Nama saya Leeny (bukan nama sebenar). Berusia awal 50-an. Ibu tunggal anak dua seorang lelaki seorang lagi perempuan yang masing-masing berusia 23 dan 21 tahun.
Si abang baru habis belajar dan adik pula baru habis praktikal.
Tahun 1995 dapat pekerjaan di sebuah Kementerian di ibu kota dan ditakdirkan berkenalan dengan bekas suami yang ketika itu anggota beruniform.
Perkenalan berlangsung selama 3 tahun dan dalam tempoh tersebut kami bertunang dan merancang untuk berkahwin.
Dalam tempoh perkenalan itu tidak sedikit pun saya tahu bahawa dia ambil bahan terlarang dan tingkah lakunya langsung tidak menunjukkan dia seorang penagih. Sangat bijak menyimpan rahsia diri.
Almaklumlah saya sendiri tidak ada pengalaman keluarga yang begitu. Saya kenal kebanyakan kawan-kawan pejabatnya namun tak seorang pun yang mendedahkan siapa dia sebenarnya mungkin mereka pun tidak kenal dia sepenuhnya.
Setiap kali terjumpa mereka akan memuji dia ni seorang yang baik. Masa tu terasa bangganya berkawan dengan dia dan mungkin kita ni tak salah pilih pasangan tapi silapnya tidak siasat betul-betul siapa dia, siapa keluarganya.
Sehinggalah tiba masa pernikahan lagi sebulan dia telah ditangkap memiliki barang terlarang dan atas permintaan pegawainya, dia ditangguhkan penahanan atas sebab akan mendirikan rumahtangga.
Saya langsung tidak dimaklumkan dan memang tidak tahu apa-apa berkaitan kisahnya.
Sampailah hari pernikahan dan ketika saya pergi bertandang ke rumah dia keesokannya ada panggilan telefon yang ketika itu saya berada di sebelah suami dan mendengar perbualan mereka. Yang saya dengar perkataan positif dan laporan.
Masa tu saya dah tak sedap hati. Bila saya berulang kali bertanya apa yang berlaku katanya dia teraniaya. Masa tu saya menangis tak sangka di awal pernikahan saya diuji dengan berita ini.
Luluhnya hati.. masa tu saya tak tahu nak menyesal ke apa sebab mungkin ini kesilapan saya sebab tidak bijak dalam memilih pasangan hidup. Agaknya perkara mengenai tangkapan dia pun dirahsiakan mungkin takut saya tak jadi nak kahwin dengan dia.
Bila dipujuk akhirnya saya pun cuba husnuzon masa tu mungkin dia akan berubah sehinggalah Allah rezekikan saya mengandung selepas sebulan.
Bila kandungan masuk bulan keempat dia telah diarahkan untuk dibicarakan dan sehari sebelum dibawa ke mahkamah kawan-kawan pejabat datang berjumpa saya,
Dan memaklumkan berkaitan kes dia dan minta saya bersedia untuk ditinggalkan dalam tempoh tertentu bagi dia menjalani hukuman setelah disabitkan kesalahan.
Dia didapati bersalah dan ditahan di pusat tahanan yang kebetulan tidak jauh dengan rumah dan bermulalah aktiviti saya melawat dia di pusat tahanan sambil bawa kandungan dalam perut yang ketika itu baru masuk 4 bulan.
Sedihnya orang lain kahwin dapat bersama suami tapi saya terpaksa menyewa bilik dan asyik ulang alik melawat suami di pusat tahanan sambik bawa baby dalam perut. Tapi saya rahsiakan daripada semua orang termasuk mertua saya.
Bila dah bebas akhirnya diberhentikan dan selepas dia berhenti kerjamaka bermulalah episod sedih dalam hidup bila saya didapati mengandung anak kedua.
Saya masih bekerja. Bila dah terlibat dengan benda tu memang susah nak berhenti hingga lah dah mula naik tangan sepak terajang semua.
Selepas anak kedua lahir dan ketika anak dah berusia 2 tahun dan seorang lagi berusia 9 bulan dia dah tak mampu nak kawal diri.
Kerja sekejap sekejap berhenti dan nafkah memang tak payah cerita lah memang tungging terbalik dan akhirnya kami berpisah.
Walaupun dah bercerai tapi saya tetap izinkan anak-anak berjumpa dengan ayah dan atuk nenek mereka.
Sehinggalah sampai suatu ketika dia memujuk untuk kembali kepada saya dan selepas 7 tahun bercerai kami bernikah semula.
Mungkin masa tu masih sayang lagi dan memikirkan anak-anak yang selalu rindukan ayah mereka.
Tapi saya mengenakan syarat kalau nak kembali semula boleh asalkan dia tidak mendatangkan masalah kepada saya dan anak- anak.
Mulanya elok nampak macam berubah tapi lama kelamaan dia mula balik ke tabiat dia dan dah mula malas kerja. Sekejap kerja sekejap berhenti. Minta duit hari- hari.
Tak dapat duit dia tunggu depan pejabat. Tak bagi duit dia tak ambil anak balik sekolah sampai anak-anak terpaksa balik naik teksi.
Saya masa tu sampai telefon pun tak ada sebab asal beli je esok lusa dah kena jual. Periuk belanga barang letrik tong gas tak payah cerita la.. kejap ada kejap tak ada.
Anak-anak ni kadang-kadang tak bawa duit belanja. Terasa mental saya sangat sakit masa tu sebab setiap malam terpaksa fikir nak cari duit untuk dia dan risau anak-anak tak ada duit belanja.
Saya terpaksa cari duit tambahan menjahit untuk tampung keluarga terutama biawak hidup yang selalu menyusahkan keluarga. Sampai la saya terfikir dengan pertanyaan seorang rakan ofis yang banyak menolong saya ketika itu.
Dia tanya apa faedah dan kebaikan yang saya dapat dengan menyimpan dia sebagai suami yang banyak tanggungjawab dia tidak dilaksanakan. Bila fikir balik betul juga.. apa faedahnya kan.. sakit hati dan jiwa siksa lagi ada.
Dah macam hamba abdi lagi adalah. Pergi kerja cari duit, balik rumah selesaikan kerja rumah dan urus anak-anak.. satu masa terpaksa layan dia pulak.. kena bagi duit kat dia lagi..
Akhirnya saya mohon pada Allah setiap hari saya solat hajat minta bantuan Allah keluarkanlah dia dari hidup saya dan anak-anak dengan cara yang baik tanpa mengaibkannya..
Alhamdulillah dengan izin Allah ketika dia keluar dia ditangkap dan ketika dia dalam tahanan saya proses cerai kali kedua.
Dan akhirnya atas sebab-sebab yang munasabah kami bercerai dan last saya jumpa dia pada tarikh tersebut. Sehingga sekarang dah 8 tahun saya tak pernah berjumpa dia.
Cuma dia berhubung dengan anak-anak sahaja. Memang saya dah berjanji tak akan jumpa dia dan pesan pada anak-anak tolong halang kami dari berjumpa.
Kerana bekas suami saya pernah berterus terang pada saya dia mengamalkan sesuatu supaya saya lembut hati…
Alhamdulillah.. anak-anak sangat membantu. Mereka sangat melindungi saya dan cuba halang ayah mereka dari berjumpa saya. Sebab mereka antara saksi melihat kekejaman ayah mereka.
Syukur juga anak-anak tidak pernah benci ayah mereka. Setiap kali ayah mereka telefon, mereka cakap macam biasa, ketawa seolah tiada apa tapi bila ayah minta nak bercakap dengan saya mereka akan cakap ‘no’.. tak boleh..
Itu lah pengalaman hidup dengan penagih dan nasihat saya kepada mereka yang sedang berhadapan dengan situasi ini dan sangat tertekan tolonglah keluar dari kehidupan yang begini.
Ingat ye bila kita ni dok bagi duit dan mudahkan dia beli barang terlarang tu ibarat kita ni bersubahat sebagai pembunuh dalam diam.
Dia memang hari-hari makan racun. Orang yang makan racun untuk apa??? Bukan untuk bunuh diri.. kalau yang awal-awal tengah bercinta ada simptom-simptom ni tolong lah siasat dan fikirlah semasak-masaknya.. jangan sesal di kemudian hari..
Ingat ye terlajak perahu boleh berundur, terlajak langkah merana seumur hidup..
Sekian daripada saya,
– Leeny (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit