Balasan atau Ujian?

Apa yang aku nak ceritakan, adalah kisah benar hidup aku, maaf andai pembaca rasa ini sebuah rekaan. Sesungguhnya, perjalanan hidup manusia tidak akan pernah kita duga.
Aku N, seorang isteri bekerjaya, ibu kepada 3 anak dan seorang isteri maksum. Ya. Itulah gelaran yg sesuai sebab dulu aku rasa aku tak buat dosa, aku tak bagi laki sentuh aku sebelum nikah, aku solat, aku puasa, aku hormat orang tua. Apa yang orang lain buat, semua salah tapi aku tak luahkan. Aku kutuk dalam hati. Tapi aku masih perasan yang aku ni baik sebab aku tak kutuk orang terang-terang pun, dalam hati je.

Aku menikah masa umur 23, dengan jejaka pilihan,tapi aku bukan pilihan utama suami aku sebab masa tu suami aku dah ada teman wanita, Seri. cantik orangnya. Berbeza dengan aku. Tapi aku tak peduli, selagi belum ada ikatan, tidak salah mencuba. Aku tahu dia begitu cintakan Seri tapi aku nak sangat memiliki dia. Aku gelarkan suami aku sebagai A. A hanya menganggap aku kawan. Dalam masa yang sama, keluarga aku tengah atur nak kahwinkan aku dengan sepupu, aku taknak. Aku buat keputusan nak ajak A datang rumah, A ok sebab dia ingat biasa-biasa je. Tapi masa tu aku kenalkan dekat keluarga aku yang A ni bakal suami aku. A terkejut, tapi sebab nak jaga air muka aku, maruah aku, dia iyakan. Dan masa tu jugak keluarga aku marah, dan diorang terus tetapkan hantaran. Aku seronok sangat sebab rancangan aku menjadi tapi itulah permulaan untuk segala cerita sedih aku. Kesan peristiwa tu, hubungan aku dengan keluarga pakcik jadi kurang baik.

Aku akui, aku belum cukup mengenali suami aku. Dengar cakap-cakap orang je tapi aku harap dia berubah lepas menikah dengan aku. Tentang Seri, aku merasakan aku menang memiliki A. Dengan takde rasa bersalah aku minta Seri lupakan suami aku. Sebelum nikah, suami sering ke utara bertemu Seri dan aku tahu tentang itu. Aku cuma anggap tu dugaan orang bertunang. Kalau difikirkan balik, aku yang cari penyakit. Biasa lah, aku kan maksum. Aku anggap tu jodoh dan ujian Allah untuk menyedapkan hati sendiri.

Maka berkahwinlah aku atas air mata Seri, tapi aku bahagia, tersenyum manis atas pelamin bersama A yang aku cinta. Namun, itulah permulaan duka yang aku cipta. A baik, memang ciri suami idaman tapi hati dia bukan untuk aku. Duit gaji aku, semua untuk aku. Semua A lengkapkan dari rumah, kereta dan belanja anak-anak. Tapi aku kan maksum. Dia kena cintakan aku sebab aku isteri dia, kalau tak, dia berdosa. Lupaa, aku dah kahwin 15 tahun. Hidup aku rasa lengkap lepas anak sulung lahir. Bahagia. Bahagia aku cuma aman 2 tahun sebelum aku dapat tau A masih berhubung dengan Seri. Bukan kasih lama bertaut kembali ye, tapi kasih yang tak pernah putus sejak dari kami menikah.

Cinta A masih untuk Seri, dan diorang ada rancang nak nikah. Tapi A sangat sayangkan aku dan anak-anak. Aku serang Seri, jangan ganggu rumahtangga aku. Bermacam makian aku cakap sebab aku rasa aku betul. Aku dicurangi. Aku teraniaya. Aniaya apa kalau aku sendiri yang cari penyakit? Tidak lama lepas kes tu, Seri berkahwin. Aku halang A pergi kenduri Seri. A ok je sebab nak jaga hati aku, tapi aku nampak seminggu jugak A jadi tak ceria, makan tak lalu. Aku peduli apa, asalkan aku tidak berkongsi. Perasaan aku lagi penting. Lama-lama, semua jadi ok macam biasa.

Setahun lepas tu, aku dapat tau A main cinta dengan orang lain. Ya. Itulah keburukan A. Kaki perempuan. Sebelum kahwin lagi, dah ada kawan-kawan yang pesan. Tak payah kahwin dengan A, tapi aku kan maksum. Aku yakin Allah terima doa aku untuk A berubah. Aku apa lagi, habis segala maki aku bagi dekat perempuan-perempuan tu. A? Rileks gitu je la dia. Aku? Nak taknak, aku kena pertahankan la sebab aku yang pilih A jadi suami. Episod ni berterusan ( ada skandel) sampai la A merangkap suami aku ni jumpa dengan Rose dekat FB, 8 tahun lepas.

Aku? Macam biasa la. Aku dicurangi, aku teraniaya, orang aniaya aku. Modus operandi aku, maki orang sampai la orang tu berundur. Back to Rose, masa tu dia student dekat IPTA. Cantik, tinggi, hidung tajam. Mana la A tak melekat. Mula-mula, aku hamunkan jugak si Rose ni, sampai la dua-dua senyap. Ingatkan habis macam tu, rupanya diorang masih berhubung. Tapi aku lambat sedar, hubungan diorang dah 6 tahun baru terbongkar. Masa tu hati aku dah jadi tak keruan, aku menangis, buat-buat pengsan, buat-buat sakit supaya A tak pedulikan Rose. Aku buat macam-macam, aku cipta akaun IG palsu guna gambar Rose, aku buat ayat-ayat jahat konon Rose yang tulis. Dalam bahasa lain, aku play victim. Aku tunjuk dekat A tapi A tak percaya, A menangkan Rose. Masa tu hati aku dah terdetik, this it is.

A memang cinta m4ti dengan Rose sampai kami pernah bercerai sebab aku tak izinkan diorang nikah and I keep stressing A. Aku ugut untuk ambil semua anak-anak. Ya, anak-anak adalah kelemahannya. A keluar rumah, bagi ruang untuk semua orang bertenang. Tapi aku tetap tak puas hati, A suami aku, milik aku. Aku je yang terbaik untuk A sebab tu A menikah dengan aku. Aku lupa Allah bagi pinjam je suami aku tu, aku lupa, aku tak boleh ubah hati dia.

Benda ni berterusan sampai sekarang. Aku tahu A sangat cintakan Rose, walaupun aku tahu betapa Rose berusaha untuk menjauhkan diri daripada kami. Rose dan A akui kesilapan mereka namun aku masih ego. Tetap juga aku menyalahkan mereka atas semua yang berlaku. Tetap juga aku maki dirinya. Aku tetap dengan egoku. Lama kelamaan, sikap tu makan diri aku sendiri. Suami aku sendiri juga sudah meluat dengan sikapku. A pernah cakap, bernikah berbelas tahun pun aku masih tidak mampu memahaminya. Komunikasi juga dah tak penting sebab aku tak suka mendengar luahannya. Luahan hati aku saja yang aku pedulikan.

Baru-baru ini aku perasan perubahan A. Dia banyak mendiamkan diri dan termenung. Dalam kereta pun lebih banyak diam. Setelah puas aku paksa, rupanya Rose sudah pergi meninggalkannya. Rose memilih untuk tidak lagi bertahan. Aku tau sebab Rose buat macam tu. Macam-macam aku cakap. Aku s3ksa mental Rose. Aku serang dia dekat tempat kerja sampai dia keluar dari negeri. Tapi aku lega. Paling tidak, aku tahu A tak dapat jumpa dia lagi.

Sangkaan aku semua salah. A tetap cari Rose. Macam mana aku tahu? Sebelum A keluar rumah, aku cek kilometer kereta. Kalau nak fikir logik, tak mungkin la A pusing daerah tempat kami tinggal ni sampai 400km. Aku pernah jumpa folder yang disorokkan. Penuh gambar Rose dan A. Sedih, remuk hati aku. Hati suami aku tak pernah ada aku. Masa ni, baru aku tahu nilai Rose dalam hidup A dan mana nilai aku dalam hati A.

Baru-baru ni, Rose mesej aku. Dia cakap dia nak pergi luar negara. Dia nak aku dengar semua perbualan mereka berdua sebelum dia maafkan dan lupakan semua yang aku pernah cakap dekat dia. Setiap apa yang jadi kepadanya, semua akibat daripada keputusan A. Antara ayat A yang buat aku sangat sedih “kalau lah Rose hadir dalam hidup A 18 tahun yang dulu, A takkan kawen dengan N.” Maknanya apa? Aku tak pernah ada dalam hidup A. A bertahan dengan aku hanya kerana tanggungjawab dan amanah. Bukan cinta. A jugak cakap “memiliki tak semestinya mencintai”. Maksudnya apa? A tak pernah cintakan aku. Lepas tu, perlahan-lahan aku sedar. Aku tak boleh paksa hati manusia. Ya. Aku boleh buat Rose pergi jauh dari hidup aku dan A. Tapi hati A sentiasa ada Rose. A hidup dengan cinta Rose. Bukan aku. Walaupun aku berjaya buat A berjanji, junjung al-quran, tapi aku tak mampu untuk buat Rose hilang dari hidup A.

Apa sebenarnya yang aku cuba sampaikan? Wahai wanita, kalau korang sudah tahu lelaki yang korang cinta tu tak mencintakan korang, janganlah paksa mereka untuk menikah dengan korang. Benar. Itu jodoh, tapi tanpa cinta, korang tak akan bahagia. Tengok hidup aku. Cinta itu penting, seiring dengan tanggungjawab dan amanah. Cinta itulah bunga bahagia dalam hubungan suami isteri. Aku turut akui, aku isteri konservatif. Ada perkara yang aku masih malu untuk buat bersama suami. Suami aku lebih advance walaupun dia lebih berusia. Banyak, banyak kurangnya aku. Cuma sebelum ini aku lebih memilih untuk melihat keburukan orang berbanding diri sendiri kerana aku merasakan aku maksum. Aku ego, sekalipun aku tak pernah minta maaf dekat Seri atau Rose.

Kadang-kadang aku terfikir, adakah ni balasan untuk aku sebab dulu aku rampas A dari Seri? Balasan sebab aku dah sakitkan hati Seri? Sakit yang Seri rasa bila aku menikah dengan A, berganda lagi sakit yang aku lalui lepas nikah dengan A. Ataupun ni ujian untuk aku? Selalu orang cakap, kita akan diuji dengan benda yang kita takut. Ya. Memang aku takut A curang. Memang aku takut dengan poligami. Jadi, Allah betul-betul uji aku dengan kecurangan A. Bukan sekali dua, tapi sepanjang perkahwinan aku.

Semenjak dua ni, aku selalu stalk media sos**l Rose dengan Seri. Sebab apa? Sebab dua nama ni beri impak yang sangat besar dalam hidup aku. Perempuan-perempuan lain tu aku anggap stok A test market je. Seri aku nampak bahagia sangat dengan keluarga kecilnya, Rose pula menetap di luar negara lepas insiden aku serang dia. Dia pun nampak sangat bahagia dengan hidup dia sekarang. A? Hidup dia hanya ada Rose. Mimpi, mengigau menangis dalam tidur pun sebut nama Rose. Aku? Teruskan menjeruk hati akibat pilihan aku sendiri. Hubungan dengan mertua dan ipar duai baik, tiada masalah. Cuma, masalah aku dengan suami aku sendiri.

Doakan aku dapat bertahan dan jika aku berpisah, doakan aku kuat. Maaf kalau ayat tunggang langgang sebab menaip dalam keadaan beremosi.

Anonimus

– Anonimus (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit