Masa tak menunggu

Assalamualaikum, sebelum aku cerita kisah hidup aku yang serba serbi kekurangan tapi serba serbi lengkap ni , ingin aku ucapkan terima kasih andai disiarkan oleh pihak IIUMC

Aku dahulu hidup 3 beradik, namun aku bukan lah seperti keluarga biasa yang punya ibu ayah. Aku sejak kecil lagi sudah menumpang kasih, kasih dari makcik yang membesarkan aku sehinggalah aku masuk IIUM ni.

Andai anda tertanya tanya mengapa aku katakan aku menumpang kasih, aku ingin ceritakan bahawa aku sudahpun kehilangan ibu aku sewaktu aku umur setahun. Aku sendiri tak mengenali dn mengetahui bagaimana rupa ibuku. Seringkali aku bertanyakan macam mana rupa ibu aku tu, namun soalan aku itu tak berjawab kerna satu2 nya gambar ku bersama ibuku hanya samar2 sahaja. Mukaku jelas dalam foto itu tetapi ibuku dilindungi cahaya matahari yang menyinari menerusi celah2 daun kelapa sawit di rumah.

Haihh, bagaimana agaknya rupa ibuku, mampukah aku bertemu di dunia lagi satu.

Tatkala aku setahun berjalan di muka bumi ini, hak jagaan aku dan kakak2 ku telah beralih kepada ibu saudara ku. Aku sendiri masih kurang faham kenapa ini berlaku tetapi aku sendiri bersyukur dikurniakan insan penyayang yang sanggup menjaga makan minum, mendidik dan menerapkan ilmu dunia akhirat kepada aku. Bukanlah bermaksud untuk membangga diri tetapi sewaktu aku berumur 5 tahun, aku sudah mampu menunaikn solat 5 waktu dan berpuasa penuh di bulan ramadhan.

Ayahku detik aku menaip tulisan ini masih bernafs dan sudahpun berumah tangga dan dikurniakan seorang cahaya mata yang aku agak sudh pun menginjak usia remaja. Aku sebenarnya sedikit kesal kerna selama aku membesar ini, nafkahku yang sepatutnya diberikan ayahku tidk pernah kurasa. Khabar berita darinya juga jarang kunjung tiba. Andainya 20 tahun hidup aku di dunia ini, aku boleh bilang berapa kali sajakah ayahku bertemu dengan ku.

Tetapi aku rasakan tidak mengapalah, kerna aku sudah dikurniakan keluarga yang menjagaku, mendidikku. Aku sehingga kini terhutang budi dengan mereka dan aku sendiri tak tahu bagaimana hendak membalas jasa mereka. Kalau menunggu aku dewasa berkerjaya, aku risau aku tak berjaya kerna masa sudah pastinya takkkan berhenti berputar. Di kala aku menginjak usia, mereka sudah pastinya dimamah usia. Aku risau andai aku tak mampu membalas jasa mereka. Di mana lagi kan ku cari ganti andai mereka pergi dahulu sebelum aku sempat menabur khidmat tulang 4 sekerat ini.

Ya Allah panjangkanlah usia mereka agar aku mampu membalas jasa mereka di dunia ini dan andai aku tak mampu membalasnya, kurniakan lah mereka syurga Mu.

Kematian, memisahkan hubungan manusia dan alam kehidupan, menghubungkan manusia dan alam seterusnya. Itulah alam yang dihuni si mati termasuklah arwah ibuku. Tahun ini, aku kehilangn seseorang lagi. Orang yang aku sayang. Orang yang aku cinta. Orang yang satu2 nya dalam keluarga yang menyerupai arwah ibuku, itulah kakakku.

Aku sebenarnya masih bersedih akan kehilangan itu. Aku masih terbayang akan kelibat arwah di mana saja mataku berada. Dahulu, sewaktu aku di rumah dialah yang menjadi sahabat karibku. Andai aku mahukn sesuatu pasti akan ditunaikan meski hal itu agak mustahil. Kehilangan seseorang pastinya membuatkan aku merasa kesunyian. Tiada lagi teman berbual, tiada lagi teman nak makan, tiada lagi teman memasak.

Aku tak mampu ungkapkan apa yang terbuku dalam hati aku ini. Aku sedikit kesal kerna sepanjang aku bersama kakakku itu, aku tidak pernah mengucapkan aku sayang akan dia. Aku tak pernah katakan lagi dan kini dia telah pergi. Aku kini hanya mampu berdoa sahaja untuknya.

Sememangnya hidup mati ini tidak boleh dijangka, yang penting haruslah kita bersedia kerna bila2 masa sahaja kita boleh dicabut nyawa.

Apa yang ingin aku katakan di sini ialah andai di dunia ini kamu masih mempunyai orang yang kamu sayang, lafazkan sahaja kerna ajal tak menunggu kita. Jangan disimpan saja dalam dada, takut dikesalkan shingga tua. Aku kata berdasarkan apa yang aku rasa. Aku tak sanggup lagi rasa kehilangan. Peritnya kehilangan itu sukar digambarkan kata.

Andai ada masa, luahkan sahaja, takut di lain masa kita tak bersama di dunia

– Adik

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit