Ujian dan Musibah

Ujian dan Musibah

Untuk part I, (https://iiumc.com/kerana-kita-wanita-luar-biasa/).

Assalamualaikum wbt. Terima kasih admin sebab siarkan kisah saya di IIUM Confession. Terima kasih buat semua yang memberi komen positif dan negatif. Saya hargai segala komen tu walaupun ada yang sarkastik sangat. Tak mengapa, saya berlapang dada.

Ini confession saya terakhir. Wallahi, niat saya bukanlah nak buka aib saya. Sewaktu saya menulis confession tu, niat saya hanyalah untuk luahkan apa yang saya pendam selama ini dan untuk saya bantu Cik Dina dan Cik Anne bangkit semula setelah apa yang berlaku. Tiada niat untuk saya elak orang dari tak judge saya atas kesilapan langkah saya ambil dalam hidup saya.

Kenapa saya pilih tajuk Kerana kita wanita luar biasa? Ya, saya baca dan tahu ada yang kecam. Tajuk hampeh bila baca komen. Terima kasih cik puan :-). Saya terima itu dan sememangnya kami waktu itu kurang cerdik dan malang. Cik puan dan tuan yang tak melalui kisah kami, kalian berhak mengeluarkan apa saja hinaan, cercaan dan perlian buat kami.

Tapi, cik puan pernah letak diri cik puan, pernah bayangkan kalau apa yang kami lalui itu cik puan/tuan lalui atau orang terdekat cik puan/tuan lalui? Pernah cik puan/tuan terlintas di fikiran akan ada kisah ini dalam masyarakat sekarang? Pasti tak pernah bukan?

Cik puan/tuan, saya bukan nk jadi heroin atau pembela wanita seperti saya. Tidak, itu bukanlah matlamat saya. Langsung tiada terdetik di hati saya. Saya hanya kongsikan secebis kisah aib yang saya lalui untuk dijadikan pengajaran buat semua.

Buat ibu ayah yang mempunyai anak perempuan, abang dan kakak yang mempunyai adik perempuan, buat rakan perempuan dan lelaki yang menghargai rakan kalian utuk jadikan ia kisah iktibar dan untuk sama-sama melindungi perempuan di luar sana walaupun mungkin bukan darah daging kalian.

Kisah aib itu saya coretkan dengan hati yang pilu, sayu dan terhenti berkali-kali seiring air mata saya yang menitis mengenangkan naif dan bodohnya saya saat itu. Tiada niat di hati untuk minta simpati dari sesiapa. Tujuannya tak lain, untuk jadikan iktibar dan agar lelaki lain menghargai perempuan walaupun bukan niat anda nak ambil dia jadikan pasangan hidup. Soal hati ini sangat subjektif.

Mohon jika anda tak berniat untuk jadikan dia pasangan, jangan bermanis mulut dan memberi harapan pada kami. Jadilah seorang lelaki budiman yang jujur dalam tutur kata, tingkah laku dan perbuatan kalian pada perempuan.

Cik puan/tuan, saat saya bangkit semula dengan mengatasi rasa rendah diri, negatif, malu dan takutnya saya untuk jalani hidup seterusnya, saya lalui episod depresi dan gangguan sihir. Cik puan/tuan, pada yang tak tahu kisah saya semua menganggap saya bahagia dan ceria. Saya sangat positif sedangkan dalaman saya rapuh. Berkali-kali saya buat percubaan membunuh diri kerana bila terlintas di fikiran saya betapa hinanya saya dan apa yang akan saya lalui jika diketahui rakan sepejabat, teman serumah dan ahli keluarga saya?

Allah Maha Pengasih dan Penyayang. Setiap kali cubaan itu hadir, saya hanya mampu cederakan diri saya dan luka itu tak pernah membuatkan nyawa saya berakhir. Saya pernah cuba untuk bunuh diri di rumah sewa, di pejabat saya kerja dan pernah juga cuba lakukan ketika memandu. Saat itu, tiada siapa tahu betapa rapuhnya saya. Hanya setelah saya berubat dengan menjalani sesi di pusat psikiatri dan perubatan Islam, saya berjaya kawal segala lintasan membunuh diri itu.

Saya sendiri ada rakan yang di diagnos dengan PTSD, Bipolar dan depression kerana masa kecilnya pernah dirogol oleh gurunya. Betapa dia melalui sesuatu yang lebih teruk dari saya. Fahamilah betapa rapuhnya jiwa kami bila orang sekeliling tak mempercayai, tak mengendahkan apa yang kami lalui hanyalah kata celaan dan cercaan diberi pada kami. Betapa kami bergelut dengan emosi untuk lalui segala kepahitan ini. Hanya yang pernah lalui akan tahu apa rasanya untuk pastikan emosi dan fikiran stabil dikala jatuh terduduk dengan musibah ini.

Sesiapa yang pernah melalui pengalaman disihir, disantau, dicalit dengan minyak pengasih dan cenuai saja tahu bagaimana kami lalui pengalaman itu. Pada mata zahir orang lain, kami tiada sakit fizikal. Kami sentiasa nampak sihat walafiat. Hakikatnya bila diganggu dengan gangguan ini, tidur malam kami terganggu, rutin ibadah kami terganggu dan ada antaranya susut tubuh badan. Saya sendiri tak sedar yang saya di sihir.

Orang sekeliling yang rapat dengan saya yang sedar bila lihat, wajah saya yang selalu pucat dan tubuh badan saya menyusut sedangkan saya makan seperti biasa dan saya tetap jalani hidup seperti biasa selepas melalui kisah pahit itu. Hanya setelah saya jatuh sakit kuat dan makin tidak sembuh setelah mendapatkan rawatan kesihatan, barulah saya sedar ada sesuatu yang tak kena pada diri saya.

Saya tidak menuduh F tapi setelah saya jauhkan diri mengubati gangguan sihir yang saya hadapi, F menghantar mesej memohon kemaafan secara tiba-tiba pada saya. Saya memang telah block segala perhubungan saya dengan F dan F menggunakan nombor yang lain untuk hubungi saya. Sejak itu, saya terus menukar nombor dan membuang nombor mereka dari list contact di telefon bimbit saya.

Ada jua yang mempertikaikan ayat saya mengenai mujur saya hanya dipergunakan dari segi nafsu. Ya, saya tahu itulah sesuatu yang paling hina buat wanita bila maruah diri tergadai. Walapun harga diri saya tergadai, saya masih beruntung kerana aib saya Allah jaga dan tiada orang sekeliling yang rapat dengan saya mengetahuinya.

Ramai perempuan di luar sana yang bukan saja maruahnya tergadai, mereka kehilangan harta benda dan wang ringgit. Ada yang menanggung hutang yang ditinggalkan lelaki durjana ini atas nama wanita tersebut. Ada yang sehingga melahirkan anak luar nikah. Lelaki durjana menghilang diri, yang terseksa sepanjang hayat hingga ada yang muflis.Ya, kamilah perempuan yang bernasib malang itu.

Seperti tajuk ini ujian dan musibah. Ianya musibah buat kami yang tersilap langkah ini, ujian buat diri kami sendiri, ujian buat lelaki tersebut dan orang sekeliling kami. Ujian ini kalau dilihat sangatlah teruk musibahnya sehingga ada maruah dan harga diri tergadai tapi kalau dilihat dari segi betapa Allah uji itu kerana kami layak untuk diuji dan kami jua insan biasa yang ada naluri dan nafsu.

Ujian ini juga tak lain Allah nak ingatkan kami bahawa kami ini pendosa dan boleh jadi dengan ujian ini, kami lebih dekat berlari pada Allah.Boleh jadi dengan ujian ini, iman kami akan lebih teguh pada Allah. Boleh jadi dengan ujian ini, kami sentiasa waspada dan berhati-hati membuat pilihan dalam hidup selagi nyawa kami masih ada.

Cik puan/tuan, kami insan biasa. Memang tak layak pun nak dikira sebagai perempuan yang baik dan solehah, jauh bezanya kami dengan perempuan lain yang maruahnya dan harga dirinya yang masih terjaga. Saya guna tajuk wanita luar biasa itu kerana, bukan semua yang senasib dengan kami mampu bangkit semula dan jalani hidup sebaiknya. Betapa ramai lagi perempuan di luar sana yang senasib dengan kami dan masih jatuh ke lembah yang sama.

Ada yang tak mampu untuk tarik diri dan jauhi perkara itu, kerana sekali terjatuh mungkin ada yang jadi ketagihan seks dan Nauzubillah mugkin juga yang memilih jalan menjadi call girl @ pelacur kerana merasakan diri tak layak berada di dalam masyarakat ini. Kami menjadi luar biasa bila kami mampu bangkit dari lembah hina itu dan mampu menjalani hidup ini walaupun peritnya meninggalkan luka mendalam di hati dan mungkin sepanjang hidup kami.

Saya tidak ceritakan secara keseluruhan bila dan di mana kejadian ini berlaku kerana saya masih menjaga aib A dan F. Cuma saya nyatakan tentang latar belakang A kerana saya nak ingatkan pembaca bahawa, kisah malang ini boleh terjadi pada sesiapa sahaja walaupun anda mungkin ada latar belakang pendidikan yang tinggi, lulusan agama dan dididik dengan ilmu agama secukupnya oleh ibu bapa dan mungkin anda seorang yang ternama. Tapi, nafsu dan bisikan syaitan tak pernah kenal semua itu.

Berhati-hatilah dalam menjalani perhubungan dan cinta, Moga kita dapat selidik sebaiknya pada calon pasangan kita sebelum kita benar-benar diijabkabul. Moga iman kita masih terjaga saat kita mencintai seseorang.

Saya pasti tak mungkin A membuka kisah aib ini pada pasangannya dan mungkin A meletakkan kesalahan itu seratus peratus pada saya saat dia buang saya dalam hidupnya. Tak mengapa, saya terima itu kerana kesalahan ini bukan di pihak A semata dan kesalahan ini berlaku pada diri saya dan A yang gagal mengawal iman dan nafsu kami. Dan kerana dendam sakit hati dipermainkan A, saya lupa yang saya seharusnya boleh mengelak diri dari jadi mangsa F. Kini saya menerima natijahnya.

Saya tahu saya tak layak untuk menasihati yang lain kerana saya hanyalah insan biasa yang penuh dengan dosa silam dan masih bertatih mengharapkan keampunan dan redha Allah. Biarlah kami yang senasib ini hanya memohon redha Allah. Mungkin di dunia kami di cerca, dihina manusia lain tapi di mata Allah kami ini pendosa yang ingin kembali taat pada-NYA. Biarlah Allah saja yang menilai taubat kami.

Terima kasih buat yang memberi kata semangat dan kata positif pada saya, mohon maaf andai bicara saya mungkin mengguris hati sesiapa. Buat A dan F, saya telah maafkan kalian dan tiada dendam di hati saya atas apa yang telah berlaku. Moga kalian berdua dapat mendidik ahli keluarga kalian sebaiknya dan mohon doakan saya agar Allah menerima taubat saya dan Allah permudahkan segala urusan saya dunia akhirat.

Pendosa yang masih bertatih mengharap redha Allah,

– Cik Tulip (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit