Cikgu PKPB

Assalamulaikum semua, akhir-akhir ini semakin hangat cerita mengenai guru sejurus selepas pengumuman menteri akan penutupan semua institusi pendidikan.

Namun, perkongsian saya ini bukanlah untuk membidas mana-mana pihak ibarat menambah minyak pada api yang semakin bahang. Perkongsian ini adalah mengenai cerita saya yang kini bertugas dari rumah.

Saya merupakan seorang guru lelaki dan berkhidmat di salah sebuah sekolah pedalaman di sabah. Saya memerlukan masa 4 jam perjalanan darat dan 2 jam perjalanan merentas lautan untuk sampai ke sekolah,

Namun saya masih bersyukur kerana ada lagi rakan guru yang lain yang lebih teruk perjalanan ke sekolah.

Saya tinggal bersama dengan guru-guru lain dalam sekolah dan akan pulang ke rumah selepas 3minggu atau sebulan kerana kekangan pengangkutan dan kos yang mahal.

Semasa PKPB 2 minggu untuk Sabah selepas pilihan raya diumumkan, saya dan rakan guru yang lain terus berada di sekolah kerana tidak dapat merentas daerah.

Saya berasa sungguh sedih kerana anak-anak murid saya yang baru sahaja menunjukkan peningkatan selepas lama tidak bersekolah akan menempuhi penutupan sekolah semula.

Oleh itu, kami akan mencetak kerja untuk dilakukan oleh murid selama seminggu dan berjalan ke setiap rumah mereka untuk memberikan kerja.

Ibu bapa dan murid akan dipanggil untuk mendengar bimbingan bagi setiap helaian sambil bertanya prestasi dan berbincang dengan mereka mengenai pembelajaran anak-anak mereka.

Pembelajaran secara dalam talian sukar untuk dilakukan kerana tiada jaringan telefon di kampung ini dan perlu berjalan jauh untuk mendapatkan jaringan internet.

Selain itu, kebanyakan ibu bapa tidak mempunyai jaringan internet walaupun mempunyai telefon kerana kos.

Jika kerja diserahkan sepenuhnya pula, kebanyakan keluarga di sini mempunyai taraf pendidikan rendah, bahkan ada ibu bapa yang tidak tahu membaca pun. Macam mana nak bantu anak-anak belajar di rumah?

Kami akan memberi penerangan sebaiknya semasa menghantar kerja dan menyemak kerja setiap minggu kepada anak-anak murid kami.

Sebulan berada di pulau, kerajaan mengumumkan pelanjutan PKPB selama seminggu lagi. Hati saya sebagai anak, suami dan ayah semakin sayu memikirkan keadaan keluarga di tanah besar dengan pertambahan kes yang semakin meningkat di Sabah ketika itu.

Kami berusaha untuk balik ke kampung. Namun, sebelum itu kami mencetak lagi kerja untuk dilakukan selama 2 minggu dan diberikan kepada anak-anak di setiap rumah. Melihat setiap wajah mereka yang diibaratkan kehausan ilmu menambah sayu di hati.

Dipendekkan cerita, pihak polis membenarkan kami merentas daerah untuk bertemu keluarga.

Kini, kerajaan mengumumkan untuk menambah lagi PKPB di Sabah dan beberapa negeri lain selama 4 minggu dan terkini menteri pendidikan mengumumkan penutupan sekolah sehingga tahun hadapan namun sesi pembelajaran secara dalam talian.

Lega bersama keluarga, namun pada masa yang sama sedih yang teramat memikirkan keadaan anak-anak saya di sekolah.

Pembelajaran dalam talian sukar dilakukan, hari-hari bekerja tetap akan diberikan kerja sekolah dengan harapan 2,3 murid yang boleh online akan menerima kerja tersebut. Seterusnya saya akan berpesan untuk dimaklumkan kepada murid yang lain untuk belajar bersama.

Hasil kerja mereka akan dihantar seminggu sekali untuk minggu tersebut atau pun pada waktu petang hingga ke malam.

Saya sudah maklumkan untuk menghantar hasil kerja pada bila-bila masa, dan saya akan semak serta merta memikirkan kepayahan mereka untuk melayari internet dan gaji yang kita makan.

Untuk pengetahuan semua, semua guru di JPN Sabah perlu menghantar laporan harian pengajaran secara dalam talian bagi memastikan setiap guru melakukan kerja walaupun dari rumah.

Insya-Allah guru-guru akan cuba yang terbaik untuk bekerja dari rumah dan memberikan pendidikan secara dalam talian kepada anak-anak semua.

Tolong doakan wabak Covid ini semakin reda di negara kita agar semua sektor termasuklah pendidikan boleh beroperasi seperti sedia kala. Tahun ni sahaja, hanya beberapa bulan anak-anak kita belajar di sekolah.

Untuk yang mempunyai kemudahan belajar di rumah, hargailah kerana ada insan-insan yang menagih kemudahan itu. Ibu bapa dan murid boleh sama-sama berganding bahu agar pembelajaran anak-anak tidak terabai.

Perbincangan boleh dilakukan jika terdapatnya kesulitan untuk melakukan sesi pembelajaran anak-anak di rumah kerana guru-guru tidak mengetahui situasi di rumah jika tidak diberitahu.

Guru-guru juga perlu lebih peka akan keadaan anak-anak murid dan keluarga mereka. Insya-Allah semuanya akan menjadi mudah. Sekian.

– Cikgu PJ (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *