Cerpen Dari Kisah Kehidupan

Banggggggggg. Kedengaran bunyi dentuman yang kuat bersama gegaran. Anne (Ibu) terjaga dari tidur dan terus mengangkat Ali yang lena di sebelahnya. Ali terkejut dan bertanya “ Kenapa, Anne?”

“Kita kena keluar dari sini”

Anne mencapai jubah dan tudungnya yang digantung di depan pintu dan cepat-cepat menuruni tangga.

Gegaran yang beberapa saat itu tiada lagi. Anne masuk semula ke dalam rumah untuk mengambil beberapa barang seperti telefon dan beberapa helai pakaian.

Gegaran kedua menyusul. Kali ini lebih kuat dan lama. “Cukup, aku tak nak masuk lagi rumah ni” kata Anne di dalam hati.

Anne dan Ali menuju ke masjid yang berdekatan. Salji masih lagi tebal. Semalam baru saja Ali dan Anne bersiar-siar sambil bermain salji. Mereka merakam gambar dan video lalu dihantar kepada Baba (ayah).

Waktu itu, Baba sedang bertugas atas panggilan di hospital negeri sebelah.

Masjid penuh dengan manusia ketika itu. Ali sambung tidur dengan beg tidur(sleeping beg) manakala Anne sedang menghubungi Dede (datuk) untuk memberitahu keadaan mereka.

Dede belikan mereka tiket bas ke kampung mereka, 1000km dari tempat mereka berada.

Azan subuh berkumandang. Baba menelefon dari kejauhan. Katanya negeri tempat dia bekerja turut mengalami gempa bumi. Jabatan kecemasan sangat sibuk ketika itu. Baba beritahu Anne untuk bercakap dengan Ali.

Baba tak cakap banyak dengan Ali. Baba pesan supaya dengar cakap Anne.

Matahari terbit sahaja Ali dan Anne keluar menuju ke stesen bas. Banyak kali mereka menahan teksi namun tak ada yang berhenti.

Kasut Ali basah lencun dengan salji yang mencair. Selepas berjalan hampir 2 km baru ada teksi yang berhenti dan menghantar mereka ke stesen bas.

Mereka menunggu selama dua jam sebelum menaiki bas menuju ke kampung.

Beberapa gegaran susulan berlaku namun tidak sekuat gegaran yang pertama. Besi dari bumbung stesen bas tercabut dan jatuh. Mujur tiada orang berdekatan.

Anne sempat tukarkan pakaian dan stokin Ali sebelum menaiki bas. Dan memakaikan Ali lampin pakai buang. Ini cabaran baru buat Anne. Mengharungi perjalanan yang jauh bersama Ali tanpa kehadiran Baba.

Seperti biasa Ali kelihatan ceria ketika menaiki bas. Dia mengeja paparan skrin televisyen di tempat duduk. “36… mati….akibat…. gempa bumi.”

“Diamlah budak. Aku sakit kepala ni” marah makcik yang duduk di kerusi hadapan.

Ali buat muka monyok. “Kenapa, Ali?” tanya Anne. “Saya merajuk dengan makcik depan ni” balas Ali

Mereka sempat mengalas perut dengan roti poğaça yang dibeli di stesen bas.

Ali menghirup air kotak jus buah yang dibeli sekali. Semua orang risau dengan apa yang terjadi. Di belakang gempa bumi, di hadapan tidak tahu apa yang bakal terjadi.

Salji lebat yang masih turun menyukarkan perjalanan. Dalam perjalanan pun masih terasa gegaran susulan. Di dalam bas yang tenang cuma Ali, yang menonton kartun Dr McWilley di YouTube.

Berita mengenai ribut salji di hadapan membuatkan pemandu bas menghentikan perjalanan.

6 jam perjalanan berhenti. Mujur mereka sempat sampai di bangunan rehat dan rawat. Ada kemudahan seperti kedai runcit dan tandas. Anne mengambil kesempatan menukar lampin dan pakaian Ali.

Ribut salji mula reda. Pemandu bas membuat pengumuman supaya para penumpang masuk semula ke dalam bas.

15 minit kemudian, mereka memulakan perjalanan semula. Ali kepenatan dan tertidur di kerusi sebelah Anne. Anne risaukan Baba yang masih berada di kawasan gempa bumi.

Dari timur Turki, mereka merentas kawasan tengah Anadolu. Dari kawasan padang pasir bertukar menjadi padang ragut steppe. Perlahan-lahan mereka memasuki kawasan pertanian dan lembah subur tanah Ege. Kawasan sebelah barat Turki.

Setelah 36 jam, barulah mereka sampai ke destinasi. Kebiasaannya, tempoh perjalanan hanya mengambil masa selama 18 jam.

Dede dan Nine sudah menunggu mereka di stesen bas. Mereka lama berpelukan setelah 4 bulan tidak berjumpa.

Barang-barang Ali dan Anne diletakkan di bonet kereta Dede dan mereka menuju ke rumah adik kepada Anne yang bekerja sebagai jurutera di kilang daerah itu.

Mereka menumpang di rumah pakcik buat sementara waktu sebelum mendapat rumah sewa yang baru. Rumah pakcik tak besar. Ada 2 bilik. Anne dan Ali tidur di bilik pakaian pakcik.

Nenek kepada Anne yang tinggal di tingkat bawah memberi mereka tilam dan selimut tebal. Anne rasa tak selesa hidup menumpang rumah orang walaupun rumah adik sendiri tapi rumah mereka sendiri pun tak ada.

Ali batuk-batuk sejak dari perjalanan menuju ke kampung. Anne bawa Ali ke jabatan kecemasan hospital berdekatan.

Doktor pakar kanak-kanak mencadangkan agar Ali dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi kerana salur pernafasannya sempit (Hyperactive Airway).

Ali marah-marah apabila jururawat mencuba untuk memasang branula pada tangannya. Ali akhirnya menyerah selepas Anne memujuknya.

2 hari di situ, baru Baba buat panggilan video semula. Anne cakap Ali sakit tapi dah semakin pulih. Dalam sehari dua baru boleh keluar hospital.

Ali tunjuk tanggannya yang dipasang branula. Baba ketawa. Baba cakap “Wah, Ali minum guna tangan sekarang.” Baba cakap dia tak ada rumah. Balik kerja dia tidur masjid atau hospital.

Tak lama kemudian, Ali dibenarkan pulang ke rumah. Tapi Ali bosan sebab permainan dan bukunya tertinggal di rumah lama. Kadang-kadang Ali berebut tablet dengan Anne untuk menonton kartun.

Anne bawa Ali jalan taman dan sekali sekala bawa jumpa dengan kawannya, Makcik Zeynep. Ali bermain dengan anak Makcik Zeynep yang bernama Emir. Satu tahun lebih tua daripada Ali.

Sekali sekala Anne bawa Ali pulang ke kampung dan bermalam di rumah Dede. Ali suka rumah Dede. Depan rumah Dede ada kebun.

Ali suka ikut Dede jalan kebun dan kutip buah. Kadang-kadang Ali bawa lori mainannya ke kebun. Ali bebas berlari lari dalam rumah. Tak ada jiran marah kalau buat bising.

Biasanya 2 atau 3 hari sekali Baba buat panggilan video. Ada sekali waktu sedang berbual, Baba tiba-tiba berlari.

Katanya di sana masih ada gempa bumi lagi. Baba kata nak datang balik kampung. Anne tanya kenapa? Baba kata dia dah tak larat. Dia nak balik berehat.

Selang beberapa hari, Anne beritahu Baba dah naik bas nak balik kampung. Ali tak sabar nak jumpa Baba.

Dah lebih 2 bulan mereka tak berjumpa. Sikit-sikit Ali bertanya lagi berapa jam Baba nak sampai. Ali penat menunggu sampai tertidur.

Ali terasa perutnya digeletek. Ali buka mata. Nampak Baba dah sampai. Ali terkejut sekejap sebelum dia panjat baru Baba.

Baba tanya Ali “Nak kacang Antep?” sambil menghulurkan 2 balutan kecil manisan kacang Antep. Ali nak beri satu untuk Anne tapi Anne tak nak. Ali dan Baba sama-sama mengunyah manisan itu.

– Abu Ali (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *