Acute Migraine

Salam dan hai semua. Saya Nor, berusia 30 tahun dan merupakan seorang pesakit “acute migraine”. Terpanggil saya berkongsi disini kerana saya terbaca artikel berkenaan Individu lain yang mengalami migraine sampai tahap membotakkan kepala.

Untuk makluman semua, saya telah mengalami migraine sedari bangku sekolah rendah lagi. Dalam keluarga saya, tiada ahli yang menceburi bidang perubatan, jadi banyak maklumat perubatan terbaru yang kami tak tahu akan kewujudannya.

Dulu, kalau migraine saja, saya akan pergi ke klinik kesihatan (kerana ini yang paling murah dan termampu), ambil ubat yang biasanya klinik kesihatan akan bagi iaitu paracetamol.

Disebabkan terlalu kerap, saya pun mula malas nak melawat lagi ke klinik kesihatan dan hanya terus makan paracetamol apabila sakit menyerang.

Bila saya dewasa dan mula bekerja, apabila migraine menyerang, saya akan ke klinik swasta pula.

Disini saya dibekalkan ubat migraine yang bernama Caffox. Macam biasa, bila kerap sangat migraine, saya pun mula mendapatkan ubat ini di kaunter farmasi kerana pada pandangan saya, dari dulu lagi, tiap kali migraine dan jumpa doctor, hanya ubat yang sama diberikan.

Jadi saya fikir, tiada apa yang boleh dibuat selain dari makan ubat yang sama sampai bila-bila.

Untuk makluman semua, pada waktu itu, bagi saya Caffox ni sajalah penyelamat saya. Saya mengalami migraine yang teruk. Seminggu boleh capai 4-5 kali serangan migraine.

Kadangkala, ia belarutan 3 hari berturut. Ataupun keadaan migraine terlalu kuat sampai tahap saya tak boleh memandu kenderaan, muntah-muntah teruk, dan kalau terlelap, saya tak sedar bila orang lain kejutkan.

Semua persektif saya berubah selepas saya terdengar ‘talk’ (suami guna pembesar suara) yang dihadiri suami saya secara online ketika beliau dirumah.

Suami saya merupakan kakitangan perubatan, jadi mereka selalu ada ‘talk’ yang perlu dihadiri. Tajuk ‘talk’ pada hari itu ialah berkenaan migraine.

Mulanya saya tergelak juga, sebab saya ingat migraine ni macam isu kecil untuk dijadikan sebagai ‘talk’. Dan inilah kesilapan saya yang paling besar.

Migraine bukanlah isu kecil rupanya. Malah, baru saya tahu, yang terdapat klinik untuk pesakit migraine dibawah jabatan Neurology.

Menurut pakar yang memberikan ceramah itu, migraine yang kerap bukanlah sesuatu yang normal. Ianya perlu dirawat dan boleh dirawat.

Iyelah…kenapa kita perlu membiarkan diri kita merana menahan kesakitan walhal kita boleh pulih/baik daripada keadaan migraine yang teruk? Betul tak?

Disebabkan itu, suami saya telah mengajak saya untuk berjumpa dengan doktor di hospital. Di klinik biasa, doktor akan memeriksa saya seperti biasa, kemudian saya diminta untuk check mata pula. Alhamdulillah semua okay.

Apabila selesai, doktor pun menulis surat rujukan dan saya dirujuk ke bahagian klinik pakar neuro. Disini, saya diberikan temujanji untuk klinik migraine.

Ketika di klinik migraine, doktor akan bertanya mengenai simptom yang saya alami. Selepas itu, bahagian kepala saya juga diperiksa menggunakan tangan bagi mengenalpasti samaada terdapat sebarang kesakitan/ bengkakkan.

Kemudiannya, saya diberikan sekeping kertas yang mengandungi carta harian yang diberi nama migraine diary.

Disitu, saya perlu merekodkan tahap kesakitan serangan migraine dan berapa kerap terkena serangan.

Selepas lawatan yang seterusnya, doktor mendapati saya mengalami serangan sekurang-kurangnya 4-5 kali seminggu dan tahap kesakitan serangan sebanyak 4-5 per 5 bagi setiap serangan walaupun setelah memakan ubat yang diberikan.

Disini saya telah dikenalpasti sebagai pesakit ‘acute migraine’. Ubat saya juga akan ditukar mengikut tahap migraine.

Setakat ini, saya mempunyai lebih kurang 4 jenis ubat tetapi hanya 1 saja yang perlu dimakan secara harian, baki dimakan ketika serangan berlaku.

Waktu ini, saya tidak lagi mengambil caffox kerana menurut kata pakar, caffox tidak mengubatkan migraine tu, dia hanya menghilangkan sekejap rasa sakit ketika serangan saja.

Kalau kita makan caffox ni sampai bila-bila pun, migraine tetap takkan terubat sebab kita tak menggunakan ubat yang betul untuknya.

Seperti yang saya maklumkan diatas, saya mengalami acute migraine walaupun setelah konsumasi ubat. Oleh yang demikian, doktor meminta saya untuk menjalani CT Scan beserta contrast bagi mengenal pasti jika terdapat sebarang masalah dalaman didalam otak saya.

Masa ni saya memang risau sangat walaupun saya tak tunjuk depan suami atau anak-anak. Sejarah kesihatan saya sebelum ni,

Saya mempunyai fibroid adenoma (macam lump di bahagian payudara), cuma jumlah yang saya ada sangat banyak dan sampel terpaksa diambil bagi mengenal pasti samaada ianya kanser (malignant) atau bukan (benign) dan alhamdulillah saya benign.

Jadi, semasa nak ct scan ni, macam-macamlah yang bermain dalam fikiran. Cuma saya fikir satu je, saya nak sihat, saya taknak migraine lagi… alhamdulillah juga, result saya clear.

Sehingga sekarang, saya masih lagi meneruskan rawatan. Jumpa doktor pakar macam biasa, catit migraine diary macam biasa. Cuma saya lega.

Dulu 4-5 serangan seminggu, kalini mungkin hanya 1-3 kali sebulan. Apa yang saya nak kata disini, bagi sesiapa yang dah menderita migraine terlalu kerap dan lama, jumpalah doktor.

Tanya doktor, boleh ke kalau encik/ puan/ cik dirujuk ke pakar sebab keadaan migraine anda yang tiada berpenghujung ni. Dalam kes saya, saya memilih untuk menjalani rawatan di HPUPM.

Kalau anda ada kewangan tambahan, boleh telefon dulu klinik neuro disini untuk bertanyakan samaada surat rujukan dari luar boleh diterima pakai disini atau tidak.

Untuk hospital pengajar seperti ini, bayaran tidak semurah hospital kerajaan tapi ianya juga tidak semahal hospital swasta diluar sana.

Jika anda di klinik kesihatan, boleh juga dapatkan khidmat nasihat doktor samaada boleh atau tak dirujuk ke hospital kerajaan bagi isu migraine ni.

Saya doakan semua yang dah menderita migraine untuk kembali pulih/ menjadi lebih baik macam keadaan saya.

Ingat ya. Migraine tu bukan kategori penyakit sebaliknya ia adalah simptom kepada penyakit yang sebenarnya anda tengah alami tetapi anda sendiri tak pasti selagi anda tak buat pemeriksaan.

Ada orang migraine kerap, bila periksa rupanya sebab masalah saraf yang dia alami. Apabila berjaya rawat masalah saraf, maka migraine tadi pun hilang. Jadi, cubalah dapatkan rawatan yang sebetulnya dari doktor. Mana tahu lepas ni makin baik. Jaga diri semua.

– Nor (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *