Cantik Untuk Suami

Assalamualaikum pembaca IIUM Confession. Aku Anne, tertarik untuk menulis kisah aku setelah aku membaca confession bertajuk ‘Tidak Cukup Cantik di Mata Suami” (https://iiumc.com/tidak-cantik-di-mata-suami/).

Aku berkahwin dengan suami aku sewaktu umurku 21 tahun. Waktu tu aku masih lagi berada di semesta kedua pengajianku. Suami aku pula seorang profesional bergaji 5 angka 7 tahun lebih tua dari aku.

Sejak dari bangku sekolah lagi aku memang terkenal dengan rupa paras aku yang cantik. Rupa dan badan aku dicemburui kawan-kawan aku. Dapat surat cinta bawah meja dah jadi rutin harian aku.

Tapi alhamdulillah aku tak pernah hanyut dengan kata-kata lelaki. Aku eksklusifkan diri aku dari hubungan yang tak pasti. Lagipun ayah aku terkenal sebagai ayah yang tegas kat kampung aku.

Dipendekkan cerita aku pun kahwin dengan suami aku atas kerelaan aku sendiri setelah aku risik sana sini, uji itu ini, dan solat istikharah berulang kali (ada pilihan lain juga waktu tu).

Setelah aku habis belajar lebih kurang dua tahun lepas kahwin, aku dapat anak pertama, setahun lepas tu kedua, dua tahun kemudian yang ke tiga dan keempat, lepas kembar umur 2 tahun, aku lahirkan anak yang kelima.

Setakat itu hidup aku biasa-biasa saja, suami aku tak izinkan aku bekerja sebab gaji dia lebih dari cukup untuk tanggung kami sekeluarga.

Duduk rumah teres, kereta jenama Malaysia dan melancong sekali sekala.

Bermula lepas kelahiran anak kelima kami suami aku dinaikkan pangkat dan gajinya dah jadi 5 kali ganda gajinya diawal perkahwinan kami.

Kami sepakat untuk ‘tutup kilang’, cukuplah 5 orang permata cinta kami. Kami juga berjanji untuk kekal dengan komitmen bulanan yang ada, lebihkan pendidikan anak-anak, infaq dan simpanan.

Mula-mula suami aku suruh aku jaga badan sebab aku dah tak payah nak beranak lagi, dia sangat komited dan disiplin paksa aku makan ikut diet yang betul.

Dia mula sangat teliti dengan setiap inci badan dan kulit aku. Sanggup dia belikan aku set produk mahal demi nak aku kurus.

Akhirnya aku dapat berat sebelum aku kahwin setelah melalui diet yang ketat. Tapi dia belum puas hati, dia hantar aku pergi gym dengan pakej coach 5 angka untuk aku dapatkan badan macam yang dia bayangkan.

Aku letih. Tapi aku turutkan juga demi suami yang sayangkan aku.

Jadual aku mula padat dengan jadual untuk sesi-sesi yang suami aku dah plan untuk aku setiap hari.

Sudahlah aku kena uruskan anak-anak, aku jugak kena terkejar-kejar untuk catch up, kelas berenang, gym, spa, usrah & mengaji yang suami aku dah susun penuh sepanjang minggu.

Oh ya, disebabkan aku pernah terpercik minyak panas kat tangan waktu goreng ayam untuk anak aku, suami aku terus larang aku memasak.

Dia upah akak jiran depan rumah aku untuk masak untuk kami sekeluarga. Suami aku tak nak upah bibik sebab mahukan privasi. Dapur cantik aku tu sekadar hiasan. Sesekali saja aku dibenarkan masak itupun syaratnya tak boleh bergoreng atau bertumis.

Masuk tahun kedua dengan jadual yang padat, suami aku masih belum puas hati, dia suruh aku buat gigi pulak, lepas tu treatment rambut, lepas tu macam-macam treatment lagi aku kena hadap. Kos mentenance aku bulan-bulan hampir sama komitmen bulanan kami.

Ya dia ada duit, dan dia laburkan banyak duit untuk cantikkan isteri dia sendiri. Aku bersyukur, sebab aku dapat apa yang jutaan (mungkin billion) isteri diluar sana idamkan setiap hari, tapi lama-lama aku dah mula rasa sangat down.

Aku cuba bincang dengan dia untuk terima aku apa adanya, tapi dengan cara halus seolah-olah memaksa aku untuk aku teruskan ‘perjuangan’ untuk jadi bidadarinya.

Dia tak faham betapa struggle nya aku dalam ‘perjuangan’ ni, dia masih segak dan sado sama macam kami mula-mula kenal dulu.

Aku mula rasa aku ni tak cukup cantik untuk dia, sampai aku kena hadam regime yang ketat untuk lebih cantik dimatanya.

Dah banyak aku buat dan aku korbankan demi kelihatan perfect di matanya, tapi nafsu matanya tak pernah puas, ada saja yang tak kena dan tak cukup yang perlukan aku di’repair’ di sana sini.

Kadang-kadang aku menangis mengenang nasib dan burn out dengan semua ni, ada juga aku luah pada kawan-kawan baik aku, tapi semuanya kata aku kena bersyukur dapat suami yang terlalu sayangkan aku dan nak yang terbaik untuk aku.

Aku tau susah orang nak faham, dan aku belum pernah lagi jumpa orang yang senasib dengan aku.

Aku dah mula tak happy dengan hidup aku, masa dengan anak-anak aku semakin terhad, suami aku pulak semakin sibuk dengan travel sana sini tapi tak lupa ingatkan aku jadual temujanji-temujanji aku.

Aku jugak pernah nampak history carian google suami aku tentang plastic surgery. Aku speechless. Sampai ke tahap tu betapa ‘tak cukup’nya aku di mata dia.

Aku dah mula rasa tak selamat dengan suami aku sendiri. Seolah-olah aku ni boneka yang dia boleh ukir ikut kehendak dia.

Aku dah letih untuk bergaduh pasal benda ni, tapi hati kecil aku sangat sakit dan rasa sangat kecewa. Aku cemburu dengan suami isteri yang boleh terima kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Hari-hari aku doa semoga Allah bagi mata suami aku puas tengok aku. Aku pun nak kelihatan terbaik tercantik termenawan di mata dia. Aku tau dia baik dan setia. Dan aku doa untuk aku tak hanyut dalam kekecewaan aku terlalu lama.

Tapi perasaan ni memang hari-hari aku rasa, terutamanya bila aku betul-betul letih dan sakit satu badan dalam masa yang sama aku kena jugak pergi temujanji-temujanji tu.

Aku pernah tanya suami aku kalau-kalau dia nak kahwin dengan orang yang memang dah sedia perfect tak payah repair-repair macam aku.

Tapi jawapan dia, dia taknak sebab malas nak kenal orang dari A balik. Katanya aku dah sempurna untuk dia, dia cuma nak (baca: paksa) aku jadi bidadari dia saja. Cairla jugak, tapi aku penat mental dan fizikal.

Aku pun tak tau sampai bila semua ni aku kena hadap. Buat masa ni aku teruskan saja hidup yang macam ni, hari-hari didik hati untuk bersyukur.

Ya syurga tu mahal harganya, semua orang diuji, dan inilah bahagian (ujian) aku. Doakan aku terus kuat dan positif selalu.

– Anne (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit