Wahai Anakku

Janganlah mengharapkan sesuatu yang tidak pasti untukmu. Janganlah mengeluh apabila tidak dipenuhi permintaanmu. Apakah adil untuk kita meminta sesuatu yang bukan milik kita?

Wahai anakku, menjadi doktor itu bukanlah sesuatu yang paling memenatkan. Jangan lupa betapa setiap sesuatu itu sentiasa berkait antara satu sama lain. Janganlah memandang rendah sesama manusia hanya kerana di pandanganmu, si dia hanyalah seorang tukang cuci rumah.

Luaskanlah pemikiranmu. Betapa begitu berliku rintangan kehidupan pada masa hadapan. Tuhanmu tidak menjanjikan yang indah-indah sahaja untuk kita di dunia, malahan haruslah berlelah-lelah kerana syurga itu sendiri mahal harganya.

Wahai anakku, apa yang kau bakal hadapi itu hanyalah umpama setitis air di dalam lautan.

Pandanglah dengan mata hati, lihatlah betapa ramai lagi orang yang berpenat lelah mencari rezeki halal, walaupun hidupnya dihimpit kemiskinan, demi mengharapkan redha Tuhannya.

Tidakkah kau ingat watak si janitor yang memastikan pesta hiburan di kawasan rumahnya sentiasa selamat?

Tulisan Mitch Albom untuk buku The Five People You Meet in Heaven memperlihatkan betapa sekecil-kecil pekerjaan yang dilakukan memberi impak besar kepada kehidupan.

Tidakkah kau malu dengan Lintang di dalam Laskar Pelangi nukilan Andrea Hirata?

Dek kerana bapanya ditelan ombak yang ganas, Lintang terpaksa berhenti sekolah dan menjadi kelidan kecil untuk menampung kehidupan keluarganya.

Si Lintang, yang Ikal pasti bakal menjadi ahli fizik Muslim terkemuka dikuburkan cita-citanya dan menjadi pemandu lori.

Hanya kerana sebuah buku kecil itu, sistem pendidikan di Indonesia dirombak, untuk memastikan anak-anak miskin tidak keciciran dalam pembelajaran.

Bersyukurlah anakku, tidak diuji sebegitu rupa. Bersyukurlah anakku, setakat ini Tuhanmu lorongkan perjalanan hidupmu tanpa dugaan yang berat.

Moga anakku menjadi insan yang mempunyai mata hati, dan sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik di mata Tuhannya.

– Limau nipis (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *