Al-Quran Makanan Hati

Bismillah dan assalamualaikum semua pembaca IIUM Confession. Tertarik dengan bacaan mengenai seorang cucu yang bertanyakan atuknya tentang kenapa atuknya membaca al-quran setiap hari. Melihat atuknya sering membaca al-quran, si cucu mengikutinya tetapi tetap tidak faham apa yang dibacanya. Si cucu bertanya atuknya mengenai perkara tersebut. Dipendekkan cerita, atuknya meminta cucunya untuk mengisi air yang perlu diambil dari sungai ke dalam guni arang. Setelah berkali-kali mencuba, air di dalam guni tersebut tetap tidak dapat ditadah sejurus cucunya sampai di rumah.

Atuknya meminta cucunya melihat perbezaan guni tersebut sebelum dan selepas diisi air walaupun air tersebut telah bocor dari guni berkenaan. Si cucu berkata bahawa guni itu lebih bersih dari sebelumnya. Apa yang atuk ingin sampaikan ialah guni itu umpama hati kita dan air itu umpama al-quran. Hati yang kotor juga bila seringkali dijamu dengan bacaan al-quran, in sha allah pasti akan bersih walaupun kita tidak memahaminya apabila membaca.

Cerita di atas ini sama seperti kisah hidupku. Sebelum berkahwin, aku jarang membaca al-quran. Masa kecik dulu, pergi mengaji sekadar tuntutan ibu bapaku. Setelah habis belajar mengaji, al-quran di rumah mula berhabuk dan tidak bersentuh lagi. Alhamdulillah, aku bersyukur diketemukan dengan suami yang sentiasa membimbingku. Suamiku seorang yang selalu mengaji. Di awal perkahwinan, aku masih seperti dulu, tetap ego untuk turut sama mengaji dan sekadar melihat suamiku mengaji sahaja. Dari hari ke hari melihat suamiku sering mengaji, hatiku mula terdetik untuk mengaji bersama tetapi godaan syaitan mula menjelma.

Bermacam perkara bermain di benak fikiran termasuk tidak yakin untuk membaca al-quran, ilmu membaca al-quran telah lama aku tinggalkan, tak ingat hukum tajwid, tak faham apa yang dibaca dan banyak lagi. Tetapi, melihat suami yang tak pernah tinggal al-quran, hatiku tiba-tiba berasa cemburu dan ingin juga menjadi sepertinya. Aku menyatakan hasrat untuk meminta suamiku mengajar dan meneliti bacaan al-quranku dan semestinya dia sangat terbuka dan berlapang dada mengenai permintaanku itu.

Alhamdulillah, semakin lama ku sudah mula boleh membaca al-quran dengan sendirinya. Sebenarnya sebelum ini, suamiku sudah banyak kali menasihatiku untuk membaca al-quran tetapi nasihat suamiku umpama angin lalu. Masih ku ingat kata-kata suamiku. Hari-hari awak makan. Tetapi apa makanan hati yang awak bagi? Awak sering mengeluh hati tidak tenang.. Tidak tenteram..Tetapi apa makanan hati yang awak bagi?

Mendengar pertanyaan suami yang bertalu-talu di atas. Aku terdiam dan mula munasabah diri. Dari mula membaca sebulan sekali, aku jadikan seminggu sekali, Kemudian aku kerapkan lagi bacaan sehinggalah setiap hari aku akan pastikan untuk punya masa membaca kalam Allah ini. Dari setiap hari aku upgradekan lagi menjadi setiap selepas waktu solat. Dan hasilnya.. Masyaallah. Aku telah ketemui makanan buat hatiku. Hatiku yang dulunya sering berasa tidak tenang dan tenteram telah mula rasa tenang.

Benarlah jika aku dengar orang cakap tidak semua ketenangan dan kebahagiaan datangnya dari wang ringgit kerana setelah mengamalkan membaca Al-quran dalam kehidupan seharianku, sukar untuk aku gambarkan sebuah perasaan indah yang Allah bagi. Alhamdulillah. Tahap kebahagiaan dapat membaca Al-Quran ni walaupun aku dalam tempoh uzur (haid), aku mula rasa rindu dan tak sabar untuk menghabiskan tempoh uzurku supaya aku dapat membacanya seperti biasa. Alhamdulillah, aku juga sekarang dalam proses menghafal surah yassin. In sha allah, selepas dapat menghafal surah yassin dengan lancarnya, aku berhasrat untuk menghafal surah al-Mulk pula. Mohon doakan aku ya!

Aku nak kongsi sikit tip untuk kita sama-sama perbaiki kehidupan kita supaya menjadi lebih baik. Sebelum ni, aku juga pernah terleka dan terlalai dengan nikmat dunia. Apa pun yang kita lakukan dan siapa pun kita, apa yang penting, niat untuk berubah menjadi lebih baik perlu ada dalam diri. Kerana setiap perkara memang akan bermula dengan ‘nawaitu’. In shaa Allah nawaitu yang baik Allah akan susulkan dengan pertolongan dan permudah serta hadirkan orang-orang yang baik dalam kehidupan kita. Sentiasa berdoa dan terus berdoa. Kemudian, jangan lakukan perubahan yang drastik. Biar perubahan itu mengambil masa tetapi ianya kekal dan istiqomah.

Dulu aku seorang yang tidak menutup aurat sepenuhnya. Aku bertudung tetapi tidak mengikut syarak iaitu bertudung singkat. Kemudian, aku mula bertudung menutupi bahagian dada dan sekarang telah memakai tudung bidang besar. Godaan syaitan sentiasa ada termasuk disogok dengan pertanyaan tentang bagaimana dengan pakaian dan tudung yang banyak dan masih elok. Kita harus tekad untuk berubah. Apa yang aku buat. Aku mula sedekahkan tudung-tudung singkatku dan bajuku kepada anak saudaraku dan golongan asnaf. Begitu juga soal berpakaian, dari selesa memakai pakaian yang agak singkat, aku mula labuhkan bajuku.

Longgarkan baju dan seluarku. Alhamdulillah, sekarang aku juga dalam proses memakai stoking kerana kaki seorang wanita juga merupakan aurat baginya, in sha allah akan cuba susuli untuk pakai hand sock plak supaya auratku lebih terjaga. Mohon doakan aku lagi ya. Niat untuk berubah jadi baik jangan sesekali padamkan dan sentiasalah mencari jalan untuk keluar dari terus hidup dalam keadaan yang tidak baik ke arah yang lebih baik. Cabaran dan godaan sentiasa ada termasuk ejekan dari kawan-kawan. Berdoalah dan berdoalah. Kerana Allah kan ada.

Moga kawan-kawan yang mengejek kita juga diberi hidayah untuk menjadi lebih baik. Doakan mereka juga. Jangan putus berdoa untuk terus istiqomah dan hadirkan orang yang baik-baik di sekeliling kita. Macam aku, Alhamdulillah Allah makbulkan dan hadirkan seorang suami yang sentiasa membimbingku ke jalanNYA. Kawan-kawan yang baik. Cari sahabat-sahabat yang baik supaya kita dapat berubah menjadi insan yang lebih baik. ”Kawan pendamping yang baik ibarat seperti penjual minyak wangi. Jika minyak wangi itu tidak mengenaimu, kamu tetap dapat mencium keharumannya. Sedangkan kawan pendamping yang buruk umpama seperti tukang pandai besi, jika kamu tidak terkena arangnya (percikannya), maka kamu akan terkena asapnya (HR Bukhari). Korang pun doa k sebab nak istiqomah tu bukan mudah tapi tak mustahil!

Mengenai perihal solat pula, dulu solatku carca merba. Kadang solat kadang tidak. Tetapi jujur ku katakan, niat untuk menjadi insan lebih baik tak pernah hilang dari diriku. Kadang-kadang bila aku lihat orang sibuk ke masjid untuk mendengar ceramah, hatiku dilanda cemburu. Mendengar kisah-kisah orang yang mati syahid dan khusnul qatimah, hatiku berganda cemburu. Aku pernah dengar seorang ustad berkata, untuk menjadi baik kita kena paksa diri kita. Jadi apa aku buat, aku paksa diri aku solat. Aku sering ingatkan solat itu perkara WAJIB.

Bila wajib, nak tak nak, kena buat. No compromise! Tak buat dosa buat dapat pahala dan ganjaran syurga. Aku siap buat checklist waktu solatku. Dulu banyak pangkah tanda merah terutama solat subuh jadi apa yang aku buat, cuba perbaiki untuk paksa diri solat subuh. Alhamdulillah, solat aku juga mula terjaga dan masyaallah, hasil dan nikmatnya memang ‘bombastic’. Moga Allah menerima amal ibadahku untuk dijadikan bekalan dan peneman aku di alam kubur nanti. Amin.

Lastly aku nak pesan, apa pun niat kita. Cari jalan untuk mula kerana setiap perjalanan bermula dengan langkah yang pertama. Jadi aturkan langkah pertama itu, in shaallah pasti akan disusuli langkah-langkah yang baik seterusnya. Amin. In shaa Allah. Jika sudah lama tinggalkan makanan hati kita, ambil atau curilah masa untuk tatap dulu Al-quran itu. Kemudian bukalah Al-quran itu dan bacalah walau satu ayat. Walaupun pada permulaan hanya satu ayat, mulakanlah! Janganlah ditangguh dan ditunda.

Barangsiapa mencari ilmu, Allah akan mempermudahkan jalannya menuju ke syurga. Ya, syurga Allah itu MAHAL tetapi MISKIN tetap mampu memiliknya kerana harganya bukan pada harta tetapi pada taqwa. Moga kita semua beri makanan buat hati kita, beroleh Hidayah dariNYA dan sempat membuat persediaan untuk menghadap perkara yang pasti iaitu MATI dan AKHIRAT.

Yang sentiasa mengharapkan redhaMU,

– HH @ I.A

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *