Andartu, Monogami, atau Poligami

Nama aku Nadia dan berumur 38 tahun dan masih belum berkahwin.

Bila seorang wanita yang sudah menghampiri umur 40-an yang belum berkahwin pasti orang akan menuduh terlalu memilih atau pelbagai lagi.

Tapi orang di sekeliling tidak tahu dan memahami bermacam-macam dugaan yang telah ku lalui dalam urusan pencarian jodoh.

Aku mula serius memikirkan soal ingin berumahtangga kerika berusia 25 tahun iaitu ketika mula-mula mendapat pekerjaan tetap. Aku bercinta dengan rakan sepejabat yang umurnya muda 2 tahun dari aku.

Tetapi hubungan kami tidak lama apabila dia bertukar tempat kerja dan lama kelamaan dia mula tidak menghubungi aku. Rupanya keluarganya telah menjodohkan dia dengan seseorang yang bekerja kerajaan.

Akibat kecewa aku pun juga turut bertukar tempat kerja dan mula bekerja di syarikat A.

Setelah setahun bekerja di syarikat A aku mula merasakan yang bos aku En.A yang sudah berkahwin ada menaruh perasaan terhadap aku.

Sangkaan aku betul apabila En.A mula melayan aku lebih dari seorang pekerja dan aku yang tanpa rasa bersalah juga turut membalas cinta En.A.

Walaupun aku tahu adalah salah mempunyai hubungan dengan suami orang tetapi aku tetap berdegil mungkin kerana aku sedang kesunyian.

Hubungan aku dengan En A hanya bertahan selama enam bulan kerana tiba-tiba En A mengatakan dia tidak dapat meneruskan hubungan kami walaupun dia telah berjanji untuk berkahwin dengan aku.

Dia memberi alasan yang dia rasa bersalah apabila memikirkan tentang anak-anaknya apabila hubungan kami diketahui oleh isterinya.

Selepas hubungan aku dengan En.A putus tetapi kami masih berhubungan baik atas dasar kerja, syarikat A mula mengalami masalah dan terpaksa ditutup operasinya.

En. A yang masih mengambil berat tentang hal aku, meminta aku untuk bekerja dengan kawannya En.B.

Setelah dua tahun bekerja dengan En.B, tiba-tiba satu hari aku mendapat tahu yang En.B rupanya beristeri dua dan dia bernikah di Thailand tanpa pengetahuan isteri pertama.

Aku mengetahui perkara ini disebabkan dia tersalah memberikan fail yang mengandungi dokumen untuk En.B mendaftar perkahwinannya di Malaysia kerana isteri keduanya bakal melahirkan anak mereka.

En.B meminta aku merahsiakan perkara itu dan aku berpengalaman bercinta dengan suami orang memahami masalah yang dihadapi oleh En.B.

Bermula dari itu kami mula menjadi rapat kerana aku menjadi tempat En.B meluahkan masalah tentang perkahwinan keduanya yang katnya mula merasa tidak serasi dengan isteri barunya kerana jarak umur mereka 25 tahun.

Aku mula turut menceritakan tentang hubungan aku yang dahulu dengan En.A kepada En.B memandangkan mereka adalah kawan.

Disebabkan dari itu En.B mula mengetahui yang aku yang sejenis tidak kisah bercinta dengan suami orang.

Maka bermulalah usaha En.B untuk memikat aku atas alasan dia mula tidak serasi dengan isteri barunya.

Aku yang pada mulanya menolak lama-lama turut jatuh cinta dengan En.B. Kami bercinta secara senyap-senyap selama 3 tahun tetapi sering menjadikan alasan kerja untuk keluar dating.

Tetapi baru-baru ini En.B dengan secara baik ingin melepaskan aku kerana dia mengatakan agak sukar untuk berkahwin dengan aku sebagai isteri ketiga memandangkan PKP dan sempadan Thailand tidak dibuka.

En.B tidak mahu mempunyai hubungan dengan aku terlalu lama tanpa ikatan yang sah.

Perkara yang masih aku buntu sampai sekarang adalah apabila En.B mengatakan ada kawannya, En.C (aku juga mengenali En.C) ingin menjodohkan aku dengan adiknya.

Aku masih sayang En.B dan En.B juga masih menyayangi aku tetapi dia tidak memberi jaminan sejauh mana hubungan kami.

Perlukah aku terus menjadi seorang andartu disebabkan sering kecewa dalam cinta atau menerima lamaran dari adik En.C yang aku tidak pernah kenal walaupun namanya ataupun terus menunggu dan mengharap kebahagian bersama En.B ?

– Nadia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit