Zuriat Yang Diidamkan

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua, aku Ms Virgo baru saja menginjak usia 40 tahun ini, telah berkahwin 4 tahun dan masih belum dikurniakan zuriat.

Ya, aku lambat mendirikan rumahtangga. Suami aku pula muda 4 tahun, duda anak seorang.

Namun, penceraiannya dengan bekas isteri tidak berakhir dengan baik menyebabkan hubungan bapa dengan anak terputus begitu saja. Aku tak mahu mengulas lanjut tentang hal itu.

Sejurus selepas nikah, aku duduk sebumbung dengan keluarga mertua selama setahun.

Hubunganku dengan keluarga mertua baik-baik saja, walaupun pada awalnya ada sedikit pertelingkahan tapi disebabkan aku tak suka memanjangkan hal, aku minta maaf,

Dan rezeki kami waktu itu dapat menyewa rumah lain walaupun dalam kawasan perumahan yang sama.

Walaupun aku bukan jenis suka berdendam tapi sedikit sebanyak pertelingkahan itu berbekas di hati aku dan aku kurang menyertai aktiviti keluarga mereka.

Apa pun aku sangat bersyukur mereka tidak pernah mempertikai soal zuriat denganku.

Untuk makluman semua, aku menghidap PCOS dan telah didiagnos kencing manis dan darah tinggi sejak hampir 2 tahun lepas.

Sejak sebelum kahwin haidku memang tidak teratur dan pernah 3 bulan tak didatangi haid.

Aku pernah nyatakan pada suami sebelum dia nekad memperisterikan aku, yang aku mungkin sukar hamil atas faktor umur dan tahap kesuburan aku.

Suami pernah memberitahu dia sangat inginkan zuriat dengan aku, mungkin mengenangkan satu-satunya anak yang dia ada terputus hubungan disebabkan bekas isteri.

Dia sudi memperisterikan aku tapi menegaskan supaya aku tetap berikhtiar soal zuriat.

Kami jarang berbincang soal anak, tapi aku dapat baca riak wajahnya ketika aku sampaikan khabar samada ada kenalan atau ahli keluarga bakal menimang cahaya mata.

Sedih mungkin, di kala orang lain dah pun bergembira dapat zuriat sedangkan diri sendiri perlu menunggu entah berapa lama. Terlintas juga niat untuk ambil anak angkat tapi suami seolah tak berminat.

Aku merasa semakin pudar harapan disebabkan kitaran haid masih tidak teratur, ditambah lagi dengan penyakit kronik kencing manis dan darah tinggi. Libido semakin menurun disebabkan pengambilan ubat.

Aku juga dah cuba menjaga pemakanan dan kurangkan berat badan tapi masih belum berhasil.

Aku tak lah terlalu stress menunggu zuriat, cuma ada masa-masanya bila terpandang gambar baby atau ibu mengandung tipulah kalau tak ada rasa teringin, iri hati, sedih.

Kadang-kadang aku sengaja scroll laju-laju kalau ada kenalan aku yang update gambar atau video anak di medsos.

Teringin juga bila balik kerja ada suara kecil yang panggil aku mama. Teringin merasa alahan mengandung dan tendangan baby dalam rahim. Untungnya wanita bergelar ibu.

Tak pernah lekang dari bibirku setiap lepas solat fardhu dan sunat, doa dikurniakan zuriat.

Kadang aku bertanya sendiri, tak layak ke aku jadi seorang ibu? Mungkin Allah belum memperkenan doa aku.

Dari lubuk hati yang paling dalam, aku ingin memohon doa para pembaca agar mendoakan aku dapat menimang cahaya mata, harta dunia akhirat.

Mungkin ada di kalangan kalian yang makbul doanya. Hanya itu secebis harapanku yang ada walaupun tipis. Aku masih yakin pada kuasa Allah.

Maaf jika coretanku terlalu pendek atau membosankan. Ini hanya secebis luahan yang aku pun tak sangka akan kongsikan di sini.

Terima kasih pada yang sudi baca dan mendoakan.

– Ms Virgo (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *