Sekolah Musim PKP

Hai semua! Sejak akhir-akhir ini sering keluar isu cikgu-cikgu makan gaji buta. Terpanggil untuk mengulas sedikit dan menceritakan pengalaman sendiri.

Sememangnya tugas cikgu-cikgu mendidik anak murid mengikut silibus yang ditetapkan oleh sekolah masing-masing.

Akan tetapi, tugas hakiki untuk memastikan anak-anak itu mendapat pendidikan yang secukupnya adalah tanggungjawab siapa?

Andai kata benar sesetengah cikgu-cikgu ponteng atau mengajar sambil lewa atau betul-betul mengalami masalah teknikal untuk mengendalikan tugas secara ‘online’, apa peranan ibubapa untuk memastikan anak-anak tidak ketinggalan?

Saya mempunyai seorang anak yang akan masuk ke darjah 1 pada tahun hadapan. Dia mengikuti prasekolah yang berbayar penuh secara bulanan walaupun PKP dan kelas ‘online’ hanya 30 minit setiap hari.

Sepanjang kelas berlangsung, saya perlu berada di sebelah untuk memantau dan beri tunjuk ajar walaupun pada waktu itu saya sebenarnya perlu bekerja secara ‘online’.

Dengan yuran yang mahal pastinya saya hairan kenapa perlu baca dari buku fizikal dan tidak terus paparkan teks dalam skrin.

Tapi bukan itu isunya, sebelum kelas berakhir cikgu pasti akan berpesan menyuruh saya mengajar sendiri mana-mana topik yang tidak sempat disentuh (rutin doa, zikir dan selawat itu pun sudah 10 minit).

Jujur, sekiranya tiada PKP, saya jarang membuka dan meneliti buku anak saya. Dia akan bawa balik buku Iqra dan buku bacaan sahaja setiap hari kerana selebihnya sekolah simpan.

Tambahan pula, anak saya dijaga sehingga petang kerana kami bekerja dan saya diberitahu ada bimbingan guru untuk kerja sekolah pada waktu petang.

Akibat PKP, cikgu menyerahkan kesemua buku-bukunya dan saya lihat hanya beberapa mukasurat hadapan buku kerja yang disiapkan dan ditandatangani cikgu bertarikh Mac 2019!!

Contohnya buku menulis, hanya 3 mukasurat penuh contengan dan selebihnya bersih.

Apa yang anak saya buat di sekolah selama setahun setengah sebelum PKP? (Dia mula belajar ketika 4 tahun dan kini 6 tahun).

Termasuk cas lebih masa, kami mengeluarkan lebih kurang RM10K setahun untuk dia belajar di sana. Pasti kami inginkan perkhidmatan yang terbaik dari sekolah itu.

Saya fikirkan kembali kebaikan dan keburukan belajar di situ. Di usia 4 tahun, anak saya adalah ‘suspected autism’ yang langsung tidak pandai bercakap dan masih memakai ‘pampers’.

Selama 1.5 tahun, dia sudah pandai berkomunikasi menggunakan ayat pendek, mengeja mudah, mengira hingga 100, tahu asas sains seperti kitar hidup haiwan dan tumbuhan, solat, mengurus diri ke tandas dan mempunyai adab/akhlak yang baik.

Saya fikir di sekolah cikgu memang tidak akan memaksa murid untuk melakukan kerja sekolah sekiranya murid itu tidak mahu dan cikgu sendiri ada memberitahu yang anak saya kadang-kadang tidak mahu buat kerja sekolah.

Akhirnya, saya pilih untuk teruskan anak saya belajar di sana dan daftarkan juga adiknya yang berusia 4 tahun kerana risau tiada masa untuk dia menyesuaikan diri di tadika baru memandanglan hanya tinggal setahun untuk ke tahun 1.

Akan tetapi mulai saat itu, setiap hari saya akan meluangkan masa dan pastikan dia membuat buku-buku kerja sekolah hingga habis ke tahap yang sepatutnya. Selama PKP, beberapa buku kerja telah dia siapkan dengan baik.

Di sini saya memang berterima kasih dengan pihk sekolah kerana menyediakan bahan-bahan pembelajaran yang komprehensif dan berkualiti walaupun tidak berjaya memaksa anak saya untuk menyiapkan kesemuanya.

Pada awalnya, anak saya akan beri banyak alasan untuk cepat menghabiskan sesi belajar dengan saya.

Kita perlu tegas supaya anak-anak tahu tiada kompromi sehingga sesi belajar.

Rasanya para ibubapa perlu berhenti berharap dengan cikgu-cikgu semata-mata untuk mengajar anak-anak anda walaupun ya mereka dibayar untuk itu.

Di kala pandemik, semua perkara bukan norma biasa dan cikgu-cikgu pasti ada yang berusaha sehabis baik untuk memberi ilmu.

Daripada buang tenaga melontarkan rasa tidak puas hati, cuba fikirkan benda yang positif supaya kita lebih gembira dan dapat memikirkan penyelesaian yang membawa kebaikan kepada anak-anak.

P/s : Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Pesanan untuk diri sendiri juga, kalau ibubapa sendiri pun malas ambil peduli akan pembelajaran anak-anak, tak usah bising cikgu tak buat kerja.

Tanggungjawab sebagai ibubapa lagi besar dari tanggungjawab sebagai cikgu.

– Mommy (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *