بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
Tulisan saya ini sebagai pengajaran, iktibar dan harapan untuk makhluk bergelar manusia.
Saya ada terbaca di ruangan confession ini berkenaan hamba Allah yang tunangnya dikatakan pernah melakukan maksiat dan terjerumus ke lembah penzinaan. Dan sekali lagi saya ada terbaca perkongsian berkenaan hamba Allah yang memilih berkahwin dengan isterinya walaupun mengetahui yang isterinya telah melakukan dosa dan maksiat.
Manusia…… Manusia tidak akan terlepas dari melakukan dosa. Selami cerita saya, saya insan pendosa yang telah bahagia. Tapi……. tak semudah itu untuk bahagia. Alhamdulliah saya dikurniakan Allah otak yang cemerlang berfungsi dengan keputusan SPM 10A ! PMR 7A ! Ini telah melayakkan saya untuk mengikuti salah satu program biasiswa ke luar negara dalam bidang ijazah kedoktoran. Sepanjang menjadi pelajar sekolah menengah, saya seorang yang tidak banyak berceloteh, fokus pelajaran, kawan-kawan saya boleh bilang guna jari, pelajar lelaki tidak berani untuk mendekati saya dan saya tidak pernah diberi keizinan oleh ibu bapa untuk keluar ke bandar sendiri-sendiri.
Sementara menunggu keputusan SPM, saya mulai terbiasa untuk keluar berjumpa dengan kawan baik saya di bandar. Ada ketika kawan saya akan mengajak kawan-kawan perempuan dan lelaki dia. Liputan hidup saya bermasyarakat mulai meluas. Kenal orang itu. Kenal orang ini. Tapi masih dibawah kawalan dan batas tertentu. Dipendekkan cerita, saya kenal seorang lelaki dan mulai mengagumi cara beliau. Mengambil berat, penyayang, pendengar setia dan banyak buat saya tersenyum. Hubungan kami makin erat. Kini saya ada seorang teman lelaki.
Selepas memasuki alam foundation, kami berjauhan. Dia di sebelah utara dan saya di selatan. Atas alasan lama tidak berjumpa (hampir 7 bulan). Dia mengajak saya untuk berjumpa di tengah-tengah negeri antara kami. Pertemuan pertama, pertemuan yang tidak disangka, dan bukan seperti yang saya gambarkan. Ajakan dia untuk kami bermalam di hotel saya terima dengan janji tiada apa-apa yang akan berlaku antara kami. Mungkin terlampau percaya dan naifnya saya sehingga kami terlanjur di malam pertemuan kami itu. Saya menjadi takut, takut atas kebodohan diri saya. Saya mula rasa hilang arah dan dia juga yang menyedapkan hati saya tiada apa-apa yang berlaku.
Akibat kerisauan melampau, saya tidak fokus dengan pengajian. Jangkaan saya tepat! Result saya tidak melayakkan saya untuk terbang. Impian menjadi doktor punah! Saya menangis. Menangis sepuas hati. Ibu saya menangis. Ayah saya kecewa. Saya mohon kekuatan, saya menghadap Allah untuk bangkit. Masih ada cahaya harapan untuk saya atau tidak? Lelaki itu mulai kabur dalam pandangan hati saya. Saya diterima melanjutkan pengajian di universiti swasta dan masih dalam penajaan yang sama. Saya nekad. Saya harus cemerlang
kembali di universiti.
Ujian saya bukan setakat itu, kali ini lagi mencabar. Dia diterima masuk juga ke universiti yang berdekatan dengan saya. Peluang untuk berjumpa tiada halangan. Malah semakin kerap. Saya mulai rimas. Tapi saya tidak dapat mengelak dari dia. Dari zina kecil sehingga ke zina besar. Kejadian itu berlaku lagi atas nafsu yang tidak dapat ditepis oleh kami berdua. Perkara ini tidak menjejaskan pengajian saya di universiti.
Saya kecewa bila dia makin galak mengajak melakukan perbuatan terkutuk itu lagi. Sangat terperanjat! Dia ada menangkap gambar saya sebagai simpanan peribadi dia. Terngiang-ngiang ayat berbaur ugutan. Sungguh saya sedih, kecewa, luluh hati. Dan ketika dihenyak sedemikan rupa. Lembaran Al-Quran tempat saya kembali. Jeritan batin saya, hanya Allah yang dengar. Saya ambil keputusan yang saya sendiri tak tahu kekuatan mana yang saya perolehi. Saya hantar kata putus pada lelaki itu. Dia mengamuk bukan kepalang. Rumah sewa saya jadi sasaran. Saya pindah ke rumah sewa kawan saya. Saya tidak maklumkan pada sesiapa. Saya menyendiri dengan tawakal pada Allah. Ugutan menjadi kenyataan, lelaki itu pergi ke rumah saya dan menunjukkan gambar kami bersama. Saya sudah bersedia untuk berhadapan dengan ibu bapa saya. Biar pun saya tahu saya akan dibuang keluarga. Biarlah! Asal saya tidak dibuang dari syurga Allah.
Dengan esakan, saya dengar suara ibu lemah menelefon untuk bertanya kebenaran. Ya! Tiada penafian. Semua yang betul dan benar belaka. Saya anak yang derhaka ibu. Saya mohon maaf sepenuh hati saya, saya mohon untuk masa saya sendiri, saya mohon ibu doakan saya. Saya pendosa yang nekad ingin kembali ke pangkal jalan. Tolong ibu!!!! TOLONG DOAKAN SAYA. Kata ibu, lelaki itu ingin berkahwin dengan saya. Dia sayangkan saya. Ibu merahsiakan perkara ini dari abah sehingga ke hari saat saya menaip pengakuan ini.
Saya kagum! Ibu saya kuat hadapi ujian ini. Ibu tidak pernah mengungkit kejadiaan ini, tidak pernah mensisihkan saya, tidak pernah memilih kasih, tidak pernah melukakan hati saya. Tolong ibu-ibu di luar sana, sekiranya anak anda seperti saya, tolong mereka sepertimana ibu saya lakukan. Atas kekuatan yang Allah hantarkan pada saya, saya berubah sepenuh hati dari segi percakapan, dari segi pergaulan, dari segi pemikiran, dari segi penampilan berlandaskan Islam.
Saya menjadi graduan yang cemerlang, bekerja dan alhamdulillah berkahwin dengan lelaki yang terima saya seadanya dan yang pasti bukan dengan lelaki itu. Suami saya seorang lelaki yang hebat! Allah ketemukan saya dengan suami yang hebat! Saya rasa diri saya kurang tapi sedikit pun suami saya mengungkit kekurangan saya. MasyaAllah. Amalan apa yang saya lakukan sehingga Tuhan hantar suami sehebat ini menjadi peneman hidup saya. Mengalir air mata mengenangkan dosa saya, walaupun tak terkira solat sunat taubat yang saya lakukan. Persoalan dalam diri, apakah Allah terima taubat saya?????
Saya kenal suami disebabkan satu 'event' tapi kami berhubungan secara peribadi. Suami ada bertanyakan di mana saya tinggal pada kenalan saya. Suami saya datang ke rumah untuk berjumpa keluarga. Dia melamar saya di hadapan ibu. Ibu pandang saya. Saya faham pandangan ibu. Saya tunduk! Kelu lidah. Sebaris ayat yang ibu ungkap, kalau hendak berkahwin dengan anak mak cik, terima anak mak cik seadanya. Saya ingat sehingga ke hari ini. Tanpa diduga, saya menerima pesanan sms dari lelaki itu, lelaki yang menghancurkan hidup saya. Setelah sekian lama, masih tetap hendak menyakitkan hati saya. Saya tidak peduli. Tiada gentar, tiada rasa takut. Lelaki itu datang mencari saya di rumah, maki hamun keluar dari mulut lelaki itu. Kereta saya, almari kasut menjadi sasaran amukan. Ibu datang meleraikan keadaan. Saya tidak takut untuk berhadapan lelaki itu. Sebab saya percaya Allah sembunyikan aib saya dengan pelbagai cara selagi saya hamba Allah yang sebenar-benar hamba.
Dalam tempoh 6 bulan bertunang dan 6 bulan lagi berkahwin. Tawakal! Saya takut apa pandangan bakal suami pada saya selepas kami berkahwin. Apakah bakal suami saya akan tinggalkan saya selepas perkahwinan kami. Saya takut. Saya ingin sembunyikan hal ini. Tapi, lidah saya tidak mampu. Walaupun saya berhak sembunyi, walaupun bakal suami berhak untuk tidak bertanya. Saya jadi tidak selesa. Saya menghubungi bakal suami saya, ketika itu 2 bulan sebelum kami berkahwin, saya tidak dapat lelapkan mata. Saya tahu hati dia akan remuk. Saya percaya Allah akan sembunyikan aib saya, tapi saya tidak dapat merelakan hakikat itu, saya membuat pengakuan pada bakal suami yang saya tidak suci dan telah terlanjur.
Tiada hela nafas, tiada amukan. Sepi seketika! Bakal suami hanya meminta saya untuk berehat. Talian telefon mati. Saya dapat tidur dengan tenang. Keesokan hari, seolah-olah permulaan hari baru dalam hidup saya, dia menelefon untuk mengejutkan saya subuh. Saya baca sms suami, siapa awak yang dulu tidak penting bagi saya, yang saya kenal awak sekarang. Baik! Lembut hati tapi ada degil sikit! Menangis saya.
Kini genap usia perkahwinan kami dua tahun, dikurniakan seorang anak. Dalam melayari rumah tangga, pasti ada cabaran. Cabaran dalam soal wang ringgit, dalam soal membesarkan anak, dalam soal berjauhan atas tuntutan kerja, dalam soal hati keluarga mertua, dalam soal pendapat dan pemikiran yang tidak setara. Namun, bagi saya. saya BAHAGIA! Suami saya pendorong hidup saya, suami saya pembangkin hidup saya, suami saya pinjaman ALLAH yang saya syukuri. Terima Kasih Ya Allah.
Saya pendosa, saya bertaubat kembali kepada Allah dan saya bahagia. Saya mohon, saudara-saudara yang bakal bergelar suami, bimbinglah bakal isteri anda andai kata isteri anda pernah menjadi pendosa seperti saya.
Untuk saudari-saudari yang pernah menjadi pendosa seperti saya, ayuh bangkit! Tiada siapa yang akan mengangkat darjat seorang wanita melainkan anda kembali kepada Allah dan menjadi muslimah sejati. Anda pasti berkeinginan untuk berjumpa dengan lelaki yang hebat dalam hidup anda, anda berubah menjadi baik, In syaa Allah pasangan hidup anda baik.
Saya doakan muda mudi yang masih bergelumang dosa, bertaubat dan mulalah merangkak pada Allah.
Terima kasih membaca.
– SHA
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit
Mohamad Hafizuddin Mohd Zainal
Sy harap crite ni viral…masyrkt prlu tau tntg hebatnya kebergantungn pd tuhan…”jaga Allah, Allah akn jaga kamu”…sis mmg hebat dn sis layak sngt dpt laki yg jgk hebat…dri confession sis…sis seorg yg berilmu krn tu sis boleh buat keputsn yg hebt mcm ni…tahniah…
Sis org yg kuat kebergntgn pd tuhan .insyallah….sy hrap dlm keiklasn sis doakn beks kekasih sis skli…bukn mntk sis kembli pd die…sprti mana Allah hadiahkan sis dgn seorg suami yg baik..moga die dihadiahkn seorg istti yg baik jgk
Semoga Allah memberi kebahagiaan kepada sis di dunia dan akhirat dan perkahwinan sis berkekalan sehingga ke jannah..
Dalam iiumc ni saja dah ramai pernah berzina. Tenatnya dunia akhir zaman. Aku yang masih bujang ni jadi takut nak kahwin. Aku bukannya sehebat suami akak ni. Ya Allah jauhilah kami dan keluarga kami dari najis zina.