Abah Dalam Kenangan

Senja sudah berlabuh. Langit merah mambang kuning bak kata emak perlahan-lahan makin kelam warnanya, disambut azan maghrib dari masjid yang terletak lebih kurang 100 ela dari rumahku.

Suara bilal Mael sudah lali dipendengaran. Lunak, berlagu dan enak di cuping telinga. Kereta-kereta sudah tidak banyak lalu lalang, masing masing ibarat burung sudah kembali ke sarang.

Aku termenung dijendela. Daun tingkapnya sudah robek sebelah, kaca berwarna hijau yang menghiasi sebelah lagi daun tingkap sudah ada yang pecah. Tingkap itu tidak kubuka, bimbang nanti kaca jatuh berderai ke tanah. Berbirat tubuhku nanti dibantai emak.

Usai azan maghrib, kulihat berbondong-bondong cucu Tok Saadom keluar dari rumah. Sudah ku agak seperti tahun tahun sudah, mereka akan bermain bunga api.

Saat ini memang aku tunggu. Ibarat acara tahunan, pasti meriah halaman rumah Tok Saadom dengan kehadiran cucu- cucunya yang berbelas orang itu.

Aku ralit melihat cucu-cucu Tok Saadom bermain bunga api. Ada yang berlari-lari, ada yang usik mengusik sesama mereka. Umur cucu-cucu Tok Saadom tidaklah jauh berbanding aku adik beradik. Mungkin juga ada yang sebaya atau setahun dua lebih tua.

Mataku terus leka sambil fikiranku dipenuhi bunga angan-angan. Alangkah indahnya jika yang berlari lari bermain bunga api itu adalah aku dan adik beradikku.

Sudah berkali-kali raya, kami masih juga tidak merasa. Emak tidak mampu membeli bunga api, makan saja sudah sehabis baik emak sediakan. Apatah lagi mahu membakar wang ringgit yang cukup-cukup saja untuk bermain bunga api.

Seketika fikiranku mengelamun teringatkan Abah. Apa agaknya Abah buat waktu waktu begini dengan anak-anak barunya? Mungkinkah abah sedang sibuk mencuba baju raya ke tubuh anak-anak barunya? Kami di sini tidak berganti baju. Cuma adik-adik saja siap seorang sepersalinan, emak beli murah-murah di kedai cina Kampung Jawa.

Aku terhidu bau yang lazat dari dapur. Sesekali terdengar suara Maktuk dan emak. Entah apa diborakkan. Pasti tentang esok.

“Ngah, kau buat apa melangut kat situ?” sapa Along. Hampir saja aku tersentak tapi aku tidak menoleh. Entah bila Along balik dari menjala ikan di benteng dengan si Munir tidak kutahu. Kebiasaannya senja baru sampai rumah bersama hasil ikan yang tidak seberapa.

“Best kan Along main bunga api,” kataku. . Pertanyaan Along tidak ku jawab.

” Best lah. Kalau banyak duit boleh beli. Kita mana ada duit.” jawab Along seperti yang aku jangka.

Memanglah kami tidak berduit. Aku cuma cuba menggambar rasa, cuba meluah keinginan yang belum boleh tercapai.

“Esok esok kan Along, kalau aku ada anak, nanti anak anak aku main bunga api macam cucu tok Saadom” tambahku dengan mata bersinar mengandungi harapan. Aku masih lagi berangan cuma jauh sedikit angan ku ini.

Along tergelak. Ketawanya kecil menyeringai menampakkan giginya yang agak kekuningan.

“Kau ni kuat berangan Ngah. Tidur pun masih kencing malam dah berangan nak ada anak!” sakat Along.

Terputus anganku seketika. Aku kalihkan pandangan dari jendela ke wajah Along.

“Biarlah aku berangan. Satu masa nanti mesti jadi!” aku menegakkan pendirianku. Pantang aku diajuk begitu.

“Sudahlah tu Ngah.. Baik kau tolong mak kat dapur.” Along berlalu ke dapur. Tinggal aku sendiri di ruang tamu. Kemudian aku dengar bunyi air bersimbahan ke lantai. Tentu Along yang mandi. Tubuhnya sudah tengik dengan bau lumpur.

Aku rasa malas nak ke dapur. Nanti emak suruh macam-macam. Emak tidak boleh nampak aku, ada saja nak disuruhnya. Tidak pula disuruh anak-anak lain. Along atau Alang jarang sekali dipanggilnya.

Kadang-kadang aku sengaja buat pekak – pekak sedikit, bila berulang kali emak panggil aku tidak datang, kalau nasibku baik emak akan berhenti memanggil. Kalau kurang baik, tahu-tahu saja emak sudah libas belakang tubuhku.

Ah. Aku sudah biasa di libas, diketuk, dibantai atau disebat dengan apa-apa saja oleh emak. Aku sudah lali. Sakitnya cuma sekejap saja. Paling tidak aku akan berlari ke sawah. Aku masih takut emak walaupun aku kepala batu.

” Alang… Andak, Achik…. Pergi mandi..bawa Ucu sekali. Dari pukul berapa aku suruh mandi kau orang buat pekak je” nyaring suara emak kedengaran dari dapur. Emak memekik memanggil adik-adikku untuk segera mandi. Malam sudah berlabuh. Aku dan Along sudah lama mandi, maka tidak dipanggil emak.

Aku teruskan melihat ke luar jendela. Aku lihat sosok tubuh Tok Saadom berjalan laju ke masjid untuk berjemaah seperti biasa. Cucu cucunya tiga orang yang lelaki mengekori dari belakang.

“Angah…..!” laung emak.

“Ye mak!” laungku kembali. Kali ini sekali saja aku sudah menyahut. Tidak ku lengah seperti selalu. Esok kan raya, aku tidak mahu mencemar indahnya malam raya.

Aku menarik nafas dalam. Aku berjalan menuju dapur. Perutku sudah berbunyi. Ditambah pula bau enak dari dalam kuali atas dapur kayu menambahkan lagi rasa laparku.

“Kau basuh semua cawan cawan dan pinggan ni. Nanti keringkan dalam dulang. Esok nak jamu orang senang. Basuh sekali bekas bekas kuih ni.” arah emak sebaik saja aku terpacul di dapur.

Aku lihat balang-balang kaca yang hanya dikeluarkan setahun sekali bersusun di atas lantai. Emak sudah keluarkan dari almari. Ada yang berisi telur lipas. Baunya hapak.

Aku tidak membantah. Esok raya, aku sudah tahu tugasku. Balang-balang kaca ini akan aku isikan kuih raya yang emak sudah buat. Ada kuih ros, kuih kapit, kuih siput, kuih bijan, maruku dan beberapa jenis lagi. Yang paling istimewa pastilah kuih bahulu.

Aku, emak dan maktuk bakar guna kayu dan sabut kelapa. Baunya harum. Kuih bahulu buatan emak itu paling mahal berbanding kuih-kuih lain, bahan bahannya banyak menggunakan telur dan gula.

Emak dan Maktuk sedang bersila atas tikar mengkuang. Bersebelahan emak ada dapur kayu. Ada sebelanga ketupat sedang direbus, ada juga sekuali besar rendang ayam kampung sudah siap dimasak.

Satu tungku lagi digunakan oleh Maktuk untuk menggoreng kacang tanah. Pasti untuk dijadikan kuah kacang. Enak dimakan dengan ketupat. Aku hanya melihat sambil menelan air liur. Lapar tapi belum boleh makan.

“Besok siapa datang, mak?” tanya ku. Saja berbahasa basi dengan emak.

“pak ngah Derus kau anak beranak selalu datang lepas subuh sebelum sembahyang raya. Lepas tu dia pergi rumah nenek Endek” balas Emak.

“Pak Ngah Derus dah pindah Serting kan mak. Jauh.” sambungku.

“Dia dapat duit pencen askar. Beli tanah kat sana. Dalam hutan pun hutanlah. Janji ada rumah” jawab Maktuk. Emak hanya mengangguk.

“Sekurang kurangnya dia dah ada tanah sendiri. Leman dengan Omar masih duduk menyewa, ” kata emak sambil mengikat ketupat yang sudah direbus ke palang kayu untuk ditoskan airnya.

“Kau yang paling untung, Munah. Bapak engkau sudah sediakan rumah sebelum balik ke negeri asal. Kalau tak, merempat kau anak beranak. Laki engkau bukan boleh pakai,” gumam Maktuk.

Emak terdiam. Aku lihat matanya mula berkaca. Pedih sungguh kata kata Maktuk. Aku tidak berani menyampuk.

Aku tidak pernah jumpa Atok. Menurut emak, Atok sudah balik Pakistan semasa emak masih belasan tahun. Mungkin juga sudah arwah di sana.

Menurut emak, Atok memang sudah ada keluarga di Pakistan. Beliau datang ke tanah Melayu sebagai askar sekitar tahun 1940an. Ketika itu beliau merupakan askar di bawah kerajaan India. Pakistan waktu itu belum lagi merdeka.

Kisah datukku ini selalu diulang ulang. Semacam satu kebanggaan buat emak. Emak sebenarnya anak orang kaya. Datukku setelah berhenti sebagai askar, beliau menetap di tanah Melayu dan bekerja sebagai ‘jaga’ sekolah di stadium Kubu. Kemudian beliau menternak dan menjual lembu. Hasilnya beliau menjadi kaya raya.

Kalau menurut cerita Maktuk, rumah inilah yang pertama di kampung ini yang ada peti televisyen, yang pertama ada motor dan kereta. Ketika itu orang orang kampung masih ramai lagi bekerja sawah.

Datuk balik ke Pakistan pada tahun 1974 ketika emak berusia 14 tahun. Beliau meninggalkan sejumlah wang sebanyak lima ribu ringgit, sepersalinan barang kemas serba satu untuk emak dan Maktuk dan rumah berserta tanah tiga suku ekar. Itulah bekalan terakhir datuk sebelum berangkat pulang tidak kembali lagi.

“Laki engkau dah berapa lama tak balik? Sepuluh kali raya pun tak balik. Anak anak engkau ni lebih baik tak berbapa, kalau ada pun macam tak ada saja.” bebel Maktuk lagi.

“Apa aku nak buat mak kalau dia tak nak balik. Anak anak aku hidup juga.” perlahan saja suara emak.

“Itulah engkau. Orang berlaki engkau pun nak berlaki. Harta aku habis dikikisnya. Barang kemas engkau seutas pun tak ada dah habis digadai. Mujur geran tanah ni Ismat yang pegang. Kalau ada tangan kau, memang sudah tergadai juga,” sambung Maktuk. Ismat itu bapa saudaraku sebelah emak.

Aku hanya mendengar sambil aku mengangkut balang balang kaca ke pelantar untuk dicuci. Skrip ini sudah ku dengar beberapa kali tetapi masih juga aku mahu dengar. Aku tahu Maktuk marahkan abah.

“Ismat suruh engkau cerai, engkau tak mahu. Apa nak ditunggu laki macam itu. Digantungnya engkau tidak bertali. Anak kau mengemit-ngemit. Engkau membanting tulang, dia sedap sedap mengulit bini” tambah Maktuk. Walaupun mulutnya membebel tangannya laju bergerak menggoreng kacang.

Emak diam saja. Sudah tidak dijawab bebelan Maktuk.

“Aku ni walaupun dikeji orang sebab kahwin dengan Benggali, aku ada harta. Walaupun laki aku tua, aku tak hidup merempat. Engkau nak laki cantik, hidup engkau yang susah. Kalau kau dengar cakap aku dulu, engkau dah jadi bini pegawai tinggi. Tidaklah susah hidup engkau semacam ini. ” Maktuk masih membebel.

Emak sudah habis mengikat ketupat sebelanga. Balang kaca dan pinggan sudah ku angkat kesemuanya ke pelantar bersebelahan dapur memasak.

“Sudahlah tu mak. Aku dah puas senang masa bapak ada. Sekarang aku susah sebab anak anak aku kecil. Esok esok aku senanglah balik.” aku kira emak sudah muak di bebel.

Aku kasihan melihat emak. Walaupun emak garang tapi aku tetap kasihankan emak. Aku tidak faham mengapa semua orang marahkan emak. Salahkah emak kahwin dengan Abah? Bukannya emak tahu, tiga belas tahun kemudian abah akan tinggalkan emak untuk isteri baru asal Pattani.

Aku mencangkung di pelantar. Aku mencedok air dari tempayan kemudian ku isikan ke dalam besen besar. Aku keramas kain buruk di dalam bekas kecil berisi sabun buku jenama Fab berwarna biru. Balang kaca dan pinggan yang sudah bersusun aku cuci satu persatu. Kemudian balang kaca dan pinggan yang siap dicuci aku celupkan ke dalam besen berisi air tadi untuk dibilas.

Fikiranku kembali melayang. Dimana agaknya Abah waktu ini? Di Gemencheh rumah Uwankah atau di Pengkalan Kubur rumah orangtua emak tiriku? Kuat firasatku mengatakan abah di Kelantan.

Emak tiriku mana boleh tidak balik ke kampung halamannya. Permintaannya mana pernah ditolak oleh Abah. Malah bila dia meminta Abah jangan menjenguk kami pun Abah turutkan.

Aku ingat ingat lupa wajah abah. Suaranya saja masih segar di ingatanku. Sudah terlalu lama rasanya aku tidak melihat sosok tubuh abah. Aku rindu. Ke mana harus ku bawa rindu ini? Aku pasti emak pun rindukan abah. Kadang kadang aku lihat emak menangis seorang diri.

Aku ingin sekali melihat kereta Abah meluncur masuk ke halaman rumah Maktuk. Aku teringin sekali melihat abah mendepakan tangan untuk memeluk tubuhku. Aku teringin sekali abah mencium pipiku dan ucapkan rindu padaku seperti mana aku sangat merindukan abah.

Aku anak perempuan abah yang pertama. Aku anak yang pernah abah sayangi dan abah belai. Abah bawa aku ke mana mana. Abah selalu kata aku anak yang cantik.

Tiba tiba abah berubah. Kemudian abah balik sekali sekala. Kemudian lagi abah terus menghilang. Tidak ada surat, tidak ada khabar berita. Yang aku tahu, emak ada kecoh kecoh abah sudah bernikah satu lagi di sempadan siam.

Aku masih ingat waktu itu emak menangis. Emak mengongoi. Adikku si Ucu masih merah. Emak dalam pantang melahirkan. Khabar duka abah bernikah satu lagi disampaikan oleh Pak Tam adik abah sendiri. Kami adik beradik hanya terpaku. Aku sendiri tidak berapa mengerti mengapa emak menangis seperti mendapat khabar kematian.

Selepas itu aku dengar emak menyerang abah di Gemencheh. Emak cuba menganyang isteri baru Abah. Along jadi saksi. Tetapi abah sempat lari dengan kereta barunya. Tidak dipedulikan emak dengan anak berderet deret. Waktu itu aku tidak ikut, aku tinggal di rumah bersama Maktuk dan Andak.

Aku selesai mencuci pinggan dan balang kaca. Aku angkat satu persatu lalu ku letakkan di atas tikar bersebelahan emak. Emak sediakan kain buruk yang bersih untuk mengelap balang kaca dan pinggan pinggan. Maktuk pula sudah berangkat ke biliknya untuk solat dan berehat setelah kepenatan sejak siang tadi memasak di dapur bersama emak.

“Besok kau pakai baju merah yang Maklong Jenab bagi kelmarin. Baju anak dia tu elok lagi. Cantik warna merah.” tutur emak kepadaku. Aku mengangguk. Baju merah bunga besar itu sudah kucuba. Memang elok sepadan saiznya dengan tubuhku yang tidak berapa besar.

Walaupun aku berusia 11 tahun, saiz tubuhku kecil macam budak 9 tahun. Kurus melidi dan katik saja macam ayam serama.

“Along pakai baju apa mak? Kan takde orang kasi baju Melayu tahun ni?” kataku.

“Pakailah apa yang ada nanti. Baju tahun lepas boleh pakai lagi. Singkat sikit saja. Alang pun pakai baju tahun lepas,” balas emak.

Emak menampi kacang tanah di dalam nyiru. Kulit kacang tanah yang terlerai akan tertampi keluar. Lepas ini pasti emak akan menyuruh aku menumbuk kacang. Itulah rutin malam rayaku.

Remang lampu dapur yang kekuningan menambah syahdu suasana ketika itu. Kedengaran suara takbir dari corong pembesar suara mula berkumandang. Air mata emak mula menitis. Tidak di sorokkan emak seperti selalu.

“Kalau Atok kau masih ada, aku tak susah macam ni,” sedu emak. Aku diam. Aku tidak tahu apa hendak dibalas untuk memujuk emak. Aku takut tersalah cakap nanti emak jadi marah.

“Abah kau dah lupakan aku. Dia sibuk dengan bini baru. Makan pakai aku, hidup mati aku dan anak anak dia dah tak peduli. Betul kata Maktuk, aku sayang laki. Siapa yang tak sayangkan laki?” luah emak sambil berjujuran air kata.

Aku tidak pasti mengapa emak memilih untuk meluah pada aku malam ini. Sedangkan aku adalah anak yang selalu emak marah marah. Aku rasa sedikit kekok.

“Abah dah tak sayang kita ke mak? ” bodoh saja pertanyaanku. Hanya itu saja yang terlintas di fikiranku.

“Kalau dia sayang, dia mesti balik. Ini ucu sakit seminggu dalam wad pun dia tak balik. Dia marah sebab aku serang bini dia haritu.” suara emak tambah sedih. Hampir serak di kerongkong.

Aku mengangguk-angguk perlahan. Walaupun aku tidak berapa faham kenapa perlu ada adegan serang menyerang ketika itu. Emak bangkit dari duduknya untuk ke bilik air. Kedengaran emak menghembus hingus.

“Assalamualaikum…..”

Suara sekumpulan orang kedengaran di muka pintu.

“Mak…. Orang masjid datang takbir!” along berteriak dari ruang tamu. Itulah agenda kemuncak malam raya 30 tahun yang lalu.

Aku menarik nafas dalam. Kenangan itu segera menghilang. Aku kembali ke lembah realiti waktu kini.

-Angah anak Emak (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

2 Comments

  1. Saya, x pernah comment sebelum ini, tetapi membaca luahan angah, terus nak comment juga, terlerai rindu baca cerpen dulu2. Memang macam membaca cerpen karya penulis tahun 80-an dan 90-an.Anda berbakat, ada teknik penceritaan yang menarik di samping laras bahasa yang sesuai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *