Bersalin Cara FPP

Assalamualaikum. Terima kasih admin kerana menyiarkan confession saya. Selepas membaca 1 confession berkenaan bersalin, saya tergerak hati nak kongsi pengalaman saya.

Mungkin ada yang sudah tahu dan mungkin ada yang belum tahu berkenaan skim Full Paying Patient (FPP) atau dalam bahasa Melayu adalah skim Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh di hospital kerajaan.

Secara ringkasnya, dengan skim ini, anda boleh memilih doktor pakar untuk merawat anda dan akan mendapat kemudahan giliran semasa rawatan.

Maksudnya, anda tak perlu menunggu giliran yang panjang. Selain itu, anda boleh menikmati beberapa kemudahan di wad kelas satu atau yang setaraf.

Senang cerita, kelebihannya LEBIH KURANG hospital swasta dengan harga yang jauh lebih rendah.

Untuk bersalin, semasa saya bersalin tahun lepas, bayaran maksimun adalah RM5000 untuk bersalin secara pembedahan. Untuk bersalin normal adalah kurang RM3000. Bayaran adalah bergantung kepada rawatan yang anda terima.

Ada yang bersalin normal dengan jumlah bayaran hanya RM1500. Untuk saya yang bersalin secara pembedahan, jumlah keseluruhan adalah RM4000 termasuk 2 kali pemeriksaan semasa mengandung.

Memang harga itu agak mahal juga tetapi jika dibandingkan dengan hospital swasta, ia adalah jauh lebih murah. Lagipun, yang merawat anda adalah doktor pakar.

Berbalik kepada pengalaman saya (maaf mungkin banyak yang tertinggal sebab saya ingat ingat lupa), seawal kandungan 4 bulan, saya telah ‘book’ tempat di Hospital Putrajaya.

Bukan semua hospital kerajaan menyediakan skim ini ye. Anda boleh call hospital pilihan anda untuk kepastian.

Untuk saya, saya memang telah tahu Hospital Putrajaya (HP) mempunyai skim ini. Jadi, saya terus ke sana. Tak salah saya, urusan semua di kaunter O&G. Maaf. Saya lupa. Jika anda pergi, mereka akan bantu anda.

Kenapa perlu pergi awal? Sebab pengambilan pesakit untuk FPP adalah terhad. Lagi lagi sebab saya nak pilih doktor.

Tahun lepas, di HP hanya seorang doktor pakar perempuan yang bertugas di bahagian O&G iaitu Dr. Hamidah. Selebihnya adalah doktor lelaki.

Pada hari tersebut, tiada bayaran perlu dibuat. Hanya pilih doktor dan nurse akan maklumkan kita tarikh untuk kita buat pemeriksaan.

Sebelum bersalin, kita perlu datang sekurangnya 2 kali pemeriksaan bersama doktor tersebut. Jika doktor tersebut mempunyai urusan lain, akan diganti oleh doktor lain.

Untuk setiap pemeriksaan, anda perlu bayar ye. Kali pertama hampir RM200 manakala kali kedua kurang RM100.

Jika anda mempunyai masalah semasa mengandung, mungkin anda perlu buat pemeriksaan lebih 2 kali. Anda perlu mempunyai buku pink pemeriksaan di klinik kesihatan untuk melayakkan anda mendapatkan rawatan secara FPP.

Jadi, selain 2 temujanji rawatan di hospital, anda perlu memenuhi temujanji rawatan di klinik kesihatan. (Disclaimer : berkenaan bayaran, sila pastikan dengan hospital. Mungkin ada perubahan)

Dipendekkan cerita, sampailah masa saya perlu bersalin. Saya ditempatkan di wad kelas pertama yang hanya mempunyai 2 katil dan 1 tandas. Sangat selesa. Semua nurse juga sangat baik. Disebabkan saya memang perlu bersalin secara pembedahan, saya tidak perlu VE .

Tarikh pembedahan saya adalah pada keesokan hari. Untuk hospital kerajaan, keluarga tidak dibenarkan berkampung di dalam bilik pesakit ye. Jika dibenarkan pun mungkin hanya seorang ataupun bergantung pada hospital.

Apapun jangan risau kerana nurse anda memang akan layan anda dengan saaangaatttt baik. Ada butang disediakan di setiap katil untuk anda memanggil nurse.

Untuk kes saya, pada malam sebelum bersalin, tiada siapa yang temankan. Sepatutnya untuk pesakit FPP, saya ditempatkan di wad VIP tetapi memandangkan wad VIP penuh, saya ditempatkan di wad kelas pertama.

Keesokan harinya sebelum bersalin, ada kekosongan di wad vip dan saya dipindahkan kesana. Dari segi bayaran semestinya berbeza. Di wad vip, saya ditemani suami selama saya di hospital. Bayaran untuk wad vip adalah RM180 satu malam.

Untuk FPP, tiada doktor pelatih dibenarkan terlibat. Begitu juga jururawat pelatih. Yang merawat anda adalah doktor pakar dan beberapa orang jururawat sahaja. Tiada juga sekumpulan doktor yang buat rondaan pada setiap pagi.

Doktor akan datang jika perlu atau jika dia mahu sahaja. Jadi, selama 3 hari disana saya rasa sangat relax dan seronok. Macam satu percutian 3 hari 2 malam. Setiap bilik atau katil mempunyai tv dan aircond juga.

Makanan juga sangat sedap bagi saya. Jika anda bersalin normal, rasanya nurse akan tanya menu apa yang anda mahu.

Saya memang kena makan bubur. Tetapi untuk malam terakhir saya di hospital, ada nurse datang tanya adakah saya mahu makan bubur atau tukar menu lain. Saya hanya minta bubur sebab buburnya sangat sedap.

Untuk pengetahuan pembaca, yang kita boleh pilih adalah doktor pakar sahaja. Jadi kita tidak tahu siapa yang bantu doktor semasa proses bersalin. Sehari sebelum bersalin, saya minta kepada doktor, jika boleh saya mahu hanya perempuan sahaja yang terlibat.

Tetapi, Dr. Hamidah maklumkan saya doktor yang membantunya adalah lelaki kerana doktor perempuan semua ada tugas lain. Dia memohon maaf tetapi dia akan cuba.

Saya akur. Apa boleh buat kan. Tetapi rezeki saya, pada malam pembedahan tersebut, di dalam Operation Theater(OT) semuanya perempuan. Terima kasih Dr. Hamidah kerana memenuhi permintaan saya.

Sebak bila tengok semua perempuan yang menyambut kelahiran anak saya yang kedua kerana pengalaman bersalin anak pertama sangat berbeza yang mana saya dikelilingi ramai doktor pelatih lelaki. Untuk kali ini, layanan doktor dan nurse sangat baik.

Selepas anak berjaya dikeluarkan, dan doktor minta saya cium anak, saya terus menangis. Menangis syukur, gembira dan terharu sangat dengan nikmat bersalin kali ini. Doktor bius yang berada di bahagian kepala saya tenangkan saya dan mengelap air mata saya.

Kalau anda biasa tengok cerita korea tentang doktor(saya lupa tajuk), selalunya doktor bius banyak bersembang dengan pesakit, begitulah doktor ini. Maaf saya lupa nama dia. Semasa pembedahan, dia yang temankan saya dan tenangkan saya.

Terima kasih doktor. Semasa pembedahan, saya dibius separuh padan. Tangan saya pun saya tak boleh angkat.

Jumlah kos saya di hospital adalah RM3500 atau RM3800. Maaf saya lupa. Jika dikira keseluruhan termasuk kos pemeriksaan semasa mengandung, lebih kurang RM4000.

Jika anda berkemampuan, silalah ambil skim FPP. Jika mampu ke hospital swasta, pergilah. Mungkin environment di hospital swasta lagi menarik memandangkan bayaran lagi mahal.

Jika anda memilih FPP, jangan pula anda bandingkan dengan hospital swasta. Sangat jauh beza bayarannya.

Untuk saya, selepas suami lihat sendiri apa yang berlaku semasa kelahiran anak pertama, dia yang tidak mahu saya bersalin di wad biasa.

Semasa dia temani saya di LR, ramai doktor pelatih lelaki yang menyaksikan proses VE. Untung juga dapat suami yang kuat cemburu. Hahaha.

Sebab dia terlalu cemburu lah dia sanggup usahakan kumpul RM5000 untuk saya bersalin. Habis semua duit simpanan asalkan tiada lelaki katanya.

Oh ya, untuk pemeriksaan semasa mengandung, bayaran perlu secara tunai. Untuk bersalin, boleh menggunakan kad. Ini untuk hospital Putrajaya.

Itu sahaja cerita saya. Jika ada pertanyaan, insyaAllah saya akan jawab.

– Ibu anak 2 (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *