Assalamualaikum kepada semua pembaca. Aku harap, biarlah cerita aku disiarkan supaya aku tahu salah & silap aku berada di mana.
Pertama sekali aku perkenalkan diri. Nama aku Pisang (bukan nama sebenar). Aku sudah pun berumah tangga & mempunyai 2 orang cahaya mata. Aku seorang suri rumah sepenuh masa & kadang kala berniaga secara sampingan bersama suami aku.
Dah lama aku ingin menulis meluahkan perasaan akan tetapi aku pendamkan saja. Mungkin kerana aku fikir, luahan aku tidak penting. Suamiku bekerja di sektor awam dan mempunyai hubungan yang baik dengan ramai orang.
Aku merupakan anak perempuan last daripada 9 orang adik beradik. Ayahku telah meninggal dunia 7 tahun yang lepas dan kini hanya tinggal ibu bersama dengan kakakku.
Cerita aku mungkin agak panjang dan aku akan cuba sedaya upaya untuk meringkaskan supaya pembaca senang faham kisahku ini.
Semasa pembesaran aku, aku pernah hampir dirogol lelaki durjana dan gangguan seksual oleh abang iparku sendiri. Apabila aku memberitahu isteri dia iaitu kakakku sendiri, dia lebih mempercayai suami dia daripada aku darah dagingnya sendiri.
Pernah sahaja aku meluahkan apa sahaja yang buruk menimpa aku, akan tetapi keluarga aku tidak pernah mempercayai dan menganggap aku hanya seorang yang suka berlakon dan berangan.
Mulai dari itu, aku lebih kepada mendiamkan diri dan mulai membenci keluargaku dan lelaki.
Apabila aku melakukan kesilapan, pastinya penampar dan rotan hinggap di muka dan badanku. Tetapi, bila adik beradikku yang lain melakukan kesilapan pasti aku juga yang akan terkena tempiasnya.
Semasa kecil, adikku selalu menyatakan bahawa aku anak pungut dan layanan aku berbeza dengan adik beradik yang lain Ketika ulang tahunku, pasti tiada ucapan, sambutan atau hadiah untukku sedangkan adik beradik yang lain sangat berbeza layanan.
Aku sering dikatakan bahawa kakak dan abang aku hidup lebih susah. Mungkin betul, tapi mereka sering menjajah otak dan fikiranku dengan benda yang remeh sehingga aku menjadi seorang yang pendendam, pasif, dan benci pada diriku sendiri.
Apabila disekolah, aku di buli kawan sekelas (lelaki) yang mana bila aku beritahu mak, maka aku juga yang dipersalahkan. Lemah sangat ke aku ni?
Setelah aku dewasa, aku mendirikan rumah tangga bersama suami. Aku dan suami menikah tanpa mengenali hati budi dan diri masing-masing. Untuk 6 bulan pertama perkahwinan, kami pjj.
Dia bekerja di Kajang dan aku bekerja di Klang. Ketika itu aku mempunyai sebiji kereta dan motosikal manakala suamiku hanya menaiki motor kapcai. Aku gembira Akhirnya aku hanya boleh mengikuti kata suamiku dan 100 peratus hak suamiku.
Selepas 6 bulan, suami aku mengajak aku untuk pindah bersama. Aku bersetuju kerana akhirnya aku tak perlu merasa stress dan terbeban dengan kongkongan keluargaku. Untuk 2 tahun pertama perkahwinan memang agak mencabar kerana kami tidak mengenali diri masing-masing.
Kerap kali kami bertengkar dan aku kerap menunjukkan emosi kepada suami. Mungkin kerana aku benci kepada lelaki yang menyebabkan aku melepaskan segala amarah kepada suamiku.
Namun, suamiku seorang yang sangat penyabar dan sentiasa membiarkan aku melepaskan emosi amarah aku kepada dia kerana dia tahu setiap amarah aku bersebab.
Setelah 3 tahun mendirikan rumah tangga, aku disahkan mengandung anak pertama kandungan kedua (gugur).
Aku sedaya upaya mendidik dan menjaga anak kami dengan baik. Akan tetapi, keluargaku akan masuk campur dan selalu whatsapp memberitahu aku tak boleh buat itu ini.
Kadang kala suka datang ke rumah kami tanpa memberitahu dahulu sehingga suamiku tidak selesa apatah lagi aku.
Setiap kali mereka datang, pasti ada yang mereka complaint. Masakan tak sedapla, perabot tak susun betul la, rumah design tak cantik la, & macam macam lagi. Mulai dari itu suamiku mulai faham kenapa aku selalu marah dan stress.
Bila suamiku memberikan ku hadiah seperti barangan kemas atau handphone baru, mesti kakak aku akan menuduh bahawa aku memaksa suamiku untuk membelikannya.
Apa-apa yang suamiku belikan untukku dan anak mesti akan bercakap seolah olah aku yang paksa dan minta suamiku belikan.
Belum lagi masuk suamiku trade in kereta dengan kereta mpv yang besar supaya mudah untuk kami bawa mak dan ayah di kampung untuk berjalan atau beraya di rumah sedara mara. Ada saja yang salah dan salahnya padaku.
Bila anakku menginjak setahun, suamiku perasan perubahan pada diriku yang mana kerap termenung, tidak ada selera makan, susah tidur malam, kerap cuba mencederakan diri sendiri dan seperti orang yang tiada jiwa.
Maka, suamiku meminta bantuan kawan jika ada mengenali kaunselor untuk aku melepaskan perasaan.
Bermula sesi kaunseling selama setahun dengan dua kaunselor. Psikologi dan kaunselor diri dan keluarga. Sehingga akhirnya kaunselorku menyarankanku ke hospital untuk berjumpa dengan psikatrist.
Aku mendapatkan tarikh temujanji dan suamiku sentiasa berada disisiku setiap kali berjumpa doktor. Selepas membaca surat daripada kaunselor, dan soal selidik dari doktor, serta cerita dari suamiku.
Aku disahkan mengidap depression, panic dissorder, anxiety dan agarophobia (fobia berada di tempat sesak @ ramai orang). Doktor memberikanku ubat untuk dimakan setiap hari.
Suamiku memberitahu supaya merahsiakan tentang penyakitku kepada sesiapa. Ubat memang banyak membantu kehidupan aku lebih teratur dan tenang. Perkara yang sama kerap berlaku (masuk campur ahli keluarga) namun aku diamkan dan meluahkan kepada suamiku.
Suamiku juga pernah menyatakan bahawa dia juga stress dan tidak selesa dengan cara keluargaku yang kerap masuk campur dalam urusan keluarga kecil kami.
Pada tahun 2019, aku mengandung anak kedua. Oleh kerana aku mempunya depression, setiap 2 minggu aku harus berjumpa pakar untuk memastikan kondisi aku stabil. Ubat masih tetap kena makan dan temu janji psikatrik masih juga kena pergi.
Sehingga awal tahun 2020 aku selamat melahirkan anak kedua. Perkara yang sama tetap berlaku. Apa juga yang dibelikan suamiku, jam tangan, emas, baju sukan, tanah dan rumah juga masih menjadi masalah. Asalkan barang tu mahal sikit terus di cop aku tukang perhabis duit suami.
Tiap kali ada saja masalah yang kakakku sampaikan akhirnya aku kerap kali left group dari whatsapp. Layanan keluarga mertuaku sendiri tidak seperti keluargaku.
Keluarga mertua sangat baik dan tidak pernah menganggap aku sebagai menantu. Malah Aku di layan seperti anak sendiri yang penuh dengan kasih sayang. Aku selalu merasa tenang dengan keluarga mertua.
Setiap minggu ada saja jemputan ke rumah kakakku atau mak sama ada gathering atau apa-apa aktiviti la. Sehinggakan suamiku naik rimas dan penat dengan perangai keluargaku.
Sedangkan kami mempunyai plan sendiri pada hujung minggu seperti balik ke kampung pun masih lagi memaksa kami untuk datang ke rumah mak. Pelik kan?
Tempoh hari kakakku membuat panggilan video, dan mula la dia nampak keadaan rumah yang tidak teratur. Apa yang dia tahu hanya komen dan mengatakan aku tidak bersyukur.
Sedangkan kami dalam proses nak pindah rumah yang lebih selesa. Kami tidak memberitahu keluargaku dan hanya keluarga mertua saja yang tahu. Mulalah drama mengutuk, mengeji dan menuduh aku je yang bersalah.
Tidak pernah ada perkataan bersangka baik dalam kamus hidup mereka untuk aku sampai nak ambil anakku yang sulung.
Membanding bandingkan dia dengan aku yang mana sangat berbeza kehidupan aku dan dia. Rumah besar, anak dah besar dan pandai menguruskan diri sendiri.
Salahkah aku, ada dua orang anak yang masih kecil rumah berselerak walaupun setiap hari 2 kali sehari menyapu dan mengemop lantai pada waktu pagi dan malam selepas anak anak tidur?
Itupun haruskah aku report kepada dia? Sampaikan gaji suamiku dan perbelanjaan bulanan juga nak tahu?
Bukan itu saja, hubungan dalam kelambu antara aku dan suami pun nak tahu? Segala benda yang sepatutnya menjadi rahsia suami isteri kakakku nak tahu juga sedangkan aku dan suami tidak pernah masuk campur urusan keluarga dia.
Nekad aku untuk kalini, aku left group dan block nombor telefon keluargaku untuk sementara waktu supaya aku dapat bertenang. Tapi, kakakku masih tak puas hati, tetap saja menggunakan nombor dan alternatif yang berbeza untuk mengecamku.
Maka aku hanya, delete sahaja. Dia tidak juga berputus asa dengan menghubungi adik iparku, akan tetapi adik iparku juga tahu dan malas melayani kakakku.
Suamiku juga sampai terpaksa menyatakan dia hanya ingin bertenang apabila kerap sangat mendapat whatsapp yang sama dari orang yang sama. Tapi masih juga mengganggu suamiku.
Kesudahannya, suamiku tidak membaca dan membalas whatsapp atau panggilan telefon dari keluargaku.
Ya mungkin aku keras kepala dan degil (aku akui) tapi aku ada suami yang boleh menegur dan mendidikku dan anak anak. Tindakan keluargaku hanya seperti menyebabkan keluarga kami menjadi kucar kacir.
Kini aku hanya akan mendengar cakap suamiku dan ikut kata suamiku yang mana sentiasa bersamaku ketika susah dan senang.
Aku sangat bersyukur mempunyai suami yang sangat penyayang dan bertanggungjawab. Aku juga berharap pembaca dapat memahami kisah yang aku ringkaskan.
Si penulis yang meluah perasaan,
– Pisang (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit