Assalamulaikum. Pertama sekali, terima kasih kepada admin kerana sudi kongsikan coretan ini.
Aku bukan student IIUM.
Aku belajar di sebuah universiti di luar negara, baru tamat pengajian dan bakal pulang ke tanah air tidak lama lagi.
Ayah aku cuma pegawai kerajaan dengan gaji cukup-cukup untuk menyara hidup kami sekeluarga. Ibu aku seorang suri rumah. Aku pula anak sulung dari sekian ramai adik-beradik yang kesemuanya masih bersekolah.
Universiti tempat aku belajar adalah universiti yang orang gelarkan sebagai ‘uni senang masuk susah keluar’. Alhamdulillah, aku pelajar tajaan biasiswa. Jadi, sepanjang kehidupan aku di sini, aku bergantung dengan wang biasiswa sepenuhnya tanpa mengharapkan wang ayah.
Aku tahu ayah penat bekerja. Ayah perlu bahagikan wang gajinya yang tidak seberapa untuk keperluan yang terlalu banyak dan mendesak. Hutang rumah, kereta, yuran sekolah adik-adik aku, perbelanjaan dapur, bil itu ini dan macam-macam lagi. Aku tahu ayah penat, sebab itu aku elakkan untuk meminta wang ayah walaupun kadang-kadang aku kesempitan wang. Aku usahakan berjimat sampai wang biasiswa masuk.
Ibu pun sama. Aku tahu ibu tertekan dengan perbelanjaan rumah yang semakin meningkat. Harga barang dapur banyak yang naik mendadak, wang belanja sekolah adik-adik juga perlu ditambah. Mahu bekerja, ibu kurang sihat.
Kerana itu aku kurang suka menelefon untuk bertanya khabar. Bagiku, memadai melalui whatsapp. Setiap kali aku mendengar suara ibu yang letih, suara ayah yang terbatuk-batuk, aku jadi sedih. Mula lah aku berfikir untuk berhenti belajar dan balik kampung untuk membantu mereka. Sebab tu aku jarang telefon. Kalau aku telefon aku selalu sedih, dan bila sedih aku akan menangis sepanjang malam.
Baru-baru ini keputusan peperiksaan final year diumumkan. Keputusan yang sangat tidak aku jangkakan. Balik dari kampus, aku terus menelefon ibu dan beritahu keputusan. Usai bercakap dengan ibu, aku minta untuk berbual dengan ayah. Ibu kata ayah sedang solat asar. Aku tunggu sampai ayah habis solat. Aku tanya khabar ayah, ayah beritahu ayah sihat, tapi sakit kepala. Aku mula sebak. Aku beritahu keputusan peperiksaan, ayah diam sekejap lalu ucap Alhamdulillah. Aku nangis serta merta bila dengar suara ayah yang lirih, suara ayah yang penat berhempas pulas bekerja untuk sara kehidupan kami sekeluarga. Ayah tanya lagi, “bila majlis konvokesyen? Perlukah ayah datang? Kalau perlu nanti ayah usahakan.” Aku nangis lagi. Cepat-cepat aku jauhkan handphone supaya ayah tak dengar aku nangis.
Esok paginya, ibu hantar mesej melalui whatsapp. Ibu kata ibu dan ayah bangga sebab aku berjaya tamatkan pengajian. Ibu kata selepas ini aku akan hadapi cabaran yang lebih besar. Ibu dan ayah harap aku tetap jadi anak yang baik dan taat, kakak yang penyabar, jadi contoh terbaik untuk adik-adik dan mampu berlari sendiri tanpa perlu ayah dan ibu papah aku lagi.
Lepas aku baca mesej ibu, cepat-cepat aku masuk ke dalam bilik air, biarkan paip terbuka dan nangis lagi puas-puas.
Sekarang, dalam fikiran aku, aku cuma mahu pulang cepat-cepat, cari kerja cepat-cepat dan bantu ringankan beban keluarga. Aku tahu ibu dan ayah sudah banyak berkorban untuk aku, untuk adik-adik. Selepas ini kalau boleh, yuran sekolah adik-adik biar aku yang bayar, duit belanja sekolah biar aku yang bagi. Adik perempuan aku yang juga belajar di universiti, kalau boleh perbelanjaan dia biar aku yang tanggung. Bil-bil dan belanja dapur biar aku yang cover semua. Kalau boleh, ayah tak perlu lagi bekerja, biar ayah pencen awal dan duduk berehat di rumah. Kalau boleh…
Aku tahu zaman sekarang bukan mudah untuk mendapat pekerjaan. Ribuan graduan universiti berebutkan peluang pekerjaan yang terhad. Tapi, apa lagi yang perlu aku harapkan selain rezeki dari Allah? Aku bukan mahu kerja besar dengan gaji puluhan ribu. Cukuplah sekadar pekerjaan yang mampu beri senyuman lega di wajah ibu dan ayah, juga wajah adik-adik aku.
Kalian yang membaca, mohon doakan aku. Doakan agar aku yang bakal pulang ini terus kuat menempuhi cabaran hari-hari mendatang, terus kuat berbakti untuk keluarga yang aku sayang.
Yang bakal pulang,
– Hannan
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit