Yatim sebelum waktu

Assalamualaikum dan salam ramadhan. Maaf andai luahan ini sedikit mengganggu ketenangan sahabat-sahabat yang lain. Cuma rasanya tidak mampu lagi untuk aku terus memendam rasa.

Aku merupakan anak sulung kepada 6 orang adik lelaki. Kisah yang ingin aku kongsikan adalah berkenaan lelaki-lelaki yang ada di sekelilingku. Bermulanya dengan kisah bapaku sendiri. Tahun ini mungkin menjadi tahun ketiga kami beraya tanpa ayah di sisi. Ke mana dia pergi kami sendiri tidak pasti. Cuma pulangnya 2 atau 3 bulan sekali dan apabila dia pergi, dia tidak lagi dapat kami hubungi.

Kehilangan dia selalunya sewaktu saat-saat getir seperti perayaan dan sesi awal persekolahan yang memerlukan wang yang banyak. Seperti biasa, Ibu akan sedaya upaya mengerah segala keringat untuk melengkapkan kelengkapan kami adik beradik. Sebagai anak sulung, tidak mampu aku sanggup melihat kudrat Ibu tua itu digunakan tanpa peduli sakit sendiri.

Rasa terkilan aku makin bertambah apabila 4 orang adik lelakiku benar-benar mengikut jejak langkah ayah. Panas baran, mudah melenting apabila ditegur, selalu mendesak Ibu untuk sesuatu yg Ibu tak mampu dan hidup seperti raja. Sekarang umurku Sudah menjangkau 23 tahun, Ibu pernah bersungut tentang jodoh namun aku tidak berminat. Aku takut andai jodohku juga seperti mereka yg hanya melihat perempuan seperti hamba.

Aku masih lagi belajar di sebuah universiti awam namun segala kerja telah aku lakukan untuk mencari wang tambahan. Kadangkala sehingga aku terpaksa mengabaikan kelas kuliahku. Aku tahu bukan aku sahaja yang melalui kehidupan begini, namun kadangkala terasa berat untuk aku menggalas tanggungjawab ini.

Tiap-tiap tahun segala Wang yg aku perolehi di musim perayaan aku belanjakan keseluruhannya kepada adik-adikku. Malahan demi mendapatkan Wang tambahan untuk perbelanjaan di uni, aku juga sering membuat part-time pada hari raya. Bayangkan, takbir raya aku adalah di tempat kerja. Kalau diceritakan bayarannya amatlah tidak berbaloi dengan kerja serta maki hamun yang diterima. Kadangkala, aku dah penat dan ingin kembali hidup normal seperti orang lain.

Ayah, sudah hilangkah rasa Kasih ayah pada kami? Saya rindukan ayah yang dulu. Yang tidak sesekali membiarkan saya membuat kerja berat, yang sering menjadi pendengar setia. 4 tahun sudah ayah berubah dan 4 tahun juga Ibu menderita. Ayah, saya dah penat untuk menyambut takbir raya di tempat kerja. Saya sedih sangat ayah bila mereka maki hamun dan layan saya bukan seperti manusia. Mereka anggap saya bodoh, mereka tak tahu saya pelajar universiti. Ayah….. Saya tahu ayah tak suka saya menangis, tapi saya dah tak kuat. Raya ni ayah balik ye. Kami tunggu ayah sebab kami tak mahu jadi yatim sebelum waktu.

P/s: buat insan bernama lelaki, andai tidak mampu membahagiakan jangan buatkan perempuan menderita.

– Anak ibu

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

8 Comments

  1. Semoga sedikit kekuatan yang ada pada Sis dan ibu sis Allah berikan sedikit kepada saya.
    Tabahnya seseorang menghadapi ujian dan sabarnya dengan Setiap cubaan pasti Allah ganjari PAHALA yang besar. Bacalah Quran pasti hati akan tenang.
    Tentang Ayah, tidak semua lelaki seperti itu. Jika Mahu mencari jodoh, Pergilah ke tempat yang baik-baik dan perbaiki diri untuk menjadi baik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *