Alhamdulillah.
12 Jun 2019.
Saya kini kembali ke Tanah Air dengan selamat dan jayanya. Mengutip ibrah dan hikmah di setiap langkah perjalanan berpuluh ribu kilometer jauhnya!
Seakan-akan tidak percaya, saya sudahpun selesai mengerjakan umrah di Tanah Suci. Bermusafir sebulan lebih lamanya. Menyambut dan meraikan Ramadhan yang penuh berkah dan Syawal yang mulia di bumi para Anbiya’.
Subhanallah! Sebuah pengembaraan yang benar-benar berharga!
“Ya Allah, terima kasih kerana sudi mengundang saya sebagai tetamu teristimewaMu!”
Terkenang kembali saat hari pertama menjejakkan kaki di Madinah Al-Munawwarah. Saya tercari-cari dimana letaknya masjid istimewa berkubah hijau. Kehadiran saya disambut dengan bacaan surah Ar-Rahman oleh imam Masjid Nabawi ketika solat maghrib berjemaah.
‘Maka, nikmat apa lagi yang kau dustakan?’
Sebak dan syahdu mula dirasai disegenap pelusuk hati.
Sebenarnya, jemaah Harmony tiba di Madinah lebih awal. Sebelum subuh dah selamat sampai. Tetapi, disebabkan saya masih lagi kurang arif selok-belok jalan, maka saya hanya solat di dalam bilik hotel. Nak acah-acah terlebih pandai pun, nanti tersesat tak tahu jalan pulang. Menangis pula di tengah jalan. Tak pasal-pasal kena sekeh kepala dengan mutawwif kang!
Madinah dikenali sebagai Bandar Bercahaya. Istimewanya Madinah, disinilah bersemadinya jasad seorang insan teragung. Padanya ada cinta dan rindu. Padanya ada syafaat sebagai penyelamat umat akhir zaman. Dialah Nabi kita, Muhammad SAW.
“Assalamualaika Ya Rasulullah.”
“Ya Rasul, aku umatmu datang kepadamu. Dengan cinta dan rindu.”
Saya ke sini sebagai jemaah biasa. Ya, jemaah biasa seperti korang. Nak dijadikan cerita, saya diizinkan Allah bertemu dengan seorang jemaah warga emas.
Jemaah ini, jemaah Harmony. Entah dimana silap dia berkata-kata, secara tiba-tiba kakinya sakit dan tidak mampu berjalan. Disebabkan saya punya pengalaman menyantuni warga emas, maka, secara tidak langsung, saya cuba praktikkan pengalaman itu untuk menyantuninya pula disini.
Jemaah ini namanya Mak Ity. Usianya sudah mencecah 70-an. Buat Mak Ity, anggaplah ini semua sebagai CO..BA..AN..
Sebagai jemaah yang masih muda berbanding jemaah lain, saya relakan diri berkhidmat sehabis baik untuknya. Tanpa sebarang bayaran apatah lagi mengharapkan balasan.
Bertitik-tolak dari sini, perlahan-lahan Allah hadirkan ilham demi ilham untuk terus berkhidmat bakti di dua Tanah Suci barakah ini.
Maka, disinilah bermulanya kembara umrah seorang anak muda.
Kawan-kawan,
Pergi umrah bukanlah bermakna kita cuma perlu berulang-alik ke Masjid Nabawi dan Masjidil Haram untuk solat semata-mata. Bukan juga hanya sekadar duduk berdoa memandang kaabah sambil menitiskan air mata. Tidak. Tidak sama sekali!
Terdetik saya di dalam hati..
“Kebiasaannya, orang yang datang ke Mekah dan Madinah, mereka akan ‘shopping’ hadiah untuk dibawa pulang ke Malaysia. Apa kata, kali ini saya yang hadiahkan sesuatu buat kedua-dua Tanah Suci sebelum kaki melangkah pergi?”
Ya! Hadiahkan sesuatu yang berharga dan istimewa!
Nak buat sesuatu, pasti memerlukan kos dan tenaga. Dari segi tenaga, barangkali saya masih mampu. Tapi, nak harapkan ‘kos’ saya seorang, manalah saya mampu. Duit riyal pun cuma ada beberapa keping aje.
Pun begitu, saya percaya, niat yang baik pasti Allah mudahkan.
Berurusan dengan hati, Insyaallah bantuan Allah itu pasti!
Nah, saya kongsikan beberapa cara yang korang boleh lakukan sebagai tanda ‘hadiah’ buat Mekah dan Madinah sepanjang keberadaan korang disini!
Jadikan diri korang betul-betul bermanfaat di Tanah Suci!
Cara-caranya tak susah pun. Tak percaya, cuba korang baca ni:
1. Jadilah PA tak bertauliah kepada Mutawwif yang kachak!
Untuk jemaah Harmony, kami ada suatu group whatsapp khas buat para jemaah. Disinilah tempat kami berkongsi segala permasalahan atau info-info terkini. Sebagai jemaah muda, kau bantulah war-warkan info buat jemaah lain. Andai ada jemaah yang sakit, kau ringankanlah kaki untuk menziarahi jemaah di bilik. Bantulah sekadar yang mampu sebelum mutawwif datang menghulurkan bantuan lanjut.
Rindu barisan mutawwif kachak saya:
Ustaz Hussaini Jamaludin
Ustaz Saufi Hakim
Ustaz Hisham Elias
2. Bantu khidmat untuk jemaah warga emas.
Kejar pahala ibadah sendiri itu bagus. Tapi, lebih bagus kau kejar rahmat Allah. Andai ada jemaah yang perlu dipimpin atau dibantu untuk ke masjid, kau bawalah mereka bersama-sama biarpun akhirnya kau cuma mampu solat di perkarangan masjid. Berdua lebih baik. Apatah lagi berdua bersama membantu orang yang lemah ataupun sakit. Rahmat Allah ini luas. Sekali kau dapat rahmat Allah, kau dapat segala-galanya. Kau jangan takut!
3. Aktifkan Facebook.
Kau aktifkan Facebook. Minta anak-anak jemaah warga emas untuk add/follow FB kau. Selalulah menulis sambil berkongsi kisah kau beserta para jemaah di sana. Sekurang-kurangnya, terubat rindu hati anak-anak mereka di Malaysia.
4. Jadilah jurukamera!
Rata-rata jemaah umrah ini, mereka terdiri daripada golongan berusia. Tak pandai nak tangkap gambar. Tak pandai nak berselfie bagai. Kau jadilah jurukamera mereka. Ambil gambar banyak-banyak sebagai kenangan. Hantarlah kepada anak-anak mereka. Percayalah, mereka pasti akan menangis syukur sambil mengucapkan jutaan terima kasih!
5. Hadiahkan badal umrah buat mereka yang tersayang!
Jadilah anak yang baik, cucu yang baik, ahli keluarga yang baik, sahabat yang baik dan hamba Allah yang baik. Apa kata kau hadiahkan badal umrah buat mereka yang sakit mahupun yang telah pergi buat selama-lamanya.
Barangkali, mereka terdiri daripada ahli keluarga, sahabat sekolah, jiran-jiran mahupun ahli keluarga rakan-rakan fb kau yang telahpun meninggal dunia. Boleh jadi, sepanjang hayat mereka, mereka tidak berkesempatan menunaikan haji/umrah. Hadiahkan pada mereka. Rasai betapa nikmatnya erti pengorbanan. Kau cubalah!
6. Ku kirim doa, kau baca di sana.
Kau jangan salah faham. Antara seorang hamba dengan Tuhan, tidak pernah ada perantaraan. Selalu orang ke Tanah Suci, akan ada kiriman doa. Kiriman doa ini, anggaplah sebagai doa seorang sahabat yang turut mendoakan sahabatnya di Tanah Suci penuh barakah. Awak berdoa di Malaysia, saya berdoa di hadapan Kaabah. Moga doa yang baik itu Allah makbulkan.
Bab-bab doa ni, pengasas Harmony sendiri, Tuan Haji Nor Hashim paling suka. Sampai dua salinan kertas tebal dia suruh saya habiskan baca. Huhuhu. Kau followlah dia. Dia artis scottish terkenal! (Dalam hati: Emoji ketawa dalam tangisan )
7. Buat FB Live!
Fb live ini, tujuannya bukanlah untuk syok sendiri. Kau kongsilah ilmu yang bermanfaat. Moga yang menontonnya serba sedikit terjentik hatinya untuk ke Tanah Suci. Moga sekecil-kecil usaha dakwah ini dipandang Allah Yang Maha Besar.
8. Buka tabung kasih sayang.
Biarpun jasad kau cuma seorang di sana, tapi kau bawalah sekali ‘kasih sayang’ rakyat Malaysia. Buka dana sekecil-kecil RM1. Macammana nak buka dana? Tulis aje di facebook. War-warkan tentang niat dan hasrat kau nak bersedekah di sana. Insyaallah, nanti pasti Allah akan hadirkan tangan-tangan baik yang sudi seiring dan sejalan selaras dengan niat kau. Percayalah!
Bila kau dah ada dana, kau pecahkan kepada beberapa bahagian. Antaranya:
– Beli coklat dan raikan kanak-kanak di perkarangan masjid.
– Beli kerusi lipat dan kerusi roda untuk kegunaan jemaah. Sebelum pulang ke Malaysia, kau wakaflah untuk kegunaan hotel di tempat kau menginap ataupun di masjid.
– Wakaf Al-Quran.
– Beli sejadah serbaguna untuk kegunaan jemaah yang ingin beriktikaf di masjid. Selesai guna, wakafkan di masjid.
– Sedekahkan serendah-rendah sehari 1 riyal buat tukang cuci masjid.
– Sedekahkan makanan dan minuman untuk iftar, qiam dan sahur terutamanya buat jemaah gelandangan.
– Sedekahkan air zamzam dari bilik ke bilik. Air zamzam kan percuma. Bekasnya aje kau perlu beli untuk isi.
– Raikan jemaah dengan sambutan lebaran. Kau belilah serba sedikit makanan yang kena dengan selera tekak Malaysia ketika Syawal menjelang.
Kawan-kawan,
Kebanyakan manusia mempunyai mata. Tapi, tidak semestinya kita melihat dari sisi yang sama. Perbezaan pendapat itu mesti ada. Kalau tidak, bosanlah dunia.
Ini umrah cara saya. Umrah seorang anak muda!
Jika kau rasa ianya baik, kau boleh cuba!
Nurull Azliza Nordin,
Melihat keadaan dunia hari ini.
Maka, kita yang mana?
– Nurull Azliza Nordin (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit