Singkirkan Budaya Menjodohkan Kanak-kanak.

Sehari dua ini, saya suka mengikuti dua pempengaruh kanak-kanak terkenal mengiklankan salah satu produk terkenal negara ini.

Mereka berdua amat petah bercakap, dan profesional dalam menjalankan tugasan yang diberikan. Sangat seronok dilihat. Yang menjadi masalah, orang dewasa di ruangan komen.

Lupakah kalian, mereka masih kanak-kanak? Bukankah perjalanan mereka inshaAllah masih jauh ke hadapan? Yang dipikirkan dan diluahkan, “Eh, kalau berjodoh sweet ni”.

Yang lebih sadis, walaupun sudah ditegah empunya badan (tidak pasti skrip atau bukan, tapi membawa maksud menegah), saya perasan tiada perasaan hormat dalam kalangan netizen kerana meneruskan komen sebegitu.

Ya, menarik jodoh ini kerana unsur misteri dan emosi. Namun, ‘menjodoh-jodohkan’ kanak-kanak amatlah tidak wajar.

Seakan-akan tidak menghormati perasaan dan masa hadapan mereka. Tidak menghormati ibu bapa dan penjaga mereka.

Bukan itu sahaja, bahkan komen sebegini memberikan mesej yang salah, bahawa jodoh itu penentu kebahagiaan hidup.

Hakikatnya, bukankah ada perkara yang lebih penting daripada jodoh? Bukankah setelah berjodohan, ada lagi kehidupan yang perlu dilalui dan komitmen yang perlu diberikan?

Sedangkan, mungkin memiliki jodoh di dunia yang membawa ke syurga bukanlah sesuai buat semua orang, walaupun mungkin itulah harapan kita semua.

Ada orang, tiada jodoh di dunia. Ada orang, jodohnya di dunia hanya sementara. Ada orang, berjodoh di dunia sehingga maut menimpa. Kita tidak tahu masa hadapan kanak-kanak itu. Hanya Tuhan yang tahu.

Apa yang ingin dipesan di sini, terutamanya apabila berziarah semasa musim perayaan nanti ialah, cuba elakkan diri daripada melakukan perkara ini, terutamanya terhadap kanak-kanak.

Masa hadapan mereka masih jauh, tuan-tuan dan puan-puan.

Kita doakan sahaja yang baik-baik, ucap tahniah atas segala kebaikan yang mereka lakukan dan pencapaian mereka, kerana itulah merit yang lebih penting berbanding memiliki jodoh.

Let kids be kids. Jangan meragut masa kanak-kanak mereka dengan komen kita sebegini.

– Ef Enn dabel you (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *