7 Dosa Yang Dinormalisasi

Assalamualaikum semua, pertama sekali, aku minta maaf kalau penulisan aku ada kesalahan baik dari segi tatabahasa atau dari segi penggunaan perkataan tu sendiri. Aku seorang student berumur 23 tahun yang sedang melanjutkan pelajaran di sebuah university di Johor.

Tujuan aku menulis confession ni adalah kerana aku rasa terkilan apabila aku lihat masyarakat kini terutamanya para remaja menormalisasikan dosa. Apa yang aku akan tulis ni semua adalah berdasarkan pengalaman dan pemerhatian aku. 7 Dosa yang dimaksudkan tu adalah kapel, aurat, “skin ship”, mencarut, merokok dan solat dan buka aib (mengumpat). Aku akan huraikan satu satu.

1. KAPEL

Jadi kapel ni adalah dosa yang jelas dan terang dinormalisasi dalam masyarakat. Aku dulu anggap kapel ni satu benda yang sangatlah berdosa sehinggalah aku merantau untuk menyambung pengajian, aku lihat kapel ni dah jadi satu keperluan untuk kebanyakan remaja. Memang tak semua berkapel, akan tetapi kebanyakannya dah anggap kapel ni jadi benda yang “wajib” dan tak berdosa. Aku mengaku aku pon pernah jatuh cinta dan keinginan nak berkapel tu ada tapi nasib baik aku tak berani.

Pada aku, apabila satu pasangan tu berkapel, maka pintu maksiat terbuka luas. Orang orang sekeliling aku yang berkapel, semua mesti keluar kemana mana berdua tanpa ada rasa segan. Lagi parah apabila ikhtilat langsung tidak dijaga. Lagi parah juga apabila ada yang kapel tapi bukan bertujuan untuk kahwin. Benda ni bagi aku dah memang jadi normal dalam kalangan remaja sedangkan kapel ni adalah benda dilarang tegas dalam islam atas sebab pintu maksiat terbuka luas.

2. AURAT

Bosan kan baca pasal aurat?. Tapi inilah kenyataannya, pendedahan aurat kini jadi satu benda yang normal dalam kalangan remaja baik lelaki mahupun perempuan. Ya aku tahu tak semua orang bernasib baik iaitu tidak dibesarkan dengan ilmu agama yang cukup tapi ramai remaja sekarang bukan sahaja tidak menutup aurat malah “preach” lagi untuk membetulkan perbuatan mereka. Human right katanya. Lelaki yang tidak menutup aurat juga normal.

Tahukah kalian para lelaki, aurat kita sangatlah mudah untuk dijaga tapi masih ramai yang amil mudah tentang itu. Apabila aku cakap ‘normalisasi’ , maksudnya dosa tu dah jadi biasa dan seolah olah tidak lagi dipandang sebagai satu kesalahan sedangkan mendedahkan aurat ni hukumnya haram.

3. SKIN SHIP

Okay yang ni best. Skin ship ni adalah persentuhan antara lelaki dan perempuan bukan muhrim tanpa batas. Aku sangatlah terkilan dengan yang ni. Ini kerana aku lihat “skin ship” ni jadi benda yang normal bahkan sangat normal sehingga berpeluk, berpegangan tangan tu dah jadi kebiasaan, tambah tambah lagi pada yang berkapel. Kenapa aku cakap dosa ni dah jadi benda yang normal? Sebab hampir 80% orang sekeliling aku dah tak ambil peduli tentang benda ni. Aku tengok relaks je dorang bertepuk bertampar, cubit sana, cubit sini tanpa rasa bersalah.

4. MENCARUT

Okay yang ni pon best. Aku rasa yang ni semua akan setuju dengan aku bahawa carut ni dah jadi tabiat remaja zaman sekarang. Hidup aku takkan lengkap sehari tanpa mendengar carutan orang sekeliling. Aku perhati carut ni dah jadi macam hobi sebab even masalah yang kecil pon dicarutkan. Kadang aku tertanya tanya, ada kepuasan eh kalau mencarut? Mencarut ni aku lihat memang dah jadi satu kebiasaan kepada lelaki mahupun perempuan. Sampai satu tahap melatah pon keluar perkataan yang mencarut.

Yes, aku tahu melatah tu bukan under control akan tetapi kalau kita tak biasa cakap benda benda buruk tu, maka mulut pun akan berat nk keluarkan perkataan buruk tu even masa melatah. Aku bukan baik pon tapi bagi aku mencarut ni melambangkan keperibadian seseorang tu. Buah carutan paling femes setakat ni ialah Bab*, pant**, Kim**, si**. Kalau pasal carutan ni, aku tak tahu macam mana nak cure sebab bagi aku benda ni dah di tahap kritikal. Once kalau dah sebati dalam diri dan dah jadi tabiat, sangatlah sukar nak dikawal.

5. MEROKOK

Berat untuk aku tulis pasal benda ni sebab hampir semua circle aku merokok. Aku rasa seolah olah mengata dorang pulak kalau aku tulis pasal ni tapi niat aku tidak lain tidak bukan hanyalah untuk mengingatkan semua bahawa merokok bukan benda yang dibenarkan dalam islam. Merokok telah difatwakan haram dan hukumnya haram. Akan tetapi, apa yang aku lihat, rokok ni dah jadi sebagai satu sumber asas untuk hidup. Aku sedih dalam masa yang sama aku tak berani untuk nasihat sebab takut hubungan jadi renggang. Aku rasa aku tak perlu terangkan panjang pasal rokok sebab sangatlah jelas bahawa rokok ni adalah satu dosa yang dipandang ringan dalam masyarakat kita terutamanya remaja.

Betapa beratnya kesalahan merokok dalam islam ni hingga Al Habib al imam al Hussain bin Syeikh Abu Bakar bin Salim pernah bagi amaran, “aku khuatir orang yang tidak bertaubat daripada merokok sebelum matinya, mati dalam su’ul khatimah”. Nauzubillahiminzalik. Satu lagi, aku sedih bila tengok orang yang pada awalnya tidak merokok tapi bila dalam keadaan stress, dia legakan dengan rokok. Sedangkan Allah bagi kesedihan atau kesusahan pada hambanya supaya hambanya kembali ingat pada Dia dan bukanlah untuk tersasar lagi jauh.

6. SOLAT

Dosa kali ini sangatlah “alarming” dalam kalangan remaja. Aku ni bukanlah orang yang baik baik, tetapi untuk meninggalkan solat dengan sengaja, memang tidak. Akan tetapi apa yang aku lihat, tinggal solat dengan sengaja ni sangatlah normal pada ramai orang. Hidup ni untuk mengabdikan diri kepada Allah dan caranya adalah dengan solat fardu. Kalau tinggal solat fardu, apa tujuan hidup?. Aku sangatlah sedih tentang perkara ni. Kadang sanggup bagi alasan itu ini ( dalam nada bergurau) sebab nak sorok solat jumaat. Hukum tinggal solat sangat jelas iaitu dosa besar.

Bayangkan 3 hari tak solat bersamaan 15 waktu dah skip, astaghfirullah. Ketahuilah, tiada alasan untuk tidak solat. Kadang aku rasa bersalah sebab tak nasihat dan tak tegur tapi itu adalah kelemahan terbesar aku. Aku terlalu menjaga hati orang hingga nak nasihat pon tak mampu. Aku sangatlah happy kalau ada member yang on off solat tiba tiba ajak aku solat Jemaah. Perasaan gembira tu sampai nak nangis pon ada hahaha. Kenapa aku cakap tinggal solat ni dosa yang dinormalisasikan adalah kerana terlalu ramai circle aku yang tidak mempedulikan solat. Aku rasa bersalah tapi aku buntu dan takt ahu nak buat apa.

7. BUKA AIB (MENGUMPAT)

kalau pasal ni rasanya memang jelas. Aku bukanlah apa, kadang aku pon turut buat benda sama bila tengah lepak. Kadang aku tak nak pon mengumpat ni, tapi bila orang dah buka cerita, aku dengar dan tambah sikit sikit. Mengumpat ni satu dosa besar yang hari hari orang buat. Tipulah kalau korang tak pernah dengar orang mengumpat kan? Mengumpat atau buka aib ni bukan dari mulut je tau, jari pon boleh.

Contohnya tengok lah di social media especially twitter. “spill the tea” dah jadi perkara biasa sedangkan tiada kepentingan pon. Mengumpat ni satu benda yang sangat mudah dilakukan sebab ianya hanya memerlukan mulut dan audience. Paling teruk bila mengumpat, pastu buruk sangka. Aku tak tahu nak cakap macam mana tapi mengumpat ni dosa besar tapi dah jadi macam satu kebiasaan dah dalam kalangan remaja sekarang. Even benda kecil pon nak diumpatkan sebab ye lah, memang sedap lah mengumpat ni. Syok teruk. Tapi benda yang syok ni lah makan diri kelak di akhirat.

Sebagai penutup, aku bukan lah buat confession ni untuk mengutuk atau judging sesiapa. Aku pon remaja dan banyak buat salah dan tidak terlepas dari melakukan dosa. Aku just nak orang ramai termasuk aku muhasabah diri dan buka mata. Kadang kita tak sedar dosa yang kita buat tu dah sebati dalam diri kita yang mana kita selalu buat dosa dosa tu.

Untuk pencegahan, bagi aku, pangkal utama adalah diri kita sendiri. Kalau diri sendiri tak nak berubah, memang takkan berubah. Berusahalah, minta lah hidayah dari Allah. Sungguh, Dia yang maha membolak balikkan hati kita. Kita manusia lemah, dan sentiasa memerlukan pertolongan Allah. Semoga kita semua dikurniakan hidayah dan taufiq Allah. Semoga kita semua dirahmati Allah.

Aku rendah diri berharap agar admin approve confession aku ni. Dah lama aku pendam benda ni. Takut nak luah even sebagai unknown.

– Pendosa (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *