Assalamualaikum. Saya terpanggil untuk memberi sedikit teguran kepada anak-anak zaman sekarang dan juga netizen-netizen yang sama menyokong perbuatan anak-anak kepada ibu bapa. Ikhlas kerana saya sayangkan anda semua sebagai saudara Islam. Sekiranya ada yang triggered dengan teguran ini, halusi dan selidik hati anda sendiri adakah segala perbuatan anda adalah tepat dan tidak berdosa.
Saya selalu membaca mengenai luahan anak-anak mengenai ibu bapa dan keluarga. Ada yang sehingga membawa diri ke luar negara. Saya ingat beberapa cerita dan bertapa kuatnya mereka menghadapi ujian dari Allah SWT. Tidak terkecuali diri saya, juga dianak tirikan oleh keluarga sendiri.
Si Sial Ehsan, selalu disebut oleh keluarga saya. Seperti cerita ANAK NERAKA AYAH ATAN, (https://iiumc.com/anak-neraka-ayah-atan/), saya selalu dikatakan anak sial dan tidak tahu kenapa saya dibenci keluarga. Saya didera sehingga diselamatkan oleh sebuah yayasan anak-anak yatim. Ya, saya diyatimpiatukan terlalu awal sedangkan ibu bapa saya masih ada. Sehingga sekarang hampir 20 tahun saya tidak mendengar khabar berita mereka.
Anak-anak sekalian, sejak kecil saya bersabar dengan mereka. luka dikaki sehingga berbekas sebagai ‘hadiah’ mereka kepada saya. Sama juga seperti cerita RUMAH NERAKAKU (https://iiumc.com/rumahku-nerakaku-ii/) sebelum ini, saya dilayan seperti hamba. Sekiranya ibu penat dan tengah sakit hati, sayalah tempat didera dan disumpah seranah.
Tapi saya tahankan hati untuk tidak membalas balik kerana saya tahu tempat saya dimana. Dia tetap ibu saya. Sampai saya diselamatkan oleh yayasan anak-anak yatim, tidak sekali pun mereka datang menjenguk saya dan diibaratkan saya dibuang terus dari keluarga.
Anak-anak sekalian, ramai diantara kami di yayasan gagal dalam hidup. Bagi mereka, itulah pembalasan kepada ibu bapa atas kegagalan membentuk peribadi mereka sebagai anak. Tapi cuba fikir, Allah memberikan kita otak untuk menyelami sedalamnya hikmah yang Allah ‘hadiahkan’ untuk kita.
Ada yang mengambil dadah, berzina, menjadi pelacur, hisap rokok. Tapi bahagiakah mereka dengan perbuatan terkutuk tersebut? Adakah kita perlu merosakkan diri kita gara-gara keluarga yang memang membuang kita dari kecil? Ibu Bapa adalah contoh untuk kita antara menjadi lebih baik atau menjadi lebih jahat.
Sekiranya kita benci dengan tindakan mereka, mengapa kita perlu mengikut menjadi seperti mereka? patutnya kita lebih menjadi manusia yang baik dan berguna supaya Allah tidak meletakkan kita setaraf mereka. Dosa Ibu Bapa kepada kita adalah Dosa mereka kepada Allah. Siapakah kita untuk menghukum mereka?
Seperti cerita Rumah Nerakaku sebelum ini, saya tidak persoal tindak tanduk confessor kerana terlalu marah dan rasa diri seperti tiada nilai kepada keluarga. Tetapi jika ingin membawa diri, pergilah dengan tenang tanpa menambah satu dosa lagi iaitu derhaka.
Membuang barang kepada ibu bapa, campak segala pakaian didepan muka ibu itu bukan tindakan yang perlu dibanggakan. Malah netizen sekalian menyokong tindakan confessor seolah dia perlu buat begitu kepada ibunya sebagai membalas dendam.
Anak-anak, sampai waktunya kita akan berkahwin dan mempunyai anak sendiri. Kita pun belum tahu dugaan untuk kita sebagai ibu bapa. Cerita seperti seorang gadis (maaf saya sudah lupa) dipaksa berkahwin dan dia membawa diri ke luar negara itu apa saya respect keberanian dia.
Dia pergi dengan elok dan tiada dendam. Sama jugak anak ayah Atan sebelum ini, cuba untuk tidak derhaka walaupun hati sakit. Masih ada respect didalam diri dan lihatlah rezeki mereka masing-masing. Allah memberi ganjaran kembali dalam bentuk kejayaan.
Anak-anak, percayalah apa yang Allah duga ini adalah asbab untuk anda berjaya. Lagi anda bersabar dan tidak melukakan hati orang, lagi banyak rezeki yang Allah berikan. Lagi banyak fitnah dan tohmahan orang kepada kita, lagi luas pintu rezeki yang Allah bukakan.
Berbalik cerita tentang diri saya, Alhamdulillah sekarang saya adalah salah seorang CEO di salah sebuah anak syarikat GLC. Saya mampu untuk berjaya walaupun saya tahu perjalanan saya berliku. Bagaimana saya belajar dan bertahan didalam kareer tanpa sokongan keluarga? Jawapan saya adalah saya ada Allah. Saya percaya Dia. Dia dan Rasulullah SAW adalah kekasih saya abadi. Saya tidak perlu judgement dari orang luar, dan orang yang tidak menghargai saya.
Dahulu banyak kali saya jatuh, ada sekali saya diberi rawatan di hospital sakit jiwa kerana tidak tahan untuk hidup. Tapi saya bangkit kembali kerana saya tahu yang SAYA HANYA ADA SAYA. sekiranya saya sakitkan diri saya, hanya saya yang akan sakit. Sekiranya saya gembirakan diri saya, hanya saya akan rasa kegembiraan itu :)
Buat anak-anak sekalian, bertabahlah dengan ujian hidup. kembali kepada Yang Maha Esa, doa sebanyaknya dan mohon maaf kepada mereka walaupun anda rasa anda tidak ada dosa. Jika masih rasa sakit hati, just message mereka dan terus block. Tidak mengapa sekiranya anda tidak mahu balik, tapi biarlah dengan kemaafan didalam hati kerana itu kunci untuk ketenangan.
Akhir kalam, sekiranya coretan saya ini menambah duka anak-anak, saya mohon seribu kemaafan. Raikan kehidupan dan hargai ketenangan hidup.
Assalam,
– Ehsan (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit