Assalamualaikum, pertama sekali saya ucapkan terima kasih andai tersiar. Saya amat memerlukan pendapat para pembaca dalam isu saya.
Isu saya adalah berkenaan anak angkat.
Saya dihubungi oleh sahabat lama yang kini mengalami kesusahan. Telah bercerai dan tidak memiliki pekerjaan. Dan dia memiliki tiga orang anak.
Saya sendiri memiliki dua orang anak. Memandangkan dia dalam kesusahan, jadi dia meminta saya untuk menjaga anak anak dia buat sementara waktu.
Setelah meminta izin suami, kami bersetuju untuk menjaga anak anaknya buat sementara waktu. Anak anak tersebut berusia 8 tahun, 6 tahun dan 5 tahun.
Kami menjaga anak anak itu umpama anak sendiri. Apa yang kami makan, itulah yang mereka makan dan boleh dikatakan agak mewah. Begitu juga soal pakaian dan mainan. Kiranya apa yang anak anak saya ada, mereka juga ada.
Minggu pertama semuanya baik baik sahaja. Mungkin kerana mereka belum terbiasa dengan kami. Tapi masalah mula wujud bila mereka mula ‘adapt’ dengan kami. Ternyata anak anak bertiga ni agak nakal dan lasak.
Perabot rumah saya usah di kata la, ada yang sampai patah, dinding rumah berconteng, berebut barang mainan ank ank saya walaupun mereka dah di belikan brg masing masing.
Alhamdulillah anak anak saya di besarkan dengan disiplin dan saya memang agak garang, merotan anak itu biasa tapi Alhamdulillah tidak kerap kerana anak anak saya cepat serik.
Tapi kenakalan anak anak bertiga sahabat saya ni, saya tak berani nak pukul atau rotan sebab bukan anak saya. Risau pula kalau tiba tiba mak mereka report dera atau apa. Tapi saya jadi amat tertekan. Anak anak saya sendiri mula mengadu sebab saya asyik marah je.
Anak anak kawan saya susah bangun pagi, saya jerit pun tak jalan. Hanya bila suami saya masuk campur, menjerit juga baru lah mereka nak bangun. Itu pun selimut tak lipat, katil biar berselerak. Hanya bila di marah lagi baru bergerak nak buat semua tu.
Yang buat saya sedih, saya ni umpama orang gaji mereka dah. Pagi pagi lagi bila celik terus minta makanan. Sedangkan anak anak saya akan tunggu sampai saya masak atau beli apa apa. Kalau saya masak lambat, pandai lah mereka cari roti atau bijirin dengan susu.
Tapi bukan begitu keadaannya dengan anak anak bertiga, mereka agak ‘demand’. Memang akan minta nasi tiga kali sehari. Dan kalau makanan tu kena dengan selera mereka, memang dah tak fikir orang lain.
Pakaian pula berselerak. lepas mandi memang biar berterabur walau dah di sediakan pakaian. Memang saya yang basuh dan keringkan,
Tapi saya minta mereka melipat sendiri pakaian dan susun dalam almari, memandangkan anak bongsu saya yang berusia 5 tahun pun lipat sendiri.
Tak lama menjaga anak anak bertiga tu, saya persoalkan soal persekolahan anak anak tersebut. Kerana walaupun PKP, pembelajaran masih berjalan secara online.
Jawapan balas yang saya terima agak mengejutkan kerana ternyata anak anak bertiga tidak bersekolah dan dengan mudahnya sahabat saya meminta saya menyekolahkan anak anak bertiga.
Dari situ lah saya tau, ianya akan jadi lama atau mungkin seolah olah dia dah serah anak anak dia pada saya secara tak rasmi. Saya nak uruskan pun susah sebab dia tak nak bagi sebarang dokumen anak anak dia.
Konflik paling tinggi adalah ketika saya menjenguk mak saya yang tinggal hanya 20 minit perjalanan dari rumah saya.
Ayah saya telah meninggal, jadi mak saya tinggal sendiri. Saya akan menjenguk tiap hujung minggu. Mak saya seorang guru yang telah berpencen. Rumah mak saya memang penuh dengan perabot mahal.
Kisahnya ketika itu saya berada di dapur untuk memasak dan dengar mak saya bising bising, rupa rupanya adik bongsu tebuk sofa kulit mak saya dan koyakkan. Mana dia dapat gunting pun saya tak tau.
Untuk tak memanjangkan cerita, kami gantikan sofa mak saya dengan sofa baru yang harganya mencecah tujuh ribu, sama harga dengan sofa yang di rosakkan.
Kami hanya mampu marah dan membebel. Itu pun rasa macam buang masa sebab bila kami marah, adik beradik ni akan buat muka mencemik dan berpeluk tubuh.
Kalau ikutkan bisikan syaitan ni, memang rasa nak pukul je sampai puas hati. Tapi itu lah, paling teruk pun hukuman mereka adalah menghadap dinding selama beberapa minit.
Dan hal yang sama berlaku lagi beberapa minggu kemudian ketika kami menjenguk mak saya. Adik yang bongsu cakar fabrik sofa menggunakan kunci. Memang nampak jelas kesan carik.
Saya diam tak terkata. Nak ganti memang tak mampu dah. Mak saya cuma pesan, anak anak tu dari persekitaran yang berbeza dan tak mampu nak suaikan diri, jadi pulangkan sahaja lah pada mak mereka kembali.
Yang membuatkan saya buntu, saya ada menghubungi sahabat saya. Namun apa yang di beritahu adalah dia tak berkerja dan menumpang di rumah kawan kawan.
Jadi saya tak dapat teruskan hasrat nak bagitau untuk pulangkan kembali anak anak bertiga tu. Sebab saya tau dia tak boleh nak ambil pun.
Sahabat saya ni masih memiliki keluarga. Ayahnya sakit strok, maknya pula uzur. Ada kakak dan abang namun mereka tak nak jaga anak anak bertiga tu.
Jadi sekarang ni saya sangat tertekan. Keikhlasan menjaga anak anak bertiga pun hampir hilang. Saya kasihan pada mereka tapi pada masa yang sama saya sendiri rasa tak mampu dah. Bagaimana saya nak cakap pada mak mereka?
– Mama buntu (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit