Assalamualaikum semua. Terima kasih admin kerana sudi menyiarkan coretan hatiku.
Cukuplah sekadar mengenaliku sebagai N. Berumur sekitar penghujung 20-an. Mempunyai seorang puteri yang bijak dan manis yang menginjak usia hampir empat tahun.
Kisah yang ingin aku kongsikan ini berkaitan dengan perjalanan hidupku. Semoga dapat dijadikan pengajaran buat semua yang bergelar suami isteri.
Awal perkahwinanku dengan bekas suami, kami sangat bahagia. Kami dikurniakan seorang puteri seawal usia perkahwinan kami hampir setahun setelah aku keguguran bayi pertama sekitar 2015.
Disebabkan kos sara hidup yang tinggi dan kepayahan kami mencari pengasuh, kami sepakat untuk menempatkan puteri kami di kampungku. Anak kami dibawah jagaan ibu saudaraku.
Hampir setiap minggu aku berulang balik ke kampung untuk menjenguk anakanda yang amat aku kasihi.
Namun atas doa yang tidak putus-putus dan dengan kebenaran daripada pihak suami, aku akhirnya dapat berpindah ke kampung halamanku.
Walaupun berat hatiku kerana bakal berjauhan dengan suami, aku tetap tawakal demi anak. Semua yang ku lakukan demi anak yang ketika itu masih kecil dan sangat memerlukan kasih sayang seorang ibu.
Selang beberapa bulan aku berpindah, dapat aku rasakan kelainan pada suamiku. Kami jarang mesra apabila berkomunikasi. Apabila berhubung melalui WhatsApp, pasti ada yang akan digaduhkan.
Suami pula seakan menjauhkan diri dan jarang-jarang pulang ke kampung untuk melawat kami dua beranak.
Sekitar Ogos 2017, suamiku secara tiba-tiba menzahirkan kata-kata untuk kami berpisah. Tanpa sebab yang kukuh. Alasan beliau, aku hanya mementingkan anak.
Rentetan dari peristiwa itu, kerapkali kami bergaduh. Tiada lagi kemesraan seperti dulu. Suami jarang sekali pulang melawat kami.
Hal paling menyedihkan, tatkala Syawal menjelma, hanya aku dan anak menyambut Aidilfitri berdua. Walhal ketika itu, aku masih isterinya yang sah.
Aku dinafikan hak untuk pulang beraya di kampung mertua. Alasannya,tiada cuti untuk pulang bersama.
Kemuncaknya, sebulan selepas Aidilfitri, aku diceraikan dengan talak satu. Luluh hatiku, namun apakan daya jika kita bukan lagi jadi keutamaan dan pilihan. Untuk apa terus bertahan dengan sesuatu yang menyakitkan?
Dalam tempoh eddah, aku dikejutkan dengan berita pertunangan bekas suamiku dengan gadis pilihan hatinya. Tanpa aku sedari, rupanya aku dikhianati semasa aku masih bergelar isterinya.
Allahu, hancur hatiku. Tergamaknya kalian. Sedangkan aku dan anak jarang sekali dibawa kemana-mana, kalian berdua boleh melancong ke sana sini tanpa rasa bersalah. Satu persatu Allah tunjukkan padaku.
Setiap gambar ada dalam simpananku. Benar, doa insan teraniaya Allah makbulkan. Allah SWT telah buka seluasnya jalan padaku. Setiap satunya Allah tunjuk tanpa hijab.
Aku dahulunya sebagai isteri pernah dihina. Dihina sebab perempuan lain.
Dihina kerana meminta sedikit ruang dan masa untuk kembali mengandungkan zuriatmu tanpa kau ketahui sebabnya.
Dihina kerana fizikalku yang berubah setelah melahirkan zuriatmu. Hancur hatiku hanya Allah yang tahu.
Untuk bekas suamiku,
Mungkin saya bukan isteri yang baik, saya tak dapat jaga makan minum abang sepanjang masa.
Maafkan saya sekiranya keputusan saya mendekatkan diri dengan anak membuatkan abang rasa saya tak perlukan abang lagi.
Demi Allah, saya lakukan semua itu demi anak yang masih kecil dan perlukan perhatian seorang ibu.
Salahkah saya sebagai seorang ibu mengasihi anak yang sepatutnya jadi pengikat kasih sayang antara kita? Maafkan saya juga kerana saya tak dapat jadi seorang perempuan macam abang impikan.
Yang suka pakai jeans dan baju mengikut body. Saya sedar diri abang, saya tak punya fizikal yang cantik untuk menjadi seksi di mata abang.
Salah ke saya cuba menjaga maruah abang sebagai suami untuk berpakaian sopan? Salah ke saya abang?
Maafkan saya juga kerana tak dapat nak slim macam dulu-dulu. Bukan senang saya nak kembali ke bentuk asal setelah melahirkan zuriat abang.
Untuk apa saya makan pil-pil yang bakal menjahanamkan fungsi tubuh badan saya kemudian hari demi memuaskan hati insan yang tak menghargai kita? Semoga abang bahagia atas setiap airmata saya.
Buat wanita yang kini bergelar tunangan bekas suamiku,
Tidak ada rasa bersalahkah kamu sebagai seorang wanita mengganggu rumahtangga orang lain?
Sungguh kamu bijak, mengambil kesempatan atas kesempitan orang lain.
Kerana kamu, aku ditinggalkan terkontang-kanting membesarkan anak yang masih tidak mengerti apa-apa. Semoga kamu tidak diuji sebagaimana aku diuji.
Buat pembaca,
Terima kasih kerana sudi meluangkan sedikit masa membaca coretan hatiku.
Hargailah isterimu wahai suami, ingatlah siapa yang ada dengan kalian semasa kamu masih “zero” sehingga kamu ke tahap sekarang ini. Percayalah, kifarah Allah itu ada.
Doakan perjalananku dan puteriku dipermudahkan. Akan aku usaha sehabis baiknya demi anakku. Doa yang baik-baik untuk kami ya. Semoga masih ada sinar suatu hari nanti buat kami berdua.
InshaAllah.
– Mell (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit