Anak “Neraka” Ayah Atan

Anak “Neraka” Ayah Atan

Kehidupanku amat berbeza dari orang lain. Sejak kecil lagi ibarat “terasing” daripada keluarga. Sifatku yang pendiam dan hanya menurut membuatkan mereka lebih membuliku. Aku selalu digelarkan “anak neraka” apabila melakukan kesalahan walaupun hanya kesalahan kecil.

Aku kurang berjaya disekolah. Kerana selalu dikatakan “anak neraka”, aku menjadi liar dan bergaul dengan budak-budak nakal. aku merokok, hisap ganja tapi alhamdulillah aku tidaklah kearah merosakkan anak gadis orang lain. Aku hanya buat jahat terhadap diri sendiri, tapi aku tidak pernah menyentuh orang lain.

Pergi sekolah setengah hari sahaja, lepas tu lompat pagar. Malik, sahabatku selalu menjadi “penaja” untuk membeli rokok dan ganja. Sahabatku ini anak orang berada. Walaupun dia nakal, tapi amat pandai dalam pelajaran. Itu membuatkan guru pening untuk menghukumnya. Apa taknya, pelajar paling suka buat masalah, tapi selalu mendapat nombor 1 di sekolah.

Kalau aku ingat balik, memang unik si Malik ni. Dia amat baik diluar, selalu membeli makanan kepada orang miskin, tetapi disekolah dia menjadi amat nakal dan selalu membuat masalah. Berbalik kepada masalah aku, ibu tidak pernah menunjukkan muka manis setiap kali melihatku. Kalau aku terpecah pinggan pasti ayat yang sama disebut, ANAK HARAMJADAH! Aku pun tak tahu apa salah aku ni, salah waktu ke mereka lahirkan aku?

Ayah? haha, jangan haraplah dia nak ambil tahu pasal aku. Bagi mereka hanya kakak dan abang saja yang memberi kebanggaan kepada mereka. Abang aku supervisor Kilang. Kakak aku Cikgu. Disebabkan umur yang jarak antara aku dan adik beradik lain, aku tak dapat nak berbakti memberi ibu bapaku duit seperti abang dan kakak. Bayangkanlah, umur ku baru 16 tahun, masih sekolah tetapi selalu diperli ibarat menyusahkan keluarga.

Berapa kali aku ingin behenti sekolah dan bekerja. Yelah, aku pun teringin nak dipuji macam abang dan kakakku, dapat berikan mereka duit belanja. Aku impikan ibuku dapat membelaiku sayangkan aku sekiranya aku dapat mewahkan dia. Sebab itu aku dapat idea, dari aku ponteng sekolah, baik aku kerja cuci kereta untuk tambah belanja. Malik menghalang, siap cakap nak bayarkan gaji aku. Tapi aku berdegil sebab ingin betul melihat ibu gembira bila tengok aku bawa duit pulang.

Tapi sangkaan ku meleset, sambil kubawa duit RM50 didalam kocek untuk kuberikan kepada ibu, ibu memarahi aku dan bertanyakan dari mana aku dapat duit sebanyak ini? Aku ceritakan segalanya tetapi mereka tidak percaya. Abang aku siap menghasut mengatakan aku menjadi pengedar ganja. Kebetulan bekas plastik ganja ada lagi didalam beg aku. Aku dihalau keluar malam itu dan disumpah seranah mengatakan aku ini anak yang tiada membawa untung.

Ya, aku dihalau sehelai sepinggang. Malik, sahabatku menjemputku datang ke rumah. Nasib aku baik, Ayah Atan, ayah Malik menerima aku dengan baik. Ayah Atan sanggup bersemuka dengan Ibu ku dan aku ingat lagi ayat yang terpacul dari wanita yang melahirkanku. “Hisyam sudah aku anggap bukan anakku, menyusahkan kami sekeluarga”. Bederai air mataku ketika itu. Ayah Atan memohon hak penjagaan supaya aku dapat menjadi anak angkatnya.

Keluargaku mengambil kesempatan sekiranya ingin mendapatkanku, Ayah Atan harus membayar RM5000 sebagai persetujuan. Terkejut Ayah Atan dan berkata, aku bukan barang dagangan yang boleh dijual beli. Tetapi kerana kasihankanku, Ayah Atan membayar RM7000 dan membawa aku pergi. Ayah Atan siap berkata, satu hari nanti keluargaku akan menyesali kerana membuat “anak neraka” ini.

Bermula hidupku dirumah Malik. Ayah Atan berkata, Sejak Malik berkawan denganku, Malik semakin baik dan menjadi rapat kepadanya. Sebab tu Ayah Atan tidak menjadikan aku sebagai bebanan dan menerima aku menjadi anaknya. Aku seperti tersedar dengan peluang kedua ini dan aku janji akan belajar bersungguh-sungguh untuk membalas budi kepada Ayah Atan.

Aku dan Malik setiap hari belajar dan kami berjanji untuk melupakan seketika rokok dan ganja kerana SPM semakin hampir. Berkat tekad kami, aku mendapat 4A dan Malik mendapat 8A. Tidak pernah lagi aku mendapat A didalam subjek sewaktu belajar, terima kasih kepada Malik yang berotak geliga menolongku disaat aku perlukan bantuan.

Kerana Malik adalah pelajar cemerlang, dia mendapat biasiswa kerajaan melanjutkan pelajaran ke UK. Yang lucunya, Malik mendapat tawaran kursus Doktor Perubatan. Terkejut Malik waktu tu kerana dia adalah ‘bekas’ remaja liar dan kini akan menjadi bakal doktor. Aku pula mendapat tawaran matrikulasi di seterusnya melanjutkan pelajaran ke IIUM didalam bidang perundangan. Ya, Anak neraka ini mendapat tawaran ke Universiti ISLAM Antarabangsa.

Sewaktu hari pertama aku menjejak kaki ke IIUM, aku rasakan bertapa berdosanya diri ini dan berasa tidak layak menjejak kaki ke sana. Sedih kerana tidak dapat bersama Malik ke luar negara, tetapi rupanya Allah sudah tetapkan yang aku perlu berada di Malaysia dan IIUM kerana Ayah Atan diserang sakit lumpuh, Allahu, nasib baik lagi aku ada disini.

Kerana Ayah Atan sudah lumpuh, Ayah Atan membuat keputusan untuk menjual kesemua share didalam company dan segala bas dan lori. Ayah Atan juga telah menjual rumah besarnya dan membeli rumah teres dua tingkat di Gombak. Sebelum beliau membuat keputusan, beliau telah berunding dengan aku dan Malik.

Kami menyokong setiap keputusannya lagipun hanya aku dan Ayah Atan sahaja berada disini. Buat apa rumah besar-besar dan aku sedikit pun tidak kisah sekiranya kami menjadi susah kerana aku tahu aku boleh menjaga Ayah Atan yang selama ini berusaha memewahkan aku dan Malik.

Malik menangis kerana tidak dapat balik, apatahlagi kami sudah tidak mewah, dia tidak dapat balik selalu. Aku dengan kuatnya berkata, Ayah Atan masih ada aku. Aku boleh menjaganya sambil menghabiskan ijazah aku kerana rumah kami amat dekat dengan IIUM. Kerana kesebukkan aku menjaga Ayah Atan, aku sudah lupa hal keluargaku sehinggalah aku teserempak dengan kakak kandungku yang menjadi cikgu itu sewaktu membeli barang untuk keperluan Ayah Atan.

Rupanya kakakku sudah berkahwin tetapi hidup seperti neraka. Kerana suaminya menggunakan namanya untuk membuat pinjaman peribadi. Diluahkan segalanya kepadaku, semenjak aku dihalau, ibu bapaku bercerai kerana ayahku ada orang lain. Abangku pula selepas kahwin terus lupakan keluargaku. Apatahlagi nak berikan duit seperti selalu. Kakakku pulak dikejar bank dan ahlong gara-gara suaminya. Kakakku merayu untuk aku pulang dan ingin meminjam sedikit duit untuk membayar hutang.

Warga IIUM Confession, aku ingin mendapat nasihat dari semua adakah perlu aku membantu keluargaku sendiri? Sejak kecil lagi aku dihina sebegitu teruk sehingga Ayah Atan terpaksa membeliku. Mereka telah membuang aku jauh sewaktu aku didalam kesusahan. Aku sekarang masih belajar dan apa yang ada sekarang adalah duit dari Ayah Atan.

Walaupun Ayah Atan memberikanku setengah hartanya kepadaku dan setengah lagi kepada Malik, tapi aku rasa tidak wajar aku menggunakan duitnya untuk menyara keluargaku. Ibuku, selepas tahu aku sudah hampir berjaya dan akan menjadi peguam tidak lama lagi, terus mengucapkan SAYANG dan RINDU.

Seriously hidup aku hanya ada AYAH ATAN. Aku tidak mahu menjadi anak derhaka, tetapi situasi aku ini aku tidak dapat menerima mereka lagi. Akhir sekali, aku memberikan duit RM50 kepada kakakku, dan meminta dia memberikan kepada ibuku. Duit RM50 yang masih kusimpan sewaktu aku membawa pulang hasil gaji pertamaku dan saat hari yang aku dihalau keluar dahulu.

Aku masih simpan rapi didalam dompetku kerana dah niat aku dari dahulu lagi RM50 itu aku ingin memberi kepada ibu dengan harapan ibu dapat menerimaku dan menyayangiku. Tetapi sudah terlambat. Hati aku sudah kering untuk menerima mereka kembali, dan aku tahu kerana aku sudah berjaya berkat hasil titik peluh Ayah Atan, mereka ingin menumpang kesenangan aku.

Bayangkan kalau aku sekarang hanya penagih dadah, adakah mereka aku menerimaku seperti sekarang. Hipokrit dan mata duitan! Itu yang aku dapat gambarkan keluargaku sekarang. Aku tidak akan menggunakan duit Ayah Atan untuk kesenangan mereka apatahlagi Ayah Atan amat memerlukan untuk rawatan kesihatannya.

Sekiranya aku ingin berikan kepada mereka nanti, biarlah dengan gajiku sendiri dan yang paling utama tetap AYAH ATANKU! Doakan semoga Ayah Atan kembali sihat dan Malik dapat kembali kesini dan dia dapat kesempatan untuk merawat bapanya sendiri. Inilah perjalanan kami dari budak-budak nakal sehinggalah sekarang. Seperti novel, tetapi inilah hidupku.

Kepada yang menjadi ibu dan ayah, hargailah anak-anakmu, kerana anak-anak ini membawa rezeki kepada keluarga. Sekiranya sudah tidak mampu atau tidak menerima anak lagi, janganlah melahirkan mereka kerana anda akan merosakkan masa depan mereka seperti mana aku hadapi. Nasib aku sekadar baik kerana aku ada Malik dan Ayah Atan.

– Hisyam (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit