Uli Rasa Cinta Sampai Menggebu Di Hati

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pembaca…

Ulasan saya ini bukan hanya ditujukan kepada kaum isteri sahaja… Tetapi kepada kedua-dua nya sekali… Semoga ia menjadi panduan untuk kita menuju ke arah perkahwinan yang bahagia…

Baru-baru ini saya ada update di wall FB gambar perbualan whatsapp bersama suami untuk ‘minta cuti masak’ dengan sepotong ayat bunga-bunga.

Ramai pula yang shared status itu dan seperti biasalah ada yang suka dan tidak kurang juga ada yang kecam dikatakannya ianya terlalu berlebihan… Ayatnya berbunyi bergini…

“Sayangku… Lihat lah hari ini, hujan turun dengan lebatnya… Mencurah-curah membasahi dada bumi tanpa ada rasa ingin berhenti umpama kasihku padamu…

Sayangku… Andai kata tiba-tiba mataku tertutup, suaraku menyepi janganlah kau mencari aku dimana… Sudah pasti aku sudah selamat berada di bawah selimut… Arrggggg ngantuk, hari ni cuti masak… Malam nanti makan luar… Okay…”

Betul… Sebenarnya tidak perlu lah saya mengarang ayat atau puisi bunga-bunga seperti berikut untuk ‘minta cuti masak’. Cukup hanya sekadar…

“Yunk jom keluar makan…”

“Yunk malam ni malas masak, makan luar yuk…”

“Yunk jom layan char Kuew teow…”

Ringkas jer kan… Senang suami nak faham. Tidak perlu lah berbunga-bunga. Betul tak..?

Tapi tahukah kalian…?

Ayat bunga-bunga ini adalah salah satu rahsia kebahagiaan rumah tangga selain rasa sefahaman dan sikap bertolak angsur…

Bila lagi nak bermanja-manja dengan pasangan kita kan…? Tak kan nak tunggu setelah dia pulang ke pangkuan Ilahi baru nak tulis panjang-panjang luahan hati dan ayat bunga-bunga mengatakan kita cinta kan dia… Rindu kan dia…

Masa itu dah tidak berguna lagi dah kerana pasangan kita sudah pun kembali ke sisi Allah SWT yang lebih menyayangi dia.

Jangan di ‘ganggu’ dia dengan luahan hati kita lagi kerana sewaktu dia hidup kita tidak berusaha menyatakan padanya betapa kita menyayangi dia. Cukuplah hanya doa sebagai pengutus kasih.

Itu cerita sekiranya pasangan kita meninggal dunia. Lain pula kisahnya jika pasangan kita mula meninggalkan kita kerana orang lain…?

Buka sahaja telefon dia berkoyan-koyan mesej romantik masuk daripada orang lain. Bayangkan jika mesej yang diterima itu ayatnya berbaur romantik dan berbunga-bunga…

“Sayang… Hujan lah… Alangkah indahnya jika kamu berada di samping aku ketika ini…”

“Selamat malam wahai cinta hatiku, semoga malam mu mimpikan aku walaupun di dakapanmu ada dia…”

“Selamat pagi kekasihku, rindu ku padamu sudah tidak terkira cepat tinggalkan dia dan datang kepadaku…”

Apa perasaan kalian jika tiba-tiba terbaca mesej seperti itu di telefon pasangan kalian…?

Sedangkan kita pula hanya…

“Bang hujan ni, balik nanti jangan lupa beli murtabak 3 rasa…”

“Bang awak nak tengok bola sampai ke pagi lantak pi lah… Pintu, tingkap, pagar jangan lupa check sebelum tidur…”

“Bang Tupperware mahal saya tu jangan lupa bawak balik. Tak habis bayar lagi tu…”

Semuanya hambar… Langsung tiada rasa cinta… Walaupun dia berada di hadapan kita, jangan lah terlalu ‘street to the point’ bila berkata-kata…

Selitkan lah sedikit ayat bunga-bunga… Jangan lupa kita tidak memegang hati pasangan kita… Bila-bila masa jer ia boleh berubah memilih sesuatu yang lebih indah.

Tidak salah rasanya jika sesekali kita membuat pasangan kita berasa teruja dengan puisi cinta atau melalui ayat puji-pujian untuk menyemarakkan lagi perasaan cinta dan kemesraan di hati contohnya…

“Sayang… Bumi sedang menangis… Hatiku mula membeku… Pulang cepat ke pangkuan kerana aku sudah mula rinduuu…”

“Sayang… Aku menantimu di bilik yer… Jangan lupa berikan kejutan padaku seperti saat pertama kamu miliki aku…”

“Selamat pagi sayang… Jangan lupa Isikan perutmu dengan juadah yang telah aku bekalkan dengan penuh kasih dan sayang agar aku sentiasa berada di hatimu…”

Haaa giteewww… Mesti pasangan kita akan rasa teruja dan akan tersenyum sampai ke telinga malah tak sabar untuk habiskan urusan untuk kembali bertemu kita.

Jangan kata lah…

“Ah suami aku bukan kaki jiwang karat…”

“Kami suami isteri memang selalu street to the point tak layan ayat bunga-bunga ni…

“Nanti laki / isteri aku gelak jer bila aku bagi ayat bunga-bunga…”

Haaaippp…!! Silap besar tu jika kalian berfikiran bergitu. Bayangkan jika tiba-tiba kalian dapat mesej bunga-bunga daripada pasangan…?Mesti senyum sampai ke telinga kan…?

Perasaan cinta dan sayang akan mula menggebu melebihi perasaan pelik yang ada… Betul tak…? Hati siapa yang tak suka jika di hadiahkan dengan kata-kata yang indah…

Jadi sebelum hubungan menjadi suram dan hambar… Sila buang ego dan rasa besar kepala jauh-jauh. Istilah ‘dah tua-tua nak bermanja lagi’ tu pun sila buang ketepi… Berkasih-sayang lah sehingga ke nafas yang terakhir.

Sentiasalah uli perasaan cinta di hati pasangan kita dengan ayat-ayat manis dan kata-kata pujian agar kasih sayang sentiasa menggebu di hati…

Ada seorang tua pernah berpesan…

“Jadilah seperti si ‘jalang’ di ranjang ketika bersama suami agar nafsunya tersimpul mati hanya untuk kamu”

“Ikat lah perut suami kamu dengan air tangan mu agar hatinya tetap bersama kamu…”

“Berkasih sayang lah dengan suami mu umpama Adam dan Hawa ibarat di dunia ini hanya ada kamu berdua…”

Banyak maksud tersirat di dalam pesanan tersebut. Jadi, luangkan masa dan olah sendiri apa yang ingin di sampaikan itu.

Jangan malu atau segan untuk jatuh cinta berkali-kali dengan pasangan kita. Ingatlah, tidak semua orang memiliki nasib baik untuk mendapat pasangan yang penyayang, baik hati, jujur, romantis dan lain-lain.

Jika kita berjaya memilikinya maka teruslah pegang tangannya agar tidak terlepas untuk menggapai cinta itu bersama-sama.

Akhir kata, cuba lah mengayam ayat indah dan selalulah buat pasangan kalian berasa teruja, in Sha Allah akan ada kejutan istimewa daripada pasangan kalian nanti… Bagaimana saya tahu…? Sebab saya sudah berkali kali melaluinya…

Alhamdulillah dah nak masuk 17 tahun usia perkahwinan… Daripada surat cinta bedak berkepok tu sampailah ada aplikasi WhatsApp semuanya tetap sama tidak pernah berubah…

Salam sayang daripada saya…

– CPA (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit