Saya Juga Mangsa Syaitan Pedo

Assalamualaikum para pembaca. Ini kali pertama saya menulis disini. Maaf jika ayat saya tunggang terbalik. Saya ada baca luahan seorang mangsa Pedo pada zaman kanak² beliau, (https://iiumc.com/aku-mangsa-pedo-2/).

Ya saya juga mangsa pedo seawal umur saya 7 tahun. Saya membesar dengan keluarga angkat selepas ibu meninggal. Adik beradik ramai, arwah ayah serahkan saya pada keluarga angkat semasa umur saya 4 tahun dan ayah tak pernah lagi datang jumpa saya.

Saya dibesarkan di kampung. Sama seperti mangsa tersebut, saya bebas bermain dengan kawan- kawan sekampung, hatta ke dalam rumah.

Kejadian bermula bila ibu bapa angkat saya ada majlis yang tidak membolehkan bawa kanak-kanak. Saya ditinggalkan di rumah jiran dah jiran kami ada 3 anak lelaki.

Umur baru 7-8 tahun apa lah yang kita tahu. Saya tidur diruang tamu bersama anak mereka yang lain. Seorang dari mereka memeluk saya dan meraba-raba saya.

Sumpah demi Allah saya tak tahu perbuatan tu adalah perbuatan yang salah dan jijik. Dia bisikkan pada saya, “kalau kamu bagitau mak aku bunuh mak kamu.”

Kejadian berlarutan, dari abang ke adik. Dari adik ke abang. Saya cakap pada mak angkat saya tak nak duduk situ sebab diorang main kasar. Alhamdulillah mak memahami. Dan jika ada keperluan yang membataskan untuk mak bawa saya, mak hantar ke rumah jiran lain.

Tapi bak kata orang keluar mulut singa, masuk mulut buaya. Pernah sekali mak pergi ke rumah adiknya dia Pahang. Mak tinggalkan saya di rumah jiran kami selama 2 minggu. (Jiran kami tu sepasang suami isteri lewat 50an & tiada anak.)

Selama 2 minggu, setiap malam suaminya pergi ke tempat tidur saya. Lagi teruk dia buka seluar saya dan cuba merogol saya. Mulut saya ditutup. Juga diugut jika saya bagitahu isterinya dia nak tikam saya.

Setiap hari saya menangis & doa agar mak pulang awal. Tapi apakan daya, hanya mampu menangis keseorangan.

Dirumah pula apabila cuti sekolah atau raya anak anak mak akan balik. Cucu-cucu lelaki mak ada yang belasan tahun dan ada yang dah 20an. Selalunya juga akan jadi mangsa gangguan seksual mereka.

Alhamdulillah selepas keluar result UPSR saya dapat tawaran masuk ke asrama penuh yang agak jauh dari rumah. Leganya saya dapat keluar dari kampung tu.

Tapi ibu bapa angkat saya bukan lah orang senang. Adakalanya cuti saya tak pulang. Tinggal di asrama. Pernah sekali saya tinggal seorang di asrama sampai lah warden ajak ikut dia balik.

Ikut warden balik bukan lah pilihan yang baik. Akhirnya saya dirogol adik sedara warden saya. Kali ini saya tidak berdiam diri. Saya laporkan kepada guru kaunseling sekolah.

But guess what…. Sekolah memanggil warden dan dia menafikan sekeras²nya saya dirogol & menuduh saya yang gatal meggoda suami dan adik sedara dia.

Demi menjaga nama baik sekolah, saya dikeluarkan dari sekolah tersebut. Lalu sekolah memanggil ibu bapa angkat saya & mengatakan saya berzina. Runtuh hati orang tua walaupun bukan dia yang melahirkan saya.

Bermula lah episod kebencian dalam diri mak. Mak mencemuh saya saban hari, setiap kata-kata yang keluar dari mulut dia hanya lah makian dan hinaan. Sehinggakan ibu saya yang sudah meninggal dunia juga dicemuh.

Dipendekkan cerita selepas result PMR keluar mak kata taknak masukkan saya ke tingkatan 4. Dia akan carikan suami untuk saya. Saya melarikan diri dari rumah dan mencari ayah kandung saya.

Dengan pertolongan mak saudara, saya dapat bertemu semula dengan ayah setelah 10 tahun terpisah. Tetapi ayah dah kahwin baru.

Pada awalnya kehadiran saya diterima seluruh isi rumah tersebut namun tidak kekal lama. Bonda tiri sangat bencikan saya kerana ayah sering katakan yang saya anak bongsu dia.

Segalanya jadi semakin teruk apabila bonda tiri & abang kakak saya tahu yang saya telah dirosakkan. Mereka menuduh saya anak tak guna & arwah mak di alam sana merana dengan perangai jalang saya.

Saya alami kemurungan yang teruk. Disekolah saya tak boleh fokus, saya tak berkawan, kerap menangis.

Sekali lagi saya melarikan diri & terus berhenti sekolah. Bermula lah hidup saya sebatang kara, cari duit sendiri demi sesuap nasi, tempat tinggal tak menentu.

Dan kemudian saya masuk alam rumahtangga yang penuh kesengsaraan, dipukul, dicaci, malah kerap kali dirogol suami sendiri even dalam pantang. InnsyaAllah ada kesempatan lain saya akan ceritakan.

Saya mohon pada pembaca tolong lah jaga anak-anak perempuan kita, adik kakak kita atau siapa sahaja wanita disekeliling kita. Besar impaknya pada perempuan yang punyai masa lalu.

Dan saya mohon pada mereka yang diluar sana, jika anda senasib dengan saya laporkan kepada pihak berkuasa. Jangan biarkan mereka lepas. Negara kita ada undang-undang untuk membela mangsa seperti kita.

Kepada masyarakat sekeliling, jangan lah menghina kami. Kami hanya mangsa kepada nafsu-nafsu syaitan. Bagi lah kami sokongan dan bantu lah kami membawa perkara ni ke muka pengadilan.

Salam sayang,

– Kak Zi (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit