Tolong Percaya Aku Bila Aku Kata Aku Ada

Assalamualaikum semua… Aku Nana (bukan nama sebenar)

Aku nak ucap terima kasih terlebih dahulu jika confession aku ni disiarkan. Banyak kali jugak aku menulis sebelum ini, ada yang disiar, ada yang tidak.

Tapi kali ini, aku cuma ingin bercerita. Aku dah tak mampu nak telan sorang-sorang.

Aku minta maaf kalau bahasa dan ayat aku tunggang-langgang tapi ini yang aku rasa. Aku dah rasa murung dah nak fikir masalah ini. Aku harap sangat confession ini disiarkan.

Aku mengenali pasangan aku melalui laman web cari jodoh, ye memang aku tak pernah terfikir pun akan menemukan dia.

Aku hanya suka-suka dengan niat untuk mencari kawan. Dan dia juga berkenan dengan aku pada masa itu kerana itu.

Kami berkenalan, dan dia bercerita kisah cintanya. Dia pernah berkahwin dan bercerai kerana si isteri curang terpaksa dek kerana dia terlalu sibuk dengan kerja.

Aku sememangnya tidak berniat mahu jatuh cinta kerana status nya seorang duda. Namun kerana sikap ambil beratnya, kami akhirnya bercinta.

Aku namakan dia Razi (juga bukan nama sebenar)

Pada mulanya semua nya indah. Kami berniat mahu mengakhirinya dengan perkahwinan 2 tahun lagi.

Keluarga dia memang boleh menerima aku, keluarga aku pada mulanya agak risau kerana status nya tetapi akhirnya mereka juga setuju dan jatuh sayang pada dia dan anaknya.

Maka apa lagi yang kami perlukan selain daripada kami sendiri saling kuat untuk bertahan supaya percintaan kami berakhir manis di pelaminan…

Cuma satu masalah Razi, dia kadang-kadang rasa yang diri dia tak layak untuk aku. Dia trauma risaukan aku akan tinggalkan dia seperti isteri dan kawan baik dia.

Dia dahulu bekerja dan bisnes, maka dia kadang kala tak punya masa.

Sekarang dia cuma ada bisnes sendiri dan tidak lagi bekerja maka dia menjadi lebih sibuk daripada sebelum ini kerana duit cuma ada bila bisnes jalan.

Aku mula rasa terabai, dan kami pernah putus sebab dia rasa aku tak memahami dia.

Kadang-kadang aku terfikir mungkin ini yang dirasakan bekas isterinya dahulu. Dia terlalu sibuk sehingga isteri rasa terabai.

Apabila kami decide untuk bersama semula, aku sudah lebih faham akan kerjaya dia.

Lagipun satu yang aku fikir, dia bukan suami aku untuk aku mintak perhatian dan wajibkan dia untuk layan kerenah aku.

Chat sekali sehari, call seminggu sekali sudah cukup untuk kami tahu yang kami ada hati yang perlu dijaga.

Aku tak punya banyak kawan tapi aku yakin dengan diri aku sekarang. Untuk setia bersama dia, insyaAllah usaha aku sangat kental.

Tapi kebelakangan ini trauma Razi datang kembali. Dia rasa yang aku terlalu tinggi untuk dia. Aku terlalu baik untuk dia.

Dia rasa dia selalu abaikan aku dan aku berhak untuk dapat lelaki yang lebih baik dari dia.

Aku terlalu kuat bertahan demi dia sedangkan dia selalu bagitau aku dia nak pergi dari hubungan ini sebab dia rasa dia tak layak. Setiap kali dia rasa down, dia akan minta maaf dengan aku dan pergi.

Tapi selepas beberapa hari, dia pasti akan muncul kembali. Aku sayangkan dia, aku tak nak dia serabut dengan aku…

Aku nak dia tenang kalau dia ada di samping aku. Aku ikhlas terima baik dan buruk dia.

Masa lalu dia aku terima, kerana dia yang sekarang sudah berubah. Solat tak tinggal, sedekah juga kerap.

Aku tak mintak dia untuk bagi aku perhatian sebab dia bukan suami aku lagi.

Cuma aku nak dia tahu betapa aku cuba untuk pertahankan hubungan kami. Aku nak dia hargai aku. Aku nak dia tahu yang aku ikhlas dan aku akan selalu ada bersama dia.

Aku nak tolong dia ubati trauma dia. Kenapa dia kena selalu tolak aku dan suruh aku pergi dari hidup dia dan muncul semula?

Aku tahu ada orang kata lelaki kalau sayang, dia pergi tapi pasti akan kembali lagi. Tapi aku penat.

Aku tak tau macam mana nak buktikan pada dia yang aku akan sentiasa ada dan aku akan bersama dia support dia?

Aku sedih kenapa dia risau yang aku akan pergi tinggalkan dia tapi dia sendiri tak pernah nak bagi aku peluang untuk ada bersama dia saat dia susah hati dan perlukan orang untuk ada di sisi dia?

Setiap kali aku tanya dia soalan itu, dia cuma akan diam dan minta maaf.

Aku bagitau dia kalau nak pergi, lebih baik pergi terus daripada sentiasa patah kembali memberi aku harapan yang hubungan ini akan berakhir gembira.

Aku sayang dia, aku nak tolong dia atasi trauma itu. Aku nak bersama dengan dia, sokong dia sampai dia berjaya. Macam mana aku nak yakinkan dia yang aku ada?

Selepas aku tengok sisi buruk dia, aku lebih nak tolong dia bersama dengan dia jadi orang yang lebih baik dan berjaya.

– Nana (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *