Darah Daging vs Orang Luar

Assalamualaikum
Sebelum apa-apa biar aku cerita serba sikit pasal diri. Aku perempuan umur 26 dan menetap jauh dari kampung halaman. Aku seorang yang pemendam. Dari luaran aku nampak ‘happy go lucky’ dan peramah tapi bila bersendiri aku banyak termenung dan menangis sorang-sorang bila ada masalah. Aku percaya sifat ini adalah sifat tipikal seorang wanita.

Berbalik kepada tajuk, tahun 2014 aku baru tamat final exam di sebuah IPTA dan aku bercadang mahu mencari kerja sambilan (bukan bidang belajar lagi) sekadar untuk mencari pengalaman dan wang keperluan sendiri, sekurang-kurangnya untuk membayar yuran konvokesyen. Kebetulan pada masa itu ofis kakak aku mempunyai kekosongan sebagai kerani dan dia menawarkan aku untuk mencuba. Katanya lagi, aku boleh teman dia dirumahnya agar dia tidak keseorangan.Masa tu dia baru pindah kerumah baru dan akan berkahwin 3 bulan lagi. Bagai pucuk dicita ulam mendatang, aku terima pelawaannya.

Tapi, benarlah orang cakap, kita takkan mengenali seseorang itu selagi tidak duduk bersama. Sebelum aku datang kerumahnya, dia telah menetapkan aku untuk membayar sebahagian sewa. Okay part ini aku tak kisah lagi even ramai kawan-kawan aku yang menumpang di rumah keluarga tidak dikenakan apa-apa bayaran. Aku faham keadaan kakak aku yang memerlukan perbelanjaan yang besar sebelum majlis kahwin. Kalau membeli barang dapur pun biasanya aku akan membayar lebih daripadanya. Aku sedar menumpang dan itu sahajalah cara aku boleh balas budinya. Aku juga seorang yang suka memasak. Jadinya setiap hari aku akan masak untuk makan bersama. Masak sorang-sorang, then kemas dapur sorang-sorang. Dia hanya makan. Again aku tak kisah sebab aku menumpang.

Tetapi aku tak tahu kenapa aku selalu dijadikan sasaran untuk kakak aku meluahkan marah. Contohnya, lepas masak aku mahu rehat sebentar sebab penat jadi aku belum membasuh pinggan, tiba-tiba dia marah-marah sebab perkara tersebut. Aku hanya diam dan pergi ke dapur. Kadang-kadang juga dia akan memarahi aku sebab aku terlupa tutup lampu bilik air. Betul itu salah aku, tapi tak perlu la marah tengking-tengking macam aku dah buat salah besar gila. Pernah satu hari, aku misscommunication dengan dia. Masa tu kami mahu keluar untuk mencari barang persiapan kahwin dan dia tertinggal dompet. Aku ingatkan dia mahu meminjam duit aku sebab tiada cash rupanya dia mahu kad touch n go. Sampai di tol dia memarahi aku dengan sangat teruk sebab kad tng aku tiada baki. Sangat teruk aku ditengking dan ayat yang aku paling tidak boleh lupa, “langsung tak boleh diharap, tak guna, mintak tolong sikit pun tak boleh buat”.

Masa itu terus ter’flashback’ semua kebaikan yang aku pernah lakukan sepanjang duduk bersama, hari-hari aku tolong masak dan mengemas dapur, menyapu dan mop rumah, basuh, jemur, lipat baju dia. Aku sedar aku menumpang (walaupun bukan free) dan itu saja yang boleh aku buat sebagai tanda menghargai kesudian dia memberi tumpang. Belum kira makan yang aku selalu belanja, duit barang dapur kadang-kadang aku bayar sorang. Adakah aku ini dikira sebagai adik yang tak guna? Tak boleh harap? Then masa shopping tu aku senyap je sebab aku memang betul-betul terasa. First time dalam hidup aku sentap gila dan terasa dengan darah daging sendiri. Aku jarang macam ni. Biasanya aku boleh pendam lagi dan berpura-pura. Tapi kemarahan dia tidak berhenti disitu. Masa otw balik aku buat-buat tidur. Otak aku penat. Tiba-tiba dia sound aku, “entah apa-apa, manja sangat, baru sikit dan nak sentap”. Air mata yang ditahan sejak 4 jam tadi jatuh juga. Aku tak nak nampak aku lemah tapi air mata aku betul-betul tak boleh ditahan. Jangan kan memujuk, lagi dimarah ada lah. “Nangis lah nangis ingat kakak kisah, dah besar-besar pun mengada-ngada lagi”. Sedih. Tak tipu. 2 hari lepas kejadian tersebut aku demam. Again aku dimarah. Aku tak minta untuk dihantar ke klinik pun tapi dia dah warning jangan menyusahkan dia.

Sebagai adik kandung, kawan pertama sejak lahir, aku sangat terasa bila membandingkan layanan dia terhadap aku dan bakal suami dia. Di rumah aku dimarah, ditengking, diperli, tapi bila keluar sekali dengan bakal suami dia punya lah baik, pijak semut tak mati. Kemain tanya aku dengan nada paling lembut jet-jet caring, dengan senyuman paling manis “nak makan apa”. Sumpah aku terkesima. Aku tak tahu dia ikhlas atau pura-pura baik. Kadang-kadang sebelum keluar makan dia sudah ingatkan aku untuk membayar sendiri makanan aku supaya tidak menyusahkan bakal suami dia. Bila depan-depan, dia claim bahawa aku nak bayar sendiri. Pernah sekali dia teringin nak makan sesuatu dan belakang-belakang dia suruh aku belanja. Depan-depan, dengan ayat paling manis dia claim aku cakap nak belanja. Paling buat aku terasa bila melihat layanan dia terhadap bakal suami, sangat baik, sangat caring, sangat penyayang. Sweet tahap potong kaki gitu. Sedangkan aku sebagai adik kandungnya tidak pernah mendapat layanan begitu. Aku kan adik tak guna.

Klimaksnya bila kurang sebulan dia akan berkahwin. Dia bagi hint supaya aku keluar dari rumah tersebut. Katanya “bila kakak dah kahwin takkan awak nak duduk dengan kitorang lagi”. dengan nada memperli dan sarkastik. Ayat yang memang tak boleh lupa even aku cuba. Ayat kasarnya aku dihalau. Yela takkan nak serumah dengan pengantin baru. Kacau daun je orang nak bersweet-sweet ala cerita korea. Padahal dulu dia yang beriya-iya ajak. Dia pernah sebut, lepas kahwin nanti suami dia yang akan bayar sewa rumah. Tahulah aku, aku diajak menumpang bersebab; untuk share duit sewa. Ibarat habis madu sepah dibuang. Setelah mendapat seberapa banyak benefit dari aku, kini aku sudah tidak diperlukan lagi. Abang ipar aku tidak kisah aku duduk sekali (dia memang baik) tetapi kakak aku yang insist supaya aku pindah. Jadi solusinya, aku pun resign dan balik kampung untuk fokus mencari pekerjaan lain. Impression aku terhadap kakak aku juga berubah sejak itu. Menumpang dirumahnya memberi kesedaran dan pengajaran paling besar dalam hidup aku.

Tapi ada cerita lawaknya. Akhirnya aku mendapat pekerjaan yang setaraf dengan kelayakan (Alhamdulillah) dan duduk di sekitar kakak aku (jauh juga beza 40km). Pekerjaan suami kakak aku memerlukan dia untuk outstation selalu. Kadang-kadang hanya ada dirumah time weekend je. Dia pun pada masa itu dah ada anak sorang. Again dia ajak aku untuk teman duduk dirumahnya. Pekerjaan aku juga memerlukan aku untuk outstation sekali-sekala jadi aku mempunyai kekangan untuk menemaninya. Kalau aku masuk ofis pun 40km kau dari rumahnya. Minyak + tol + jem = tak sanggup. Dia siap tolong carikan kerja area-area rumahnya dan minta aku supaya pindah ke rumahnya. Eh dulu bukan halau ke? Dia pun dengan nada bergurau pernah offer aku untuk babysit anaknya dengan bayaran RM400. Katanya rumah dengan makan dah free kira banyak lah tu dia bayar. Dalam hati aku tahu aku ni nanti jadi bibik free dia je nanti.

Air dicincang tak akan putus. Aku sangat terasa tetapi aku cuba melupakan walau ada beberapa kepingan memori yang memang aku takkan boleh lupa. Kadang-kadang bila aku bersendiri, aku akan teringat dan menangis. Mungkin bagi orang lain perkara tu biasa dan remeh tapi bagi aku, aku tak pernah menyangka darah daging sendiri sanggup melayan aku sebegitu ketika aku kekurangan. Dan sekarang apabila aku mempunyai sedikit advantage darinya (Alhamdulillah), aku pula menjadi tempat dia meminta pertolongan. Aku tidak kisah untuk menolong, tetapi tidakkah sedikit pun rasa kesal pernah ada dalam hatinya? Aku tidak pernah mendoakan keburukan untuknya cuma aku harap dia sedar, apa yang pernah dilakukannya terhadap aku meninggalkan kesan yang sangat besar dalam hati.

Kepada para pembaca, aku harap korang hargailah darah daging sendiri. Selagi pasangan korang belum bergelar suami/isteri yang sah, mereka tetap orang asing dan bagi aku orang asing tiada hak untuk dilayan lebih teruk dari darah daging sendiri. Hargailah keluarga anda yang telah bersama-sama dengan anda sejak dari lahir. Sebelum anda bertemu dengan kekasih hati adik-beradik itulah girlfriend/boyfriend pertama, yang menyayangi anda tanpa batas. Ingat juga, doa orang yang teraniaya dimakbulkan Allah. Aku juga risau mungkin kata-kata aku semasa bersedih dianggap doa oleh Allah dan kakak aku terkena tempiasnya. Akhir kata, terima kasih kepada IIUM Confession kerana menyediakan aku platform untuk meluahkan rasa.

– SOS

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit