Perkahwinan Palsu

Assalamualaikum, aku Mimi (bukan nama sebenar). Aku terpanggil untuk berkongsi kisah yang benar-benar terjadi pada aku.

Kisah ini bermula pada awal perkahwinan kami pada tahun 2019.

Mula-mula kahwin, biasalah, aku mengharapkan kebahagiaan sama seperti pasangan lain… tapi rumah tangga yang aku harapkan indah cumalah khayalan belaka.

Sebelum itu, aku kongsikan sedikit tentang diri aku. Aku cuma pemegang diploma, tapi rezeki aku baik dengan kerja yang baik sebagai executive advisor di salah sebuah syarikat antarabangsa.

Gaji aku lebih besar daripada suami, dan boleh dikatakan dalam perkahwinan ini, segalanya aku yang tanggung—baik dari bil-bil rumah, kereta, makanan, keperluan harian, perabot—senang cerita, gaji suami aku langsung tak terusik.

Suami pun baik, sayang aku. Yalah, sebab aku tak susahkan dia pun, malah aku banyak bantu dia. Bukan itu sahaja, keluarga mertua pun aku selalu tolong, sampai ibu kandung sendiri diabaikan. Punyalah taat dan sayang aku kepada suami waktu itu.

Rezeki aku semakin murah bila Allah kurniakan aku seorang anak selepas sebulan berkahwin.

Maka bermulalah kisah hitam aku…

Sejurus aku melahirkan anak, aku dikejutkan dengan berita bahawa anak aku dalam keadaan kritikal disebabkan jangkitan kuman.

Aku berpisah dengan anak selama sebulan, dan waktu itu aku meroyan—tak boleh kawal perasaan sedih, namun aku ingat apa yang terjadi di sekeliling.

Benda yang aku takkan lupa masa itu ialah bila bapa mertua sendiri cuba buat perkara tidak baik kepada aku.

Dia cuba buka baju aku, tapi aku sempat tepis. Beberapa kali dia cuba mendekati aku. Walaupun aku meroyan, aku tetap ingat dan nampak dengan jelas apa yang berlaku.

Bukan itu saja, suami pula ambil kad bank aku dan keluarkan duit aku. Habis duit gaji aku dia gunakan…

Aku berubat secara tradisional dan juga berjumpa doktor. Aku berusaha untuk sembuh. Selama empat tahun aku merana anxiety stage 4.

Orang tengok aku luaran nampak okay, tapi otak aku melayang entah ke mana.

Disebabkan tekanan dalam rumah tangga, anak aku pun terbiar. Selalu aku biarkan anak tidur di rumah mertua. Aku berharap mereka jaga anak aku dengan baik, tapi tak juga…

Sebaliknya, mereka menghasut anak aku supaya benci aku.

“No umi!!”

Itulah ucapan yang selalu anak aku lemparkan kepada aku…

Bayangkan bertubi-tubi mental aku didera…

Ramai yang sarankan aku untuk berubat secara alternatif. Jadi, bila beberapa orang ustaz merawat aku, akhirnya semuanya terjawab. Rupanya selama ini aku terkena sihir penunduk dan pemisah.

Sihir pemisah itu aku dapat daripada bekas isteri suami aku. Aku berkahwin dengan seorang duda tanpa anak. Manakala sihir penunduk itu datangnya daripada ayah mertua sendiri…

Patutlah suami macam acuh tak acuh walaupun kononnya mulut kata sayang… Keluarga mertua pula senang saja minta duit, dan aku pun mudah saja bagi.

Kesulitan ini akhirnya terurai atas doa mak dan bantuan pakcik aku. Memang selama aku sakit, aku kerap kali nampak bayang-bayang hitam, mimpi terjun bangunan, cicak bising…

Pernah juga sampai tikus mati di dapur rumah, dan macam-macam benda mistik lagi yang terjadi.

Aku berubat, berdoa, dan alhamdulillah aku sembuh. Aku ambil masa dua tahun untuk benar-benar pulih.

Disebabkan aku selalu ambil MC untuk berubat dan jumpa doktor, aku ambil keputusan untuk resign sebab matlamat aku nak sembuh dari penyakit ini.

Masa aku nak resign, memang aku dapat halangan daripada mertua. Biasalah, sebab nanti anak mereka tak dijaga dan mereka tak dapat duit dari aku… Lepas aku resign, masing-masing tunjuk perangai sebenar.

Kalau dulu masa aku bekerja, layanan ibu mertua memang baik, tapi lepas aku berhenti kerja, nak tengok muka aku pun dia tak sudi.

Tapi tak apa, aku sabar. Aku resign sebab nak sembuh, nak jaga anak, dan nak sambung belajar.

Sekarang aku sedar bahawa selama ini, suami cuma pura-pura baik dengan aku. Sejak aku tak mampu tolong dia lagi, dia selalu tak balik rumah. Bukan itu sahaja, malah pernah beberapa kali dia naik tangan dekat aku…

Hati aku sakit sangat. Pengorbanan aku selama ini cuma sia-sia. Aku memang bodoh…

Tapi sekarang aku tekad untuk bangun semula. Lepas aku habis belajar, aku akan bekerja semula. Kini, yang ada untuk aku cuma kekuatan bersama mak, abah, dan anak aku.

Untuk wanita-wanita di luar sana…

Sayang macam mana pun kita kepada suami, tolonglah simpan untuk diri sendiri juga.

Jangan jadi macam aku—bodoh dan tak nampak bahawa rupa-rupanya kebaikan suami dan mertua terhadap aku bersebab. Sebab aku bekerjaya. Tapi bila aku susah dan tak bekerja, semua buang aku macam sampah.

Tolong doakan aku supaya aku dapat bangkit semula…

Oh ya, sebelum itu, cuma nak kongsi bahawa penyakit anxiety dan sihir aku sudah sepenuhnya sembuh. Cuma sekarang aku menunggu untuk habis belajar dan kelahiran anak kedua.

Buat masa sekarang, aku dan suami masih bersama, cuma aku lebih banyak tinggal di rumah mak dan abah. Mujur mereka masih ada untuk aku.

Perkahwinan ini cumalah palsu. Namun, aku yakin pasti ada hikmah tersembunyi.

Doakan aku untuk terus sabar dan kuat sepanjang tempoh aku sambung belajar. Aku sudah nampak ke mana arah tuju hidup baru aku.

Semoga ada sinar bahagia buat aku dan anak-anak.

– Yang ikhlas,

Hati yang terluka,

– Mimi (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

2 Comments

  1. penat baca sebab last sekali mengandung anak kedua pula dah . masih dengan suami yang sama. hmmmmmmm

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *