Assalamualaikum semua.. Terlebih dahulu saya mohon maaf kalau confession saya ni membosankan awak semua. Pertama kali saya confess dekat sini (biasa jadi pembaca setia saja.. hihihi).
Saya kenalkan diri saya sebagai seorang isteri dan ibu. Mempunyai seorang bayi yang berumur 5 bulan dan suri rumahtangga.
Coretan ini adalah sekadar luahan hati saya. Harap awak semua boleh memberikan komen yang positif untuk saya terus kekal positif dalam kehidupan saya yang tengah diuji dengan macam-macam masalah.
Saya berkahwin dengan suami yang jauh lebih muda dari saya. Ye, tak dinafikan dia baik, setia dan penyayang.
Cuma apa yang menjadi masalah bagi saya, dia seolah-olah tidak memahami saya dan kadang-kadang terlihat seolah-olah tiada perasaan empaty dalam diri dia.
Saya boleh nampak jelas lagi bila time kami berselisih faham, dia akan menunjukkan sikap dia yang tak peduli langsung pasal saya dan anak.
Saya tak berapa kisah kalau dia tak pedulikan saya. Cuma apa yang membuatkan saya terkilan dan sedih, bila melibatkan anak.
Boleh dikatakan dari celik mata sampaikan anak tidur, semua saya uruskan sendiri. Walaupun dalam keadaan sakit(saya bersalin ceaser).
Jangan tanya saya kenapa tak berbincang tentang perkara ini dengan suami. Sebelum ni kami dah berbincang berkali-kali. Tapi tetap benda yang sama terjadi.
Hati saya cukup terasa bila pandang muka anak yang masih tak tahu apa-apa. Saya tertekan.
Lebih-lebih lagi dengan suasana rumah dan persekitaran yang sangat-sangat tidak selesa. Kami hidup dalam keadaan yang sangat sederhana.
Tapi saya tak kisah semua tu. Walaupun sebelum berkahwin, saya seorang yang kuat bekerja dan suka berjalan ke sana sini.
Bila kahwin, dia tak izinkan saya bekerja. Hidup saya seharian hanya berkurung di rumah. Tanpa ada tv. Hanya ada handphone dan anak yang menemani.
Hampir setahun lebih saya tiada peluang untuk rehatkan minda dengan berjalan-jalan ke apa semua.
Boleh faham tak macam mana tertekannya emosi saya. Saya cuba sabarkan hati demi bertahan dalam hidup serba kekurangan ini. Tapi, emosi dan hati saya diuji lagi dengan sikap dia yang ego.
Pernah sekali saya diserang migrain dan saya minta dia tolong tidurkan anak selepas saya susukan anak.
Ujung-ujung.. dia panggil saya untuk tidurkan anak balik. Alasan dia anak tak nak tidur. Ya Allah, sedih sangat saya time tu. Sekali saja saya mintak tolong sebab kepala sakit. Dan dia tak usahakan untuk tidurkan anak.
Sepanjang bersalinkan anak, tak pernah saya ganggu dia tidur untuk bancuh susu anak. Cuma sekali tu saja saya minta tolong dia sebab kepala sakit sangat.
Ye saya faham dia penat kerja. Tapi kenapa dia tak nak faham yang saya pun penat.
Boleh dikatakan setiap hari, saya kena tunggu dia balik kerja baru la time tu saya kena masak. Dalam keadaan terkejar-kejar. Sebab dia akan beli lauk untuk masak bila dia balik kerja.
Kuali periuk kat dapur saya yang kena cuci dan kemas balik bila dapur berselerak. Dia akan buat bila saya suruh. Itupun kadang-kadang ambil masa.
Saya penat. Penat sangat. Kadang saya menangis bila pandang muka anak yang tercari-cari ayah dia untuk bermain.
Banyak lagi yang ingin saya luahkan. Tapi tak terluah. Saya tak tahu nak luahkan macam mana. Cukup saya luahkan yang ni dulu.MHanya untuk melegakan otak saya yang berserabut.
Saya rasa seolah-olah dia melepaskan tanggungjawab dalam menjaga anak ke atas bahu saya seorang. Saya sakit pinggang ke, tetap saya kena riba anak. Dia? Hurmm.. dia akan amik anak bila disuruh.
Entahlah.. saya tak tahu apa tindakan saya patut buat. Nak luahkan kat dia, saya yang akan ditunding balik.
Kadang-kadang terfikir lebih baik untuk saya hidup sendiri dengan anak-anak. Daripada melihat anak menjadi mangsa bila ibu dan bapa dia bergaduh.
Mungkin masalah saya tak sebesar masalah mereka yang lain. Tapi masalah yang kecil kalau dibiarkan, bakal menjadi masalah besar.
Saya minta maaf kalau cerita saya berterabur atau tergantung. Cukup mengambarkan betapa celarunya emosi saya. Saya harap pembaca semua jangan kecam saya. Saat ini…. saya rapuh.
Assalamualaikum.
– Mrs. A (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit