Kerana Aku Seorang Anak

Kerana Aku Seorang Anak

Aku & adik beradik dibesarkan oleh mak. Mak ibu tunggal sejak aku berusia 5 tahun. Mak lah ibu & ayah buat kami adik beradik.

Abah, tidak melepaskan tanggungjawabnya 100% pada mak selepas bercerai. Abah masih datang jenguk kami, bawa kami bercuti, perhatiannya pada kami masih sama walaupun abah & mak sudah berpisah.Tapi ada sikap abah yang membuatkan kami adik beradik semakin jauh hati.

Abah panas baran, ego & kedekut. Aku masih ingat pada usia 8 tahun semasa mengikut abah membeli makanan di restoran KFC, aku terlalu suka dengan tabung edisi terhad restoran tersebut & memujuk abah untuk membelinya. Tapi abah meminta aku membayar semula harga tabung & pembeliannya itu dianggap aku berhutang dengannya.

Abah, bila barannya datang, dia suka menghamburkan perkataan-perkataan menghina & memaki hamun.

“menyusahkan abah”

“lepasni biar mati kebulur abah tak heran”

Sikap abah ini jugalah salah satu punca abah & mak berpisah. Mak sudah tak mampu hidup bersama abah yang panas baran, ego & kedekut, ditambah dengan sikap abah yang sanggup memukul mak.

Menurut mak, sejak kami kecil abah suka memarahi sambil memaki & mengucapkan kata-kata yang menyakitkan hati tetapi kami adik beradik tak terasa hati kerana tak memahami apa yang abah maksudkan. Semakin aku dewasa, sikap abah tersebut semakin membuatkan aku berjauh hati & lama kelamaan seperti hilang rasa sayang.

Tahun 2010, 1 kejadian antara aku dan abah menjadi titik permulaan abah meninggalkan kami adik beradik. Aku berusia 13 tahun & abah melabelkan aku sebagai anak derhaka & tak tahu bersyukur, mak pula dihina kerana tak tahu mendidik anak. Habis semua keperluan yang abah dah sediakan pada kami adik beradik, abah ambil kembali.

Abah datang ke rumah mak dan tuntut semua duit sekolah, duit nafkah untuk dikembalikan. Telefon bimbit yang abah bagi untuk kemudahan komunikasi kami juga abah ambil. Abah menghina aku & mak bertubi-tubi & abah menegaskan yang dia takkan beri lagi nafkah bulanan pada kami & tak peduli kalau kami semua tak makan & kebuluran.

Mak ada cuba menasihati abah, mak katakan aku hanya seorang budak yang meluahkan isi hati & ketidakpuasan hati, bukan aku berniat untuk bergaduh dengan abah. Dan abah sebagai orang tua, sepatutnya berfikiran rasional & tidak bermusuh dengan anak. Tapi kata-kata mak dibangkang oleh abah & abah nekad meninggalkan kami semua & menganggap kami semua tidak wujud lagi.

Selepas kejadian itu, abah tidak lagi menghubungi kami, menjenguk kami. Abah tak pernah tanya soal persekolahan kami, peperiksaan, kami, kesihatan kami. Sakit demam kami, mak yang bersengkang mata, makan minum kami, mak yang masakkan, pakaian kami, mak yang jahit kan.

Aktiviti disekolah yang memerlukan penglibatan ibu bapa, hanya mak seorang yang hadiri. Aku kagumi mak, bagaimana tubuh yang satu itu terbahagi untuk mencukupkan kami 4 orang adik beradik. Pernah kawan sekolah aku bertanya “Nur, kau takde ayah ke?” dan aku tanpa berfikir terus menyebut “Takde, dah mati”.

Sehingga kami semua adik beradik habis sekolah dan menjejakkan kaki ke university, mak lah yang bersusah payah keringat untuk kami. Masih aku ingat kepayahan mak membawa aku ke selatan tanah air untuk mendaftarkan diri ke unversiti hanya dengan menaiki bas, membawa sebiji baldi & beg baju.

Mak tak mampu untuk melengkapkan keperluan aku ke asrama. Mak ada menghubungi abah meminta bantuan kewangan untuk pendaftaran aku, tapi abah hanya membalas dengan kata-kata hina.

Sekarang, kehidupan kami adik beradik lebih stabil & kami banyak menghulurkan duit belanja buat mak, supaya mak boleh fokus pada amal ibadah & selesa dengan kehidupan hari tua.

Abah, sejak beberapa tahun ini, abah sudah mula menghubungi kami. Bila tiba hari raya, abah meminta kami adik beradik berkumpul untuk menyambut kedatangannya bersama isteri & anak kecilnya. Abah memaksa kami memberi duit raya buat anak kecilnya. Ada juga abah post kata-kata di WhatsApp group kami tentang tanggungjawab seorang anak kepada orang tua.

Abah juga pernah menyindir kami adik beradik kerana tak pernah memberi duit bulanan setelah kami masing-masing bekerja. Abah bukanlah orang susah. Setelah 30 tahun bekerja di syarikat oil & gas terkemuka, membuatkan abah layak digelar jutawan dengan nilai asset, simpanan & KWSP yang dimiliki.

Dan kami adik beradik, tidak pernah menyebut tentang hak-hak kami sebagai seorang anak yang telah diabaikan. Tak pernah meminta duit daripada abah untuk meneruskan kehidupan, kami tak pernah peduli nilai-nilai asset & harta abah jauh sekali untuk berebut & bertelagah.

Kami adik beradik, hampir tiada rasa atas apa-apa pun keadaan abah, yang menguntungkan mahupun merugikan. Abah hidup sebagai seorang pesara dengan keadaan yang sangat selesa.

Bila kami dewasa, kami sering disindir kerana mengabaikan abah, tidak memberi duit hasil gaji kami pada abah, tidak menjenguk abah yang kini mempunyai isteri & anak kecil, tidak pulang beraya dengan abah, tidak memberitahu abah tentang perkembangan semasa kami.

Aku hanya seorang anak, yang dibesarkan oleh seorang mak, sehingga hidup aku hanya memikirkan kepentingan mak, dan tidak sengaja terlupa akan keberadaan abah.

Kami tidak dibiasakan untuk ber’abah’. Kami tidak dibiasakan untuk melihat abah. Kami tidak dibiasakan untuk bonding dengan abah. tapi bila kami dewasa, kami disalahkan dan dilabel anak derhaka kerana kami ‘terlupa’ akan abah.

Anak itu amanah, kalau kita mahukan anak kita mengingati kita, penuhkanlah masa kecilnya dengan memori bersama kita. Penuhkanlah masa kanak-kanaknya dengan memori bersama kita. Penuhkanlah masa remajanya dengan memori bersama kita.

Aku juga telah punya anak. Dan aku akan berusaha untuk menjaga amanah Allah ini. Aku tak sanggup jika satu hari nanti anak aku ‘terlupa’ akan aku sebagaimana aku ‘terlupa’ tentang keberadaan abah.

– Nur (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit