Bila Abang Merajuk

Assalamualaikum. Aku Hani. Selalunya aku jadi pembaca setia di ruangan ini. Tapi kali ni aku nak berkongsi cerita. Meluah kenangan.. berkongsi catatan.

Rasanya cerita ini tidaklah sangat istimewa. Cuma aku merasa terpanggil untuk berkongsi rasa bila suatu petang abang aku merajuk.

Abang aku istimewa. Sangat istimewa sebab umurnya sudah menjangkau usia 46 tahun.. tapi umur mentalnya sama budak-budak umur 8 tahun. Dia ada sedikit spastik dan sedikit cerebral palsy.

Kami ini dibesarkan dalam serba kekurangan. Siapa-siapa yang membesar tahun 80-an rasanya melalui kepayahan bila ibu bapa tidak sesenang orang lain. Aku dan abang aku dan adik adik lain seramai enam orang lagi tu hidup dalam kepayahan.

Dan.. bertambah lagi kepayahan itu bila kami ada abang kami yang istimewa. Panjang ceritanya kenapa abang aku jadi insan istimewa. Kalau ada yang berminat, aku ceritakan lain kali (itu pun kalau confessions ini disiarkan.. hehe)

Abang aku umur 6 tahun baru boleh berjalan. Berjalan pun tak kuat. Sebelum tu dia hanya pandai merangkak. Ini semua mak aku yang cerita. Mak bersalin rapat. Kadang tu abang sedikit ter4b4i.

Aku dari kecil macam bodyguard la jaga abang aku. Jadi kakak kawasan.

Terpaksa jadi garang dengan budak- budak kampung sebab abang aku selalu dibuli.

Abang aku semangat dia lemah. Kaki dia tidak kuat. Berjalan lambat-lambat sambil kaki satu lagi tak kuat nak jejak. Kena seret. Abang aku pantang disergah dijerkah memang tergolek-golek jatuh.

Budak-budak kampung tahu kelemahan abang aku. Aku ingat lagi.. masa tu umur abang aku dalam sepuluh tahun.. dia pergi mengaji. Tetap pergi mengaji walaupun bertahun-tahun mengaji dia cuma dapat alif.. ba.. ta.

Aku masa tu lambat selesai dengan tok guru mengaji. Tengah-tengah mengaji boleh boleh boleh abang aku blah dulu.

Aku sengaja tinggikan suara aku masa tengah mengaji dengan harapan dia terhenti turun ke bawah. Aku tengok dengan ekor mata aku kepayahan dia turun dari tangga. Alamak.. dia blah jugak. Rungutku dalam hati.

Sepuluh minit kemudian baru aku selesai mengaji setelah ditegur kesalahan berulangkali. Manakan tidak.. dalam kepala aku terbayang abang aku.

Lagi satu aku takut mak ayah aku naik hantu bila aku biarkan abang aku balik sendiri.

Laju-laju aku bawa langkah lalui denai tapi aku tak jumpa dia. Meliar mata aku cari dalam semak-semak di tepi mana tahu dia terperosok di situ. Jantungku dah macam pukulan gendang.. berdebar campur takut.

Lepas tu aku melewati bendang. Takkan abang aku dah sampai rumah sebab lepas bendang.. rumah aku.

Cepat betul dia sampai. Kalau diikutkan dia ambil masa setengah jam baru sampai ke rumah dengan keadaan dia sebegitu. Meskipun jarak tempat aku mengaji dengan rumah aku tak sampai sepuluh minit jalan kaki.

Tengah aku berpikir sambil menconggak dalam kepala, aku macam dengar nama aku diseru. Suara yang aku cukup kenal.

“Hani.. Hani..”

Aku melilau kiri kanan. Tapi takde pulak

“Woi sinilah,” jerit suara itu lagi.

Tepuk dahi bila aku dah jumpa empunya suara itu. Aku lihat abang aku dah tersungkur dalam bendang. Masa itu bendang baru lepas dibajak.. lumpur, selut dan air bendang bersatu. Habis satu badan abang aku bermandi lumpur.

“Buat ape mung masuk dalam ni,” marahku sambil menarik tangannya dan membantunya bangun. Abang aku boleh boleh lagi tersengih-sengih dengan giginya disalut lumput.

“Si Awang dengan saing- saing dia tolak abang,” beritahunya dalam gaya budak-budak lima tahun. Mendidih darah aku sekejap. Sampai hati mereka aniaya abang aku yang istimewa ini.

Pulangnya ke rumah aku dimarah teruk dengan mak aku.. ayah aku pun membebel sama. Cakap aku tak pandai jaga abang aku.

Aku ceritakan hal sebenar pun mak ayah aku salahkan aku jugak. Dalam hati aku aku cukup berdendam dengan si Awang samseng cilik tu. Umur dia sebaya aku. Satu kelas dengan aku. Siap kau.

Kiranya terlalu banyak nostalgia aku dengan abang aku. Cerita bagaimana ayah aku naik hantu gara-gara abang aku buat perangai nak jumpa kumpulan KRU. Cerita abang aku merajuk masa menjelang raya. Cerita abang aku hilang masa mak ayah aku pergi Mekah.

Terlalu banyak yang akhirnya buat aku tersenyum sendiri mengenangkan memori indah dengan abang aku.

Cuma petang hati aku cukup tersentuh bila abang aku merajuk dengan aku. Tadi bila aku menelefon mak aku di kampung, mak aku beritahu abang aku menangis. Dia merajuk sebab aku dah lama tak balik. Dia rindukan anak-anak aku aka anak buahnya.

Mak aku cakap dah lama dia tak main masak-masak dan main polis polis dengan anak-anak aku. Last aku balik bulan December tahun lepas. Sebulan aku balik sebab cuti sekolah.

Sejak PKP aku belum balik lagi. Maklumlah aku jauh di negeri bawah bayu. Rezekiku di sini. Biasanya cuti sekolah baru aku balik sebab itu masanya aku boleh cuti rehatkan diri jumpa keluarga.

Aku cuba nak bersembang dengan abang aku. Tapi dia merajuk, tak mahu bercakap dengan aku. Ayat yang paling aku hiba mak aku bagitahu aku, abang aku cakap. Kalau dia m4ti dulu tak sempat jumpa aku.

Alahai lambatnya bulan December untuk aku bercuti panjang lagi. Doakan aku semoga abang aku sentiasa sihat walafiat dan rajuknya tak panjang.

– Hani (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit