Saya ex-UIA. Saya berkahwin pada tahun pertama pengajian. Saya dan suami tidak pernah bercouple, tetapi selepas istikharah & family positif kedua-dua pihak, tambahan kedua-dua kami juga punya biasiswa, maka kami dikahwinkan. Kami tidak punya masalah study, graduate on time, punya anak waktu belajar kemudian kami bekerja. Sudah pasti banyak cabaran dan pengorbanan yang diberikan, tetapi pada mata kasar manusia semuanya ok dan kami bahagia hingga kini, alhamdulillah.
Mungkin kerana itu, kami sering dijemput untuk memberikan motivasi, forum dan seangkatannya untuk membincangkan perihal kahwin muda. Dengan kata lain, menggalakkan kahwin muda. Kami tidak pernah menerimanya, kami mohon maaf. Kerana walaupun kami kahwin awal, kami tidak setuju untuk mempromosikan kahwin muda, tidak langsung juga menghalangnya. Kerana bagi kami, jodoh itu datang pada masa terbaik, dengan orang terbaik dalam keadaan hati kita yang terbaik yakni benar-benar bersedia. Dan Allah akan memudahkannya jika itu yang terbaik buat kita. Kami sendiri tidak pernah letak dalam plan hidup untuk kahwin awal tetapi apabila Allah buka hati kami, segalanya dimudahkan. So be it early, late or none at all, di syurga pasti ada pendamping buat setiap orang. No pressure. Yang penting sentiasa jangan pernah berhenti berusaha untuk menjadi hamba-Nya yang soleh.
Antara sebab yang membuatkan kami tidak bersetuju untuk para belia terburu-buru atau asyik berfikir untuk mencari jodoh pada usia muda adalah kerana banyaknya risiko penceraian. Ya, bukan semua, ramai yang kekal bahagia alhamdulillah Allah masukkan kami dalam kumpulan itu. Tetapi perkara cerai ini cukup banyak. Mungkin karakter saya yang good listener, ramai rakan yang menghubungi saya untuk meminta pendapat dan bantuan proses penceraian mereka. Even kawan yang telah bertahun-tahun tidak berhubung mencari saya untuk membantu. Setakat yang saya bantu sahaja dalam dua tahun ini, 13 orang. Kawan saya yang saya tahu tetapi bukan handle secara first hand, 9 orang. Total 22 orang dalam circle saya sahaja. Kesemua berusia hujung dua puluhan sekarang. Kesemua mereka wanita yang baik, beragama, bekerjaya, berpendidikan tinggi. Bukan salah mereka. Kesemua berkahwin sama ada ketika belajar atau berkahwin betul-betul selepas habis belajar tetapi telah kenal sejak belajar. Ada pilihan keluarga, ada pilihan sendiri, ada yang mahu kahwin muda, ada yang berkahwin segera kerana tidak mahu posting jauh. Tempoh perkahwinan bertahan dalam setahun hingga tiga tahun.
Antara sebab penceraian mereka yang pertama; adalah kerana suami ada perempuan lain selepas mula bekerja. Kata suami mereka, kerana ketika belajar mereka tak jumpa ramai perempuan lain jadi fikiran agak tertutup dan pilihan terbatas. Tidak kurang suami yang terlibat dengan skandal kawan-kawan sepejabat setelah join group tidak senonoh dalam whatsapp.
Sebab yang kedua adalah buatan orang. Ini dua kes yang saya handle. Kerana yang lelaki tidak mahu perempuan yang diminatinya berkahwin lain, maka dibomohkan ketika belajar dan berkahwin. Setelah berkahwin baru segalanya terdedah melalui satu demi satu peristiwa.
Sebab yang ketiga, keganasan rumah tangga. Ini kebetulannya adalah pilihan keluarga. Yang keluarga tidak pernah tahu karakter sebenar suami, dia juga tidak pernah kenal. Setelah berkahwin, dipukul diherdik dan sebagainya hingga isteri menuntut cerai kerana tidak tahan, tidak sampai setahun.
Sebab yang keempat kerana suami tidak menunaikan tanggungjawab sebagai suami seperti tidak memberi nafkah, tidak pernah bantu kerja rumah, tidak pernah menguruskan anak-anak, tidak menghormati keluarga mertua dll. Suami merasakan sejak berkahwin muda dia tidak punya masa untuk diri sendiri dan menganggap isteri dan anak-anak menyusahkan. Dia mahu bebas dan tidak lagi mahu apa-apa komitmen.
Sebab yang kelima, kerana suami sebenarnya adalah homoseksual/gay. Suami tidak mempunyai nafsu terhadap wanita sebenarnya tetapi berkahwin kerana mahu menutup aib itu daripada keluarga. Setakat yang saya handle, empat kes. Ya agak banyak, merisaukan dan menyedihkan. Kesemua mereka diceraikan tanpa iddah. Suami2 itu zahirnya normal, kerjaya profesional, beragama dan ada yang berusrah ye. Tetapi sebenarnya mereka ada hubungan sesama lelaki, ada yang siap ada customer tetap. Ini sebab penceraian yang paling zalim buat wanita bagi saya kerana menjadikan wanita sebagai mangsa untuk mengelabui mata keluarga. Menyeksa batin dan emosi wanita. Ada suami yang tahap tak mahu dia sendiri ceraikan tetapi mahu isteri itu yang minta cerai supaya tidak disalahkan keluarga. Ada yang buat verbal abuse dan sengaja bawa pasangan lelakinya ke rumah.
Majoriti mereka tidak bercerita kepada orang lain untuk menjaga aib semua pihak. Setelah trauma yang dilalui ada yang membawa diri tak dapat dihubungi, ada yang berhijrah ke luar negara, ada yang ditimpa kemurungan, ada yang Allah telah gantikan dengan jodoh yang lebih baik alhamdulillah tetapi semuanya berusaha untuk move on. Sebab-sebab penceraian itu sukar disebut pada orang lain tetapi apabila nereka senyap, orang tetap bercakap, bertanya sebab dan tidak menghormati perasaan dan pendirian mereka untuk berdiam diri. Allah itu Maha Adil lagi Penyayang, Dia takkan mensiakan segala air mata dan pengorbanan mereka. Usia yang muda dahulu mungkin belum cukup mematangkan cara fikir kedua-dua pihak, masalah komunikasi dan masih mentah dalam menguruskan konflik. Mungkin daripada sebab yang dinyatakan di atas nampak agak banyak salah lelaki, tetapi saya hanya letakkan fakta kes yang saya handle tanpa tokok tambah. Saya tak nafikan ada punca penceraian lain nya daripada pihak perempuan tetapi bukan dalam kes-kes ini.
Setiap kali lafaz cerai setiap mereka dijatuhkan di mahkamah, setiap kali itulah air mata saya gugur dan berbekas di hati tentang nasib institusi keluarga muslim. Oleh kerana perkahwinan ini jalannya panjang dan berliku, usahlah menggalakkan para belia untuk segera menamatkan zaman bujang tetapi galakkan untuk membina diri dengan ilmu, iman, menjaga maruah diri dan penuhi masa muda dengan perkara yang memanfaatkan diri dan orang lain. Usah terburu-buru, banyakkan berdoa dan berusaha, serahkan urusan jodoh benar- benar kepada Allah.
– Puan Q
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit