Aku Kembali Menutup Aurat

Assalamualaikum semua. Terima kasih kepada kalian yang sudi baca coretanku. Sahaja aku ingin berkongsi pengalaman hidup.

Sejak kebelakangan ini kita disajikan dengan bermacam jenis berita sensasi. Kisah curang, kisah orang mabuk, bersosial berzina, pembunuhan..

Dan paling terkini sekali bila ramai wanita yang berhijab kembali tanggalkan hijab mereka demi meraih populariti dan mengejar dunia semata.

Allahu rabbi. Semoga Allah pelihara hati kita dari bolak balik.

Ini pula tentangku. Aku bersyukur dikurniakan ibu ayah yang mendidik agama sejak kecil.

Aku dihantar ke tadika Islam sejak aku 5 tahun dan semasa aku sekolah rendah juga aku diajar untuk memakai tudung.

Ibu dan ayahku sangat tegas orangnya. Mereka memang tak galakkan aku bersosial dan ada telefon bimbit seperti orang lain.

Sehinggalah umur aku masuk alam remaja iaitu ketika aku di bangku sekolah menengah.

Waktu ini setiap kali hujung minggu aku dihantar oleh ibuku ke pusat tuisyen untuk penambah baik pembelajaranku.

Aku ni bila pakai tudung lagi nampak lurus dan comot tu (aku rasa begitu).

Jadi bila aku tuisyen di luar aku rasa macam baru keluar dari gua sebab selama ini aku pergi sekolah balik sekolah tanpa singgah di mana-mana.

Memang ibu ayahku jaga pergerakan aku agar tidak melebihi batas.

Melihatkan bermacam ragam dan pakaian rakan-rakan tusyenku, aku rasa aku sedikit terkena kejutan budaya tu. Mereka lebih bergaya dari aku yang nampak polos saja.

Tiba-tiba aku ternampak seorang perempuan free hair menunggu seseorang untuk balik.

Waktu itu dia menegurku tanya nama dan tempat tinggalku. Kami borak macam dah lama kenal sebab dia seorang yang peramah dan aku suka melihatnya kerana terlalu cantik.

Walhal di sekolah ada saja yang menguratku, tapi bila aku ke dunia luar aku rasa lebih ramai orang cantik dariku berbanding aku yang nampak sangat innocent/ kebudakan ni.

Bila aku lihat perempuan tu aku rasa macam terpukau pula. Dengan dressup nya dengan rambutnya memang betul buat aku terpukau yang mana aku rasa macam nak jadi seperti dia.

Akhirnya kami menjadi kawan rapat. Dia tak pernah hasut aku buka tudung tapi sebab aku obses nak jadi macam dia, dia yang membuatkan pemakaian aku berubah.

Betullah kita memang perlu pilih rakan sebaya yang sihat, kadang circle yang positif boleh jadikan kita positif tapi kalau kita memang iman kuat, apa saja godaan syaitan pun pasti kita boleh lawan.

Maka sehinggalah satu hari itu aku pun berniat nak cabut tudung yang menjadi mahkota aku ketika itu.

Aku berubah 360′ darjah di mana aku betul-betul free hair, pakaian pun macam tak cukup kain.

Ibu dan ayah aku ada saja menegurku suruh pakai tudung semula tapi aku beritahu aku nak cuba dulu dan aku katakan lama kelamaan aku akan pakai tudung semula.

Dengan gayaku yang berubah teruk tu aku berkenalan dengan seseorang. Aku bercinta dengan dia tapi aku rasa tak tenang sangat.

Ada ke patut dia cakap dia lagi suka aku tak bertudung maka aku pun tinggalkan dia. (Sekarang aku pun dah berkahwin dengan seorang suami yang insyaAllah soleh orangnya).

Entah mengapa aku rasa macam aku nak pakai tudung semula. Hati aku dijentik oleh Allah semula untuk berubah menjadi lebih baik.

Aku mula cari circle positif di mana aku berkawan dengan rakan yang bertudung labuh. Aku tanya macam-macam pandangan daripada mereka bagaimana mereka kekalkan imej sebegitu.

Dan akhirnya berkat doa ibu ayahku, berkat juga aku mencari semula hidayah itu aku akhirnya menutup auratku malah lebih sempurna dari sebelumnya.

Aku memakai tudung labuh, memakai handsocks, lebih menjaga solat dan cuba isi masa lapangku dengan membaca Al-Quran.

Benarlah bak di kata, untuk menjadi lebih baik, banyakkan bergaul dengan orang yang positif, yang boleh bimbing kita mengejar cinta Allah..

Tapi dalam masa yang sama kita juga kena banyak beramal soleh agar iman yang senipis kulit bawang ni masih lagi bertahan untuk tidak melanggar laranganNya.

Alhamdulillah aku sangatlah bersyukur Allah memilihku untuk berubah menjaga aurat dan aku harap aku dapat kekalkan imej yang menenangkan ini sehingga aku menutup mata menuju Ilahi.

Malah aku sering saja berdoa agar hati tidak berbolak balik dan tetap istiqamah. Ada saja yang bertanyaku apa tips untuk berhijrah?

Tiada tips sangat cuma perbaiki solat, jangan berhenti berdoa diberikan istiqamah dalam ibadah, lazimi istighfar, selawat, baca Quran, banyakkan sedekah dan rajinkan diri ikuti ceramah agama di mana-mana tempat mahupun di youtube.

Paling penting tetaplah rendah diri walaupun disekeliling kita ada manusia yang tidak sempurna auratnya, yang masih ada cacat celanya.

Aku masih berkawan dengan kawan-kawan yang bertudung dan pakaian biasa-biasa saja. Aku tidak terlalu memilih kawan dan tidak terlalu menghukum kerana kita tidak tahu pengakhiran seseorang.

Aku juga tidaklah terlalu sempurna tetap berjuang untuk kekalkan kebaikan sehingga akhir nafasku.

Ingatlah, Allah tidak pandang pada permulaan tapi pada pengakhiran dan “Tangisan seorang pendosa lebih Allah cintai daripada tasbihnya seorang yang sombong. ”

Dalam dunia ni kita akan diuji dengan ujian yang berbeza-beza tahapnya. Walaupun aku jaga aurat, tetap juga ada ujian lain. Tapi awas jika ujian itu menjauhkan kita dari Allah itu adalah istidraj.

Akhir sekali, buatlah apa yang Allah suka untuk dapatkan apa yang kita suka kerana dia Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat pada kalian. Terima kasih. Semoga Allah redha dunia akhirat.

– Khimar (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *