Ujian Hidup Di Tahun 2020

Assalammualaikum para pembaca sekalian. Ku gelarkan diriku Dian (bukan nama sebenar), berusia 30 tahun, sudah berkahwin dan masih belum dikurniakan zuriat.

Aku terpanggil untuk menaip di sini setelah membaca luahan hati Cik Mawar “Seutas Tasbih Buat Si Malang”.

Boleh baca confession berkenaan di sini, (https://iiumc.com/seutas-tasbih-buat-si-malang/).

Cerita hidup yang ingin ku sampaikan di sini mempunyai jalan cerita yang hampir sama dengan Cik Mawar. Suka untuk aku nyatakan di sini bahawa luahan hati yang ingin aku sampaikan adalah panjang, sila tenang dan teruskan membaca.

Ujian yang pertama, sebelum berkahwin, aku mempunyai pekerjaan yang tetap dan stabil di sektor swasta yang mana aku telah bekerja hampir 4 tahun di situ.

Selepas berkahwin aku korbankan pekerjaanku demi untuk berada di sisi suami yang berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan di negeri selatan. Setelah menganggur selama beberapa bulan, aku ditawarkan untuk bekerja di sebuah syarikat.

Malangnya, akibat pandemik Covid 19 yang melanda, syarikat tersebut tidak berhasrat untuk mengambil aku bekerja secara tetap setelah tamat tempoh percubaan atas masalah kewangan syarikat.

Aku kembali menganggur sehingga ke hari ini. Aku merupakan “sole breadwinner” bagi keluargaku, yang mana segala perbelanjaan kedua ibubapaku, makan minum, bil-bil rumah, yuran sekolah adik-adikku segalanya ditanggung oleh aku.

Seperti Cik Mawar, aku merahsiakan kisah pengangguran ku kepada keluarga aku atas faktor tidak mahu mereka memberi aku tekanan. Ibubapa ku tidak pernah risaukan aku, hanya risau jika tidak diberikan wang. Hanya telefon mahupun wassap jika mahukan wang.

Di sini aku melihat Cik Mawar beruntung kerana masih ada seorang ibu yang mengambil berat dan mendoakan yang terbaik buat Cik Mawar.

Buat sementara waktu, aku masih memberi wang dan membayar segala bil-bil rumah di kampung menggunakan wang simpanan yang aku simpan ketika bekerja dulu. Bukit yang ditarah, pasti akan rata. Doakan semoga ada rezeki kerja buatku.

Ujian kedua, aku datang daripada keluarga yang porak poranda. Kedua ibubapaku tidak lagi bertegur sapa sejak 12 tahun yang lalu dan tidak lagi tinggal sebumbung hampir 2 tahun lebih.

Setelah dua minggu aku kehilangan pekerjaan tersebut, aku dimaklumkan oleh ayahku bahawa dia telah memfailkan permohonan cerai terhadap ibuku.

Sesuatu yang meruntun hati dan perasaanku, bila mana aku merasakan doa dan rintihan hati di dalam setiap sujudku tidak didengari oleh Allah s.w.t. Aku kecewa.

Aku cuba bersangka baik dengan ujian ini. Dua minggu lepas merupakan perbicaraan bagi kes penceraian kedua ibubapaku dan lafaz cerai telah pun dilafazkan ke atas ibuku di Mahkamah Syariah.

Ujian ketiga, ketika berpindah ke negeri selatan ini, kami menyewa sebuah rumah berdekatan dengan tempat kerja suamiku. Malangnya sekali lagi aku diuji apabila kami diminta untuk mengosongkan rumah atas permintaan tuan rumah.

Sekali lagi aku merasakan bahawa ujian yang diturunkan bertalu-talu kepadaku. Aku tahu bahawa suamiku sedih, aku cuba memberi kata-kata semangat buat suamiku walaupun jauh dilubuk hatiku, ingin sahaja aku menangis di situ.

Aku tahu suamiku sudah memberikan yang terbaik dari segi menyediakan rumah buatku ketika aku mula berpindah ke negeri ini.

Pernah pada satu malam, aku merenung wajah suamiku ketika dia sedang tidur, sambil memegang tangannya dan berdoa semoga Allah murahkan rezeki suamiku seluas-luasnya. Aku tak minta diberi kemewahan cukuplah sekadar segala keperluan asas disediakan.

Ujian keempat, seminggu yang lalu, aku dimaklumkan oleh saudaraku bahawa ayahku ada menyatakan hasrat bahawa dia ingin menikahi seorang wanita, dan merancang untuk menikahinya. Sekali lagi aku merasakan bahawa ujian yang datang ini semakin berat. Aku kecewa.

Sejak dari dulu lagi, aku sentiasa berdoa dan berharap semoga kedua ibubapaku akan kembali bersatu, ternyata di saat lafaz cerai dituturkan, aku seperti tidak lagi menyimpan harapan tersebut. Aku juga tidak bersedia untuk menerima orang baru di dalam hidupku.

In sha’Allah aku masih lagi berfikiran waras dan tidak akan pernah terdetik untuk membvnvh diri di atas ujian-ujian ini. Aku selalu memujuk hati bahawa Allah menguji kerana sayang.

Para pembaca sekalian, di sini aku mohon agar kalian mendoakan yang terbaik buat aku. Ujian hidup itu pasti ada, tapi aku tidak pernah menyangka ujian bertalu-talu sebegini. Doakan aku kuat.

Terima kasih.

– Dian (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *