1steriku Panas Baran

Salam pembaca IIUM Confession. Saya adalah seorang lelaki yang berumur dalam 30-an, telah mendirikan rumah tangga sejak 6 tahun lalu & dikurniakan 2 orang cahaya mata.

Saya ditemukan dengan isteri ketika kami bekerja bersama-sama dalam bidang kesihatan.

Pada waktu itu kami saling memahami bahawa pekerjaan kami memerlukan sikap tolak ansur & pemahaman pasangan.

Kadangkala saya pulang tidak tentu masa ke rumah, kadangkala isteri juga begitu.

Segala kerja rumah saya akan bantu isteri dari segi membersihkan rumah, menjaga anak2 jika saya tidak bekerja dihujung minggu & lain2 lagi.

Pokoknya, saya cuba sedaya upaya saya untuk menyenangkan hidup isteri & anak2, supaya isteri tidak terbeban dengan kerja & tanggungjawab yang lain.

Namun, isteri saya adalah seorang yang panas baran & mudah melenting, tambahan tidak mudah ditegur.

Saya pernah dimarahi hanya kerana tidak memahami apa yang dia katakan semasa dia meminta sesuatu daripada saya.

Perkara yang paling menyayat hati saya adalah dia pernah memarahi adik beradiknya sendiri di depan ahli keluarga hanya kerana perselisihan kecil berkenaan peralatan dapur.

Pada masa itu saya turut dimarahi teruk kerana tidak menjaga anak namun pada masa itu anak saya sedang bergembira bermain bersama saudara sepupunya.

Saya berasa sedih & dia meminta maaf hanya sekali itu sahaja. Sampai sekarang maaf bermaafan untuk kami suami isteri hanya sekali itu sahaja.

Apabila saya melakukan kesalahan kecil, saya akan dimarahi kadangkala di depan ahli keluarga isteri saya sendiri sampaikan saya rasa jatuh maruah & nak sorokkan muka tak tahu di mana.

Perkara ini akan berulang & saya pernah cuba menegur, namun isteri tidak akan mendengar & akan memarahi & mengungkit segala apa yang dia telah buat untuk keluarga

& dia akan mengungkit segala masa yang saya tidak luangkan di rumah kerana bekerja.

Lama kelamaan saya hanya diamkan diri & hal itu memakan jiwa & perasaan saya.

Untuk makluman, kerana isteri juga bekerja & agak sibuk, maka dia jarang masak di rumah & saya tidak memaksa dia untuk masak di rumah kerana saya faham dia sibuk.

Kadangkala saya juga memasak untuk keluarga tapi usaha itu seperti tidak dihargai kerana saya sedar lauk yang saya masak tidaklah sesedap mana.

Banyak kali kami beli makanan di luar & jika apa yang saya beli itu tidak menepati seleranya, itu pun akan jadi isu untuk bergaduh kami suami isteri.

Isteri pernah menyatakan hasrat untuk menambah bilangan anak, tapi saya tolak kerana anak yang 2 orang pun boleh jadi naik anginnya walaupun saya bantu.

Menengking anak secara mengejut, menampar secara tiba2, sampai saya pun pernah menegur & memarahi isteri kerana perlakuannya begitu.

Kalau begitu perangainya, jangan mimpi nak tambah lagi jika kemampuan emosi tiada.

Saya sekarang buntu & makan hati. Setiap hari yang dilalui takkan lepas tanpa mendengar kata2 nista & kasar, paling lama bertahan pun sehari cakap baik2.

Pernah saya tanya kenapa cakap kasar, namun dibahasakan saya bahawa tona suaranya memang begitu. Namun sebelum kahwin tidak begitu.

Saya terima isteri seadanya namun pada masa sama saya sayangkan anak2 & jiwa saya diperlakukan seperti tiada perasaan.

Saya tidak sempurna & mohon pembaca tidak judge apa yang saya lalui kerana saya dah pendam lama.

– Lelaki Tanpa Perasaan (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *