Assalamualaikum. Nama saya S (bukan nama sebenar). Tujuan saya menulis di ruangan ini sekadar untuk berkongsi rasa dan cerita. Saya seorang balu dan berumur 29 tahun. Arwah suami saya telah meninggal dunia pada awal tahun yang lalu. Arwah seorang lelaki yang berumur awal 40 an.
Tempoh perkahwinan kami hanya 9 bulan sahaja. Kami masih dalam tempoh mengenal hati budi masing-masing. Perkenalan kami pun sangat singkat, hanya 3 bulan dan terus mengambil keputusan untuk kahwin. Alhamdulillah, keputusan kami untuk berkahwin direstui oleh kedua belah keluarga.
Keluarga saya juga terima arwah dengan hati terbuka, walaupun umur arwah jauh berbeza dengan saya. Arwah juga mempunyai seorang anak perempuan yang berumur 4 tahun. Selepas kahwin, saya menjalani hidup baru sebagai isteri dan ibu, saya juga telah berhenti kerja atas permintaan suami.
Ini kerana suami ingin kan saya jadi suri rumah dan masak untuk nya. Saya menurut permintaan suami dan meneruskan hidup baru dengan bahagia dan gembira. Namun semua telah ditetapkan oleh Allah S. W. T. Jodoh kami tidak panjang, arwah kena serangan strok.
Selepas arwah meninggal, adik beradik arwah mengambil keputusan untuk menjaga anak arwah. Ini kerana anak arwah sudah kehilangan ibu kandung nya ketika dia berumur 2 tahun. Anak ini terlalu rapat dengan saya, dia hanya mengenali saya sebagai ibu nya. Apabila adik beradik arwah membuat keputusan untuk menjaga anak ini, saya terpaksa akur kerana saya tiada kerja tetap. Sedangkan anak telah sekolah dan memerlukan duit untuk biayai sekolah.
Selama dua bulan, anak tersebut dijaga oleh kakak arwah. Pada mula nya, anak ini menjalani kehidupan baru seperti biasa dan dia sangat gembira tinggal dengan makcik nya. Saya selalu berhubung dengan anak melalui whatsapp video call. Setiap kali video call, anak selalu bertanya soalan yang meruntun jiwa seperti, kenapa dia mesti tinggal dengan makcik? Bila saya nak datang jumpa dia? Adakah saya masih sayang kan dia?
Hari-hari saya terlalu sepi tanpa anak. Saya ingat kan anak saya happy dan gembira tinggal dengan makcik nya. Saya selalu tengok video dan gambar nya ceria di sisi keluarga makcik nya. Padahal saya salah, kakak ipar saya telah maklumkan kepada saya bahawa anak saya demam. Selalu menangis waktu malam dan selalu bertanyakan saya. Allahuakbar, meruntun hati saya.
Kakak ipar saya tanya pendapat saya, adakah saya sanggup menjaga anak jika dia kembalikan ank kepada saya. Saya memang sanggup jaga anak, kerana saya sayangkan nya bagai anak kandung sendiri. Kakak ipar nasihatkan saya, supaya saya fikir masak-masak dan fikir untuk masa depan saya juga. Kerana saya masih muda dan suatu hari nanti ingin kan keluarga sendiri.
Demi anak ini… saya ketepikan tentang diri saya. Saya hanya fikir nak jaga anak ini, nak bina hidup baru dan cari kerja. Jika nanti, akan ada jodoh yang ditetapkan untuk saya, saya harap insan tersebut sudi terima anak saya seikhlas hati. Ini anugerah dan kiriman Allah untuk saya. Saya akan jaga anak yatim piatu ini seperti anak kandung saya. InsyaaAllah.
Doakan saya terus kuat untuk menghadapi ujian dan rintangan hidup ini. Semoga saya boleh jaga dan sayang amanah yang Allah berikan kepada saya… Aamiinn
– Puan S
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit