Selamat Hari Raya Abah

Mengenang kembali, arwah abah seorang yang sangat penyabar dan tidak pernah merotan kami enam beradik. Semua perangai kami adik beradik ditelan dengan tenang. Sangat jarang sekali beliau meninggikan suaranya. Rotannya hanya pada sindirannya sudah cukup menusuk ke lubuk hati.

Kelibat abah sentiasa dalam fikiran aku. Aku menyaksikan sendiri malaikat Izrail membuat kerjanya pelahan-pelahan depan mata. Bermula dari dadanya berombak, tengkaknya teresak-esak sehinggalah nafas yang terakhirnya dihembuskan. Aku terjelapuk di tiang pintu sambil air mata aku berjurai-jurai.

Depan jasadnya aku berjanji, yang aku terus bersama dengannya walaupun dunia kami berbeza. Setiap kali solat, fatihah aku sedekahkan. Setiap kali raya, yassin ku bacakan di tepi pusaranya. Malah kelibatnya sentiasa dibenak fikiranku. Kadang-kadang bila rindu sengaja aku singkap kenangan kami bersama sambil menakung air mata.

Abah tidak mewah, malah semua gaji sebagai pengawal keselamatan di kilang kelapa sawit diberikan bulat-bulat kepada ibuku setiap bulan untuk menguruskan kami berlapan. Abah rajin mengambil upah seperti membela kambing, menyabit rumput, mencari kayu dan memetik koko untuk mendapatkan duit lebih. Itulah yang abah ajar kepada aku, hidupnya untuk memudahkan orang lain.

Aku adalah teman abah ke kedai motor untuk servis motor Honda lampu bulatnya. Di sebelah kedai itu ada sebuah kedai roti canai. Menu rutin kami teh panas dan roti kosong. Pernah sekali aku terdengar kawan-kawannya menyapa "hari ni kau bawa anak kau Kob (nama ayah aku), esok dah tua, anak kau yang bawa kau pula"…malangnya itu tidak belaku seperti yang disapa..(sewaktu menulis ayat ini, air mata aku sedang bertakung dan dada aku mulai sebak)

Aku juga peneman abah ke tanah perkuburan yang selalu dilawati sebelum Ramadhan menjelma. Waktu itu aku tertanya-tanya kenapa asyik aku sahaja yang di bawa, kenapa tidak abang-abang yang lain…jawapannya aku dapat sewaktu aku membaca yasin di sebelah jasadnya sebelum ia dimandikan. Aku yakin abah menaruh harapan yang tinggi pada aku.

Sepanjang aku hidup, abah tidak merasa kesenangan anak-anaknya. Abah pakai apa yang ada, menunya cili api dan garam sudah cukup menyelerakan Abah . Hiburannya pada burung pipit dan kambing-kambing belaannya. Untuk makan angina memang tiada di dalam fikirannya.

Kalaulah Abah masih ada…pastinya akan aku tatang seperti minyak yang penuh..pasti. Apa yang Abah hendak makan, aku sendiri yang akan masak, apa yang Abah mahu, Aku akan belikan, ke mana Abah hendak pergi akan aku bawa….malangnya abah telah pergi dan tidak akan kembali.

Kepada yang masih ada Abah..Sempena bulan yang baik ini ,dengan rendah diri aku merayu agar hargailah Abah anda selagi hayatnya. Sekira terdapat perselisihan faham, mengalah dan mohon keampunannya. Kalau jarang pulang ke kampong, hubungilah, bertanya khabar sudah memadai. Berikan sedikit masa bersama dan bermesra…kerana anda tidak tahu bagaimana rasanya sakit merindu…itulah perasaan aku.

Al-fatihah : Yaakob bin Embib, 1998

Selamat Hari Raya & Maaf Zahir Batin…

– Hamba Allah

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

14 Comments

  1. Ayah saya pergi ketika saya masih kecil.. kenangan brsamanya sangat sedikit yg brbaki dlm fikiran…
    Jgn risau, doa seorg anak tiada halangan dan pasti sampai.. Doakan setiap kali lps solat, sedekahkn pahala setiap kali khatam quran.. Ahli Kubur mengetahui hal keadaan dunia..

    • seronoknya pg bulan puasa… org terpilih sahaja yg Allah panggil.. semoga arwah dikalangan org2 soleh amin…al-fatihah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *