Aku Bekas Penghuni Tirai Besi II

Untuk part I, (https://iiumc.com/aku-bekas-penghuni-tirai-besi/).

Hai assalamualaikum. Ingat aku lagi tak? Ala yang cerita Aku Bekas Penghuni Tirai Besi part 1 tu. Haa nie aku nak sambung cerita ni. Tapi sebelum tu aku nak ucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada mereka yang sudi baca cerita aku di part 1.

Aku ingatkan takde orang nak baca cerita yang tak popular macam nie. Kan orang kat luar suka cerita pasal penyondol la, cerita pasal nikah kahwin cerai la. Apapapun, terima kasih yer sebab sudi luangkan masa baca cerita aku ni.

Ini cerita bahagian yang kedua. Akhir part 1, aku dipindahkan ke Kg Gajah selepas 2 minggu aku berada di Ledang (penjara satelit). Kali ni, aku dipindahkan secara beramai ramai dengan mereka yang ditahan juga. Hampir 2 bas penuh dibawa ke Kg Gajah.

Sebelum bergerak, kami semua dikehendaki menukar pakaian kepada pakaian semasa mula-mula aku sampai ke Ledang ni.

Setelah semua barangan peribadi diberikan (aku bawa IC saja), kami bergerak dalam lebih kurang tengahari. Tangan pula sentiasa bergari. Bayangkan naik bas dengan keadaan bergari. Bayangkan tau.

Setelah sampai di Kg Gajah, kami dikehendaki berhimpun untuk sesi penyerahan barang peribadi dan menukar pakaian.

Aku macam biasa la, hanya pakaian dan IC saja. Tak macam yang lain dengan handphone, bag duit bagai. Nasib aku dah beri barang peribadi aku kepada keluarga aku ketika mula-mula aku ditahan. Selamat.

Kemudian, kami semua diberikan pakaian serta barangan keperluan seperti gayung, bantal, selimut dan kole mengikut jenis hukuman.

Memandangkan aku dijatuhkan hukuman lama (lebih 6 bulan) jadi aku diberikan pakaian berwarna merah. Muat tak muat kita kasi bedal saja. Selepas itu, kami diberikan bilik kuarantin di blok Tawakal.

Untuk pengetahuan semua, di Kg Gajah, terdapat beberapa blok penempatan dan salah satunya adalah blok Tawakal. Kami diberikan bilik yang muat untuk 30 orang. Berhimpit himpit tu adalah perkara biasa. Ingat dekat rumah ke nak selesa. Lambat lagi.

Disini, ‘muster’ pagi, tengahari, petang dan malam sentiasa kena ontime. Tak boleh lambat. Masih juga segala aktiviti dijalankan didalam bilik masing-masing. Sistem makan sudah dinaiktaraf. Satu gayung nasi diagihkan kepada 4 orang.

Aku bernasib baik kerana diberikan ahli kumpulan yang membantu. Selalu kita dimomokkan dengan keadaan mereka yang berada di dalam ‘tirai besi’ seperti gangster dan buli. Aku bersyukur walaupun aku disana, tapi masih ada lagi mereka yang baik.

Seperti biasa, selera makan aku berkurang. Kadang kadang aku berikan bahagian aku kepada member yang lain. Biarlah mereka makan. Aku tak kisah pun sebab aku nak kena biasakan diri selama aku menjalani hukuman. Makan hanya sekadar sahaja.

Selepas 3 hari kami kuarantin diblok Tawakal, kami satu bilik diarahkan untuk berpindah ke blok lain iaitu blok Berkat. Blok Berkat dikenali sebagai blok disiplin. Jadi kawalan semakin ketat. Setiap blok mempunyai 3 ‘wing’ (sayap) iaitu wing kiri, kanan dan tengah.

Wing kiri dan kanan dikhaskan untuk mereka yang sudah beberapa kali ditahan manakala wing tengah dikhaskan untuk mereka yang baru pertama kali ditahan. Setiap wing mempunyai 2 tingkat dan setiap tingkat mempunyai 10 bilik.

Aku diberikan bilik di tingkat 2 dengan kapasiti 9 orang. Saiz bilik lebih kurang bilik 11 meter persegi. Dengan 9 orang berhimpit didalam bilik. Tapi aku tak kisah. Ini bahagian aku. Aku terima.

Nasib la bilik aku berlantaikan simen dan keadaan cuaca di Kg Gajah tidak sesejuk di Ledang. Selimut yang diberi amat besar. Jadi, aku hamparkan separuh untuk dijadikan alas tempat tidur dan separuh lagi untuk balut badan aku ketika tidur.

Bilik dilengkapi dengan 1 bilik air yang tidak berpintu. Disitu la kami mandi, kami buang air dan mencuci pakaian. ‘Muster’ pula hanya ada untuk pagi, tengahari dan petang sahaja.

Untuk muster pula, kami diarahkan berhimpun di kawasan foyer secara beramai ramai. Jadi, malam adalah aktiviti bebas saja.

Walaupun bebas, setiap kali selepas muster petang, pintu bilik kami akan dikunci. Jadi kalau ada apa-apa yang berlaku, akan ada seorang pegawai yang membuat rondaan. Mana la tau ada yang sakit ke. Senang pegawai buat pantauan.

Memandangkan blok Berkat adalah blok disiplin, kami dikehendaki mematuhi arahan memandangkan arahan yang diberikan memang ketat. Tidak boleh bising ketika muster, tidak boleh bergaduh sesuka hati (mostly sebab makan la) dan sebagainya (banyak peraturannya).

Setiap bilik akan dibuka selepas solat Subuh dan setiap waktu solat (Zohor dan Asar) kami akan lakukan secara berjemaah di foyer. Untuk Maghrib dan Isyak, kami hanya lakukan di bilik masing-masing.

Setiap 2 atau 3 hari, kami dikehendaki membuat latihan kawad di padang. Tuhan saja la yang tahu macam mana berkawad dibawah keadaan panas terik, berkaki ayam dan berlenggeng lagi. Nak tak nak, aku kena buat semua ni memandangkan ni semua arahan yang kita kena patuh.

Di sini juga aku diberikan kesempatan untuk khatam al-Quran. Tuhan maha Kaya. Tak pernah aku khatam (pernah dulu sekali ketika sekolah rendah). Pernah ketika aku baca al-Quran, air mata ini mengalir tak henti-henti.

Ketika itulah aku menyesali apa yang pernah aku lakukan sebelum ni. Itulah hikmah dari-Nya. Untuk bahagian makan pula, kami diberikan makanan seorang 1 tray. Jika ada bubur nasi atau bubur kacang, kami semua guna gayung. Satu gayung untuk 4 orang makan.

Macam biasa, bab makan ni aku tak kisah sangat dan jika aku tak habis, aku akan berikan kepada member bilik. Jangan membazir, tak baik. Aku berada di sini sehingga pertengahan puasa sebelum dipindahkan ke blok yang lain.

Ramai yang tanya aku ini cerita benar ke? Yer, memang ini cerita benar daripada aku. Cerita tahun 2023 di mana tahun aku terkurung di’tirai besi’.

Memang benar aku serah diri sebab aku tau aku bersalah. Jadi aku tak nak susahkan sesiapa jadi aku serah diri. Aku baik? Kalau dah masuk ‘tirai besi’ takde baiknya. Yang rapat dengan aku je tahu aku macam mana.

Ada hal-hal yang aku tak boleh kongsikan untuk aku ceritakan atas sebab-sebab tertentu. Ada pula yang cakap macam cerita korea tu. Ala cerita ‘Prison Playbook’, cerita kisah penjara korea tu. Tak kisah la. Yang penting apa yang aku rasa ketika berada di dalam.

Pasal solat pula, nak buat macam mana. Dah sehelai jer baju yang ada. Kita kira darurat la. Banyak sebenarnya aku nak cerita ni. Cerita puasa dan raya lagilah tersentuh perasaan. Bayangkan puasa dan raya di ‘tirai besi’ dan jauh dari keluarga.

Nanti aku sambung lagi yer. Macam-macam hal yang berlaku disini. Bye. Salam Ramadhan. Assalamualaikum.

– Akira (bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

4 Comments

  1. Cerita kenapa macam nak cepat habis je…kasi fit kan sikit la pengisian dia…macam tak seram je…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *