Misteri Alam – Penghuni

Penghuni.

Apa yang kita faham dengan perkataan di atas? Sudah tentu maksudnya orang yang mendiami sesebuah rumah atau satu-satu tempat.

Secara logiknya, penghuni sudah tentu orang yang kita nampak. Contohnya penghuni rumah sebelah kita. Kita akan nampak dia keluar rumah. Dia keluar pergi kerja atau sebagainya.

Baiklah kali ini aku akan bercerita tentang penghuni yang tidak nampak dengan mata kasar. Penghuni yang kita tidak tahu rutin hariannya. Tetapi kita tahu di sana ada penghuni.

Bagaimana kita tahu?

Aku akan ceritakan semula bagaimana kejadian ini terjadi.

*

Tayar trak bergolek di atas permukaan jalan di salah satu daerah pedalaman di Kelantan.

Sebaik melintasi sebuah bukit, terbentang luas permukaan air, tasik dari sebuah empangan yang telah lama dibina. Empangan yang salah satu terawal ada di Malaysia.

Keindahan empangan itu tidak dapat dinafikan. Kehijauan pokok-pokok hutan bagaikan warna kehidupan. Kehidupan yang subur lagi sihat.

Kehijauan daun-daun pokok yang segar diringi berdiri gagahnya batang-batang pokok, bagaikan alam ini bergembira kerana tiada gangguan daripada tangan-tangan yang rakus mementingkan nafsu kemewahan.

Itu dulu bukan sekarang.

Sekarang hutan ini sedang sedih atau hiba kerana diri mereka sedang disakiti. Pokok balak ditebang tanpa belas ihsan. Tanah digondol tanpa rasa bersalah.

Tayar trak yang aku naiki bergolek pula di atas jambatan yang berdiri kukuh. Jambatan yang menjadi ikonik pada empangan ini.

Terpegun mata aku melihat segalanya. Yang mana unsur semula jadi bersatu dengan buatan manusia. Akhirnya menjadi keindahan yang tidak jemu mata memandang.

Ya Allah, betapa indahnya ciptaan Mu.

Ciptaan yang menjadi tatapan hamba Mu.

Ciptaan yang akan dijaga hamba Mu sebaik mungkin.

Sebaik melintasi jambatan, trak yang aku naiki memperlahankan kelajuan. Trak membelok ke kanan dan menuruni kawasan yang agak rendah.

Trak telah terkeluar dari jalan utama. Jalan yang mempunyai satu lorong kini tempat tayar trak bergolek. Dalam 10 minit, trak berhenti pada satu kawasan yang berpasir.

Aku dan kawan-kawan semuanya turun kemudian kami memunggah barang-barang turun pula.

Di depan aku berdirinya beberapa buah rumah. Rumah yang diperbuat daripada kayu. Rumah itu berada berdekatan di tebing tasik.

Kami diarahkan berkumpul, semasa berkumpul kami telah dibahagikan kepada dua kumpulan. Satu kumpulan terdiri 8 orang. Semua orang diarahkan bergerak menuju ke tebing tasik. Terdapat sebuah jeti di sana.

Tiga buah bot telah menunggu. Bot yang diperbuat daripada besi. Seluruh badan bot berwarna hijau. Sebuah bot akan dinaiki 8 orang.

Siap segalanya. Bergerak bot menuju ke ke tengah tasik. Bergema bunyi bot memecahkan suasana damai di empangan itu.

Dari jauh kelihatan tiga buah bot membuntut melungsur laju di permukaan air. Bot yang berada di belakang sekali memuatkan barang-barang.

Bot mula memasuki salah satu sungai. Salah satu sungai yang mendermakan air untuk empangan itu. Perlahan badan bot merapati tebing sungai yang agak berbatu. Bot tidak dapat mudik ke hulu lagi kerana jeram dan batu-batu menjadi halangan.

“Turunkan barang-barang,” laung ketua sebaik badan bot merapat ke tebing sungai.

Setelah selesai segalanya. Bot bergerak pergi. Bunyi bot kedengaran dari jauh, akhirnya hilang.

Memandangkan hari hampir gelap, ketua mengarahkan base didirikan di tebing sungai.

*

Pagi.

Setelah sarapan dan membuat persiapan. Kumpulan kami mengatur langkah untuk masuk ke dalam hutan lagi.

Begitu keadaan seterusnya, kami akan bermalam setiap kali di hujung perjalanan. Selama seminggu kami berjalan dan bermalam masuk ke perut hutan.

*

Pada hari ke 8.

Kumpulan kami berhenti pada satu kawasan. Kawasan yang sangat menarik. Kawasan itu agak rendah tetapi bercerum. Kawasan itu dikelilingi dengan banjaran yang lebih tinggi iaitu gunung-ganang yang bersambung-sambung bagaikan kelihatan berombak dari jauh.

Di depan kami ibarat dinding yang mengelilingi. Dinding berwarna hijau yang indah.

Pada satu sudut banjaran, kelihatan dari jauh limpahan air terjun yang menimpa batu-batan. Kami berada di sebuah lembah. Ya! seperti berada di dalam kawah.

“Wow!” Itu sahaja yang dapat aku katakan di dalam hati.

Kami sampai di kawasan itu pada waktu tengah hari.

“Berhenti semua, kita akan dirikan base tetap di sini,” arahan daripada ketua.

Semua orang duduk dan berehat seketika. Melepaskan lelah yang masih sarat.

Semasa berehat aku mainkan anak mata memandang sekeliling. Aku hayati keindahan yang berada di depan mata.

“Cantik sungguh, bagaikan lukisan,” kata hati aku.

Setelah rehat seketika, masing-masing memulakan tugas yang diberikan.

Aku dengan 2 orang kawan. Menuruni cerum yang agak landai. Aku diarahkan membuat tali perimeter.

Semasa memasang tali perimeter, aku terperasan di mana tempat yang aku berdiri begitu bersih sekali. Aku pandang keliling, sama juga bersih.

Aku hairan apabila melihat tiada dedaunan kering yang terlihat di permukaan tanah. Mana mungkin di dalam hutan dara tiada daun-daun yang gugur.

Anak-anak pokok juga tiada yang tumbuh. Lapang dan bersih. Cuma pokok-pokok yang setinggi 10 kaki ke atas sahaja yang tumbuh. Tempat itu bagaikan dijaga atau ada orang yang menyapunya.

“Jangan potong pokok, jangan rosakkan pokok. Ikat saja,” perintah aku kepada kawan yang junior.

Sebagai orang lama aku dapat rasakan sesuatu. Sesuatu yang ada penghuni di sini.

Selesai tugas aku, aku arahkan kawan-kawan beredar dahulu. Tinggal aku berdiri seorang diri. Anak mata aku meliar memandang sekeliling. Serius wajah aku.

“Brappp!”

Serentak muka aku disapa angin yang entah datang dari mana.

Aku tidak menunggu lama.

“Assalamualaikum,” Sempat lagi aku memberi salam sebelum menapak laju.

*

6.30 petang.

Selesai makan malam, aku duduk berkumpul dengan kawan-kawan. Bercerita, berborak sudah semestinya diselangi gelak-tawa.

*

Dalam pukul 7.

“Allahhuakbar, Allahhuakbar,”

Tiba-tiba sahaja kedengaran suara Azan sayup-sayup tetapi jelas.

Aku dan kawan-kawan terperanjat besar. Semuanya berdiri memandang sekeliling dan mencari-cari suara Azan itu.

Kami saling berpandangan. Mimik wajah muka masing-masing pelik dan kehairanan. Setahu kami di dalam peta menunjukkan tiada sebuah rumah pun di kawasan itu. Apa lagi perkampungan.

Aku cuba amati sebaik-baiknya. Aku pasang telinga betul-betul.

Ya! Suara Azan kedengaran di cerun tempat aku memasang tali perimeter.

“Apalagi, dah Azan! Cepat pergi solat!” jerit ketua.

Ketua, orang lebih lama dalam bidang perkerjaan ini lagi arif. Ketua tahu apa yang berlaku.

Selama 3 hari berturut-turut. Suara Azan itu kami dengar. Walaupun tiada sebuah rumah pun di tempat itu. Namun tetap ada penghuni di situ. Penghuni itu membuat suai kenal pada kami.

*Pernah kami melihat-lihat ke kawasan yang kami syaki suara Azan itu kedengaran. Namun yang ada di depan mata kami hanyalah kawasan permukaan tanah yang bersih dan pokok hutan tumbuh subur.

Kami tidak pernah mempertikaikan hal ini selepas itu. Kami tahu bukan kami sahaja yang berada di tempat itu.

*Kami duduk di situ selama 2 minggu.

*Sebenarnya suara Azan itu hanya kedengaran pada waktu Maghrib dan Subuh sahaja. Aku tidak tahu Kenapa hanya dua waktu ini sahaja kedengaran.

*16 orang yang mendengar suara Azan itu.

Tamat…

– Zambri Perasan

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *