Saya Ok Saja 2.0

Hello semua. Terdetik hati ingin berkongsi pengalaman hidup sebab terbaca perkongsian dari Hanna (https://iiumc.com/saya-ok-saja/).

Saya bukan Hanna ya, tapi saya tersentuh membaca confession beliau kerana kisah saya ada persamaan sedikit dengan kisah beliau.

Sebagai pengenalan, saya ada empat adik beradik. Saya anak sulung merangkap mak kedua dalam kami adik beradik.

Ibu dan bapa saya juga berasal dari kampung yang jauh di pedalaman, jalan pun gravel. Nak ke pekan terdekat, maunya empat lima jam baru sampai naik van.

Elektrik dengan air jangan cakaplah. Memang tiada. Pernah merasa seperti Hanna, angkat air untuk makan minum dari sungai yang nak 1km jaraknya dari rumah lepas mandi.

Nak cuci kain dan pinggan semua kena angkut ke sungai. Dari wangi lepas mandi di sungai, sampai rumah dah busyuk balik sebab jauh perjalanan nak balik haha.

Masa saya umur lapan tahun, kami semua berpindah ikut ayah ke bandar sebab dia bekerja di sebuah kilang di sana. Keluarga saya memang serba kekurangan tapi kami tidaklah pernah tidak makan.

Syukur ada saja rezeki, makan pakai semua cukup. Tapi kalau dibandingkan dengan rakan-rakan di tempat baru, kami memang sangat susah. Hidup menyewa, tiada kenderaan selain basikal tua yang ayah pakai untuk ke tempat kerja.

Oh ya, kami tinggal di pinggir bandar ya jadi masih hidup kampung cuma bagi saya, kampung ni memang kampung mewahlah. Syukur tuan rumah sewa dan jiran-jiran semua baik-baik belaka.

Walaupun kami tak pernah makan tak berlauk, banyak kali saya nampak mak ayah makan nasi kosong dengan kuah sebab nak bagi lauk semua untuk kami anak- anak.

Saya bukanlah pandai sangai tapi UPSR tu walaupun 4A 1B saja tapi sayalah yang terbaik di sekolah saya masa tu. Masuk SMK, saya jadi pelajar yang sederhana sahaja. Tapi keputusan PMR dan SPM antara yang terbaik juga (flip hair).

Saya bukanlah jenis yang rajin belajar, tapi Tuhan kurniakan minda yang cerdas dan cepat tangkap pembelajaran yang diajar. Ibubapa juga tidak pernah memberi dorongan atau kata-kata semangat.

Mereka cuma senyum saja tapi saya tahu mereka ada juga bangga sikit. Mereka juga tidak pernah meraihkan apa-apa kejayaan saya tapi saya OK saja. Saya tidak pernah kecil hati sebab saya tahu mereka memang macam itu.

Tapi hidup masa SMK tu agak mencabar juga sebab masa tu la kita sudah mula mengenal dunia luar dan mencari identiti diri.

Ada beberapa incident yang buat saya rendah diri sangat. Incident pertama tu jadi masa kawan-kawan bawa ke bandar dengan saya berbekalkan RM50 (elaun saya sebulan).

Kawan sorang ni cakap RM50 tu tidak cukup dan saya mungkin akan susah tapi cukup saja.

Incident kedua terjadi pada outing yang sama, ditegurnya baju saya yang sy selalu pakai dan lusuh. Baju tu mak yang beli dan saya suka pakai.

Ada banyak lagi incident yang meremukkan semangat dan buat diri ini rasa sangat hina dan miskin tapi saya rasionalkan mereka itu tidak sedar apa yang mereka sedang buat atau cakap. Teringat satu masa saya ajak ayah bersubahat.

Saya suruh dia cakap dia tak bagi saya keluar lagi kalau mereka telefon dia untuk minta kebenaran bawa saya keluar haha.

Mungkin agak pengecut sebab tidak berdepan sendiri dengan mereka dan luahkan perasaan tapi bukan semua emosi itu perlu kita keluarkan.

Ada masa kita perlu terima keadaan itu seadanya dan move on.

Pernah sekali tu saya menangis pulang dari sekolah, mak nampak dan tanya kenapa. Saya cuma lalu masuk ke bilik dan melayan perasaan. Mak tak tanya lebih tapi malam tu saya tersedar yang mak usap-usap kepala saya masa tidur.

Semasa saya Tingkatan 3, mak pindah ke kampung untuk mengusahakan tanah pusaka peninggalan atok bersama adik nombor dua dan bongsu.

Si bongsu baru nak setahun jadi memang sangat sedih masa tu. Saya dan adik nombor satu tinggal dengan ayah di bandar.

Rindu mak dan adik-adik masa tu Tuhan saja yang tahu. Tu juga sebab saya selalu pakai baju yang mak beli, sebab saya rindu. Baju baby adik bongsu pun saya bawa tidur.

Anyway, selepas SPM saya masuk ke Kolej Matrikulasi. Di sanalah saya mula hidup berdikari sendiri. Selesai Matrikulasi dapat pula tajaan Ijazah. Proses nak ke kolej tu pun sedih.

First time naik kapal terbang, sendiri sebab duit tiket saya saja pun dah mahal sangat. Takut dah salah naik kapal tapi syukur Tuhan hantar insan-insan yang membantu sepanjang perjalanan.

Ingat lagi madam yang tolong bookkan teksi untuk saya dari airport ke kolej. Thank you madam.

Ingat juga dengan pak cik teksi yang bawa saya ke kolej tanya first time ke di sana, saya jawab ya.

Pak cik tu senyum dan bagi nasihat lain kali jangan senang-senang dedahkan kita orang baru di tempat baru. Boleh mengundang bahaya katanya. Sampai sekarang saya ingat nasihat pak cik. Terima kasih pak cik.

Setibanya di kolej saya ada satu fear, takut tersalah kolej haha. Tiba di pejabat betul-betul orang tu cakap nama saya tiada di sana. Saya punya overthinking tu dah terbayang merempat di bawah jambatan.

Bila double check rupanya ada juga nama saya di sana. Sempat anxiety kejap hehe. Tapi sempat juga la tengok kawan-kawan lain yang ibubapa mereka hantarkan.

Ramai yang menangis saya tengok. Saya tak pernah pun merasa menangis berpisah dengan keluarga sebab dah lali. Nak lepaskan rindu tu cuma luahkan dalam doa saja.

Memang struggle nak sesuaikan diri. Rasa macam kembali masa umur lapan tahun berpindah ke sekolah baru.

Dikelilingi dengan orang-orang senang yang tidak pernah merasa susah namum saya selalu tanamkan dalam pemikiran yang susah ini subjektif.

Mungkin berpisah dengan keluarga selama beberapa minggu tu la yang paling susah mereka pernah rasa jadi saya tidak pernah judge kesusahan orang lain dan anggap diri inilah orang yang paling susah.

Namun saya tak nafikan ada masa saya jatuh dan rasa dunia ini tidak adil.

Sekiranya kawan-kawan bawa makan tempat sedap-sedap, saya jadi tak berselera nak makan sebab teringat mak ayah dan adik-adik tidak dapat merasa sedapnya makanan tu.

Bila jalan-jalan dengan kawan-kawan, teringat mak dan adik-adik di kampung yang masih mencatu air hujan dan pakai generator untuk power supply.

Even makan aiskrim pun saya sebak sebab saya nak adik makan aiskrim tu dengan saya. Nak dengar suara mak dan adik-adik pun susah sebab di kampung daif saya tu tiada network coverage.

Hidup sekarang masih jauh dengan mak ayah dan adik-adik namun syukur semakin senang berhubung.

Mak ayah dah tua dan menetap di kampung dan harapan saya agar dapat berpindah tempat bertugas yang lebih dekat agak dapat menjaga mereka.

Kepada yang sedang menjalani liku-liku hidup yang susah, kuatkan semangat dan terus melangkah ke depan. Jangan takut untuk berimpian dan kejar impian itu. Saya ucapkan semoga berjaya. Terima kasih kerana membaca.

– June (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *