Abah

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Aku anak perempuan abah, umur awal 30an dan sudah berkahwin dan masih tinggal dengan mak abah. Terima kasih admin jika kisah aku disiarkan. Aku hanya nak coretkan secebis kisah hidup aku bersama abah.

Umur abah 66 tahun. Masih bekerja sebagai nelayan. Pernah aku suarakan kepada abah, tak perlu lah lagi ke laut, aku boleh sara abah, mak dan adik tapi jawapan abah buat aku tak sanggup paksa dia lagi. Kata abah kalau dia tak kerja badan dia sakit-sakit seolah-oleh menunggu mati. Abah orangnya kuat bekerja. Tak ada istilah cuti atau pergi bercuti. Tak juga melepak di kedai kopi. Tempatnya di laut atau di rumah.

Jadi anak nelayan sangat-sangat la seronok. Mewah makanan, tapi tidak mewah wang ringgit. Abah tak boleh duduk diam, kalau tak ke laut, ada je aktiviti dia, memukat, menjala dan menahan jerat burung. Ni semua habuan kami adik beradik la. Jadi, kami semua membesar dengan jayanya. Kecuali adik aku yang sorang ni. Maintain kurus, hehe. Dengan  ke laut lah dia membesarkan kami 4 beradik hingga aku berjaya ke menara gading. Apabila aku mula bekerja je, bahagian depa lah aku sisihkan dulu. Setakat 8 tahun aku bekerja ni, aku tak pernah culas bagi duit poket kat abah.

Sejak 10 tahun lepas abah disahkan menghidap kencing manis. Abah juga menghidap penyakit batu karang selain asma. Berat badan abah yang sedap-sedap dah semakin susut. Tapi abah tetap ke laut. Sejak 2 tahun lepas, ku lihat kudrat abah semakin kurang tetapi semangatnya tak pernah kurang, tetap menerjah lautan dan hutan api-api untuk mencari rezeki. Setiap kali balik dari laut, kami adik-beradik sangat teruja melihat hasil tangkapan abah, ketam. Ye abah tangkap ketam nipah dan macam-macam lagi hasil laut. Kerang, udang belacan, ikan sembilang, sotong kurita, udang lipan. Ikut musim. Tapi kerja hakiki abah tangkap ketam nipah.

Sejak awal tahun ni, abah kerap demam. Demam pagi, petang sihat sikit. Aku ajak abah ke klinik, tapi  abah tak mau. Abah makan panadol saja. Abah memang anti klinik/hospital. Tah la, takut ke apa. Tapi check-up kencing manis tak pernah miss. Mungkin dia tak suka orang tengok dia dalam keadaan sakit kot. 5 bulan lepas, naik biji-biji air di seluruh badan abah, aku tahu itu chickenpox. Tapi chickenpox abah pelik sikit. Naik rapat-rapat. Kali ni bila aku ajak abh je klinik, abah tak tolak, mungkin sebab tak tahan sangat. Nak berjalan pon dah tak stabil.

Balik je dari klinik abah dah tak larat sangat. Nak bangun pon tak larat dan abah dah tak boleh bangun sendiri sejak saat itu. Sekali lagi kami adik-beradik bawa abah ke hospital dan abah redha je sebab dia memang tak larat sangat-sangat dan bergantung sepenuhnya kepada mak, abang dan adik aku. Masa tu aku sarat mengandung 9 bulan, memang tak dapat nak bantu angkat abah tapi kadang-kadang aku gagahkan diri juga.

Aku ingat balik dari hospital abah makin baik, tapi abah makin lemah, makan pon tak lalu. Hanya minum susu sahaja. Ada 1 hari tu, balik je aku dari kerja, mak cakap abah makan sepiring bubur nasi. Kami gembira sangat dan berharap selera abah makin bertambah dan berharap abah kembali sihat. Namun, selera makan abah kembali merosot. Hampir sebulan abah sakit, mak mengadu abah tak minum susu langsung hari tu, aku cuba bagi sikit-sikit. Abah minum tak sampai setengan cawan.

Esok paginya, Isnin aku menyapa abah sebelum ke tempat kerja, abah berbaring tidak menyahut sapaan ku mcm selalu. Aku usap dahi dia dan mencium dahi sebelum ke tempat kerja. Hari tu aku memang tak fokus, ingatkan abah saja. 1.40 petang, semasa aku otw balik rumah, adik call. Abah nampak letih katanya, aku dah rasa lain dan terus menangis meraung dalam kereta. Sampai je aku di tepi abah, abang suruh aku bersabah. Abah dah tiada. Abah baru saja pergi. Aku dah tak dah abah. Mak, abang dan adik ada di sisi abah semasa akhir hayat abah. Abah pergi dengan tenang.

Setelah berbincang kami adik beradik, abah dikebumikan petang itu juga. Aku mandikan abah. Aku amati wajahnya, kurus cengkung. Saat abah dikafankan, ku cium berkali-kali sebab ni je peluang aku cium abah. Selepas ni dah tak boleh. Air mata memang tak terbendung lagi. Abah dibawa pergi ke masjid untuk disembahyangkan dan terus ke perkuburan. Berakhirlah perjalanan akhir abah. Alhamdulillah, urusan pengebumian abah berjalan lancar.

Kini, hampir 4 bulan abah tinggalkan kami. Kami redha atas pemergian abah ke sisi penciptanya. Memori bersama abah tetap bermain-main dalam minda. Seluruh isi rumah itu ada bayangan abah. Sepanjang hidup aku penuh dengan memori bersamanya. Saat ini, ternampak-nampak lagi abah di dapur menunggu waktu subuh seawal 5 pagi.

Terdengar-dengar lagi bunyi motor abah balik masjid. Terbayang-bayang abah bersarapan nasi lemak kegemarannya. Teringat-ingat mi sanggul kegemaran dia dan kami sekeluarga. Terkenang-kenang waktu bersama dia. Gerak-gerinya, nasihatnya, gelak tawanya. Rindu abah hanya Allah yang tahu. Di usia aku ni, aku masih rasa aku terlalu muda untuk kehilangan abah. Bukan kami sahaja yang rindukan abah, malah kawan-kawannya.

Hampir sebulan setelah ketiadaan abah, aku selamat melahirkan cucu abah yang ke-5 dan merupakan anak ke-2 ku. Abah tak sempat nak lihat cucu ini tapi abah sempat melayan mengidam aku nak makan durian dan cempedak. Aku dan suami abadikan nama abah pada anak ku ini. Sehingga ke hari ini, tidak pernah 1 hari pon kami tidak menyebut tentang abah. Kami sangat rindukan abah. Terutamanya mak, walaupun mak tak banyak ekspresikan perasaannya tapi aku tahu mak menanggung rindu yang amat dalam.

Moga diampunkan dosa-dosa abah dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah untuk abah yang dikasihi.

– Anak Perempuan Abah

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *