu jelas dan nyata mahupun samar tanpa kata
In Shaa Allah! Moga Allah Redha kesemuanya :)
– Nordini