wajah si tua 50-an itu masih lagi gigih bekerja.

kisah yang dipisahkan oleh tingkap cermin.

aku terpanggil untuk menceritakan kisah aku sebagai pekerja Production Control(PC) di salah sebuah kilang terkemuka di Johor Bahru. ahaa. panggil aku diana. aku lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (sejarah) di salah sebuah universiti pendidikan terkemuka di Malaysia. masih dalam menghitung hari untuk memegang scroll di hari konvokesyen pada September 2016.

memikirkan tanggungjawab aku sebagai ‘angah’ dalam keluarga, aku mengambil keputusan menjadi PC di sebuah kilang pen terkemuka milik Japanese.

Aku bekerja di kilang bersama-sama dengan orang yg paling aku syg, tapi tidak aku luahkan rasa itu kerana dia pun sama (ego seperti aku). ke mana jatuhnya kuah kalau tidak ke nasi. sepanjang aku bekerja di sini, makan minumku ditanggung. tidak pernah waktu rehatku hanya diisi dengan biskut. akan dibelikannya makanan-makanan enak yg diperoleh daripada rakan sejawatnya.

setiap kali rehat, aku akan keluar daripada sarang kelompok pekerjaan dan akan makan bersama-sama dia. hidupku kali ini 24/7 bersama-sama dengannya. yang membezakan situasi kerja kami adalah dia operator dan aku PC(yang mengatur setiap pengeluaran barang). salah satu perkara yang memisahkan kami hanyalah dinding dan sekeping cermin tingkap untuk memudahkan urusan pemantauan PC terhadap pengeluaran.

hidup di pejabat sesungguhnya selesa walaupun penuh dengan tekanan. namun, setiap kali aku tertekan, akan aku pandang kekuatan dia sepanjang 13 tahun bekerja di kilang yg sama sebagai operator.

sebak. didiamkan segala kepenatan di tempat kerja apabila tiba di rumah. bangun awal pagi untuk menyiapkan lauk harian dan sarapan pagi adik. waktu rehatnya dihabiskan ditepi mesin. jika berkesempatan, akan dibentang kotak untuk baring disebelah mesin. di rumah, dia wanita 50-an yg kuat, kreatif dan mengambil berat tentang keadaan rumah. cuma biasalah, emak. mulutnya tak berhenti mengomel. disebabkan itulah anak-anaknya membalas kata-kata. tapi, sejak aku lihat pengorbanannya dan hidup kami hanya dipisahkan cermin tingkap sahaja, aku hilang rasa ingin membalas kata-kata emak. malah aku rasa ingin membantu dia membuat kerja-kerja rumah sebelum tiba ditempat kerja. aku latih diri untuk bangun awal pagi dan membantu emak di dapur. kalau adik berdebat lidah dengan emak, pasti aku menyindir adik untuk tidak terus melawan kata-kata emak. disebabkan abah sakit, hidup kami bergantung pada gaji emak sebagai operator. abah yang berusia 60-an juga sama hidupnya. menghadapi masalah Gout tapi masih lagi bekerja. namun, tak aktif seperti dulu.

kalau mak, mak sanggup mengambil banyak OT untuk mendapatkan gaji yg lebih. kasihan aku melihat sosok tua itu sewaktu menunggu aku pulang sedangkan dia masih lagi tinggal di kilang untuk OT. aku tidak boleh OT. tiada OT disediakan utk department aku.

ramai ibu-ibu yang berkorban masa dan tenaga untuk mendapatkan sesuap nasi. bukan sahaja emak, malah ramai lagi kaum wanita yg berkorban hidup demi keluarga tercinta. hidup aku dengan emak,beginilah caranya. aku akan memerhatikan kerja yg dilakukan oleh emak dan rakan-rakan sejawatnya yg tidak duduk sewaktu menjaga mesin dan berdiri sepanjang hari. kau berdiri di perhimpunan pagi pun sakit pinggang, inikan pula tulang empat kerat yg dah lama membanting tulang untuk keluarga.

apa yang aku nak pesan, bukan emak seorang sahaja hidup begitu. kau tak rasa hidup susah, sayang. kau taktahu situasi kerja ibu mu. memang patut Tuhan banyak mengasihi kaum wanita. merungutnya bersebab dan diberikan kekuatan yg banyak untuk berfikir demi kehidupan. sekarang, aku sudah habis belajar. akan aku bantu emak.

emak, diaNa sayang emak. menangis tengok emak buat kerja keras selama 13 tahun ni. mak diamkan je usaha mak. diaNa tak nampak sampailah diana masuk dalam company ni. dan bila rasa nak berhenti, diana akan pandang tingkap cermin dan terfikirkan emak. kuat ya, emak. bila ekonomi keluarga kita dah stabil, diana akan mengambil 100% tanggungjawab tersebut.

diana sayang emak.

– diana nordin

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit