Dakwah Secara Kreatif

Whatsapp Komuniti (group) setempat, sepatutnya menjadi tempat masyarakat mendapatkan sumber maklumat dan pemberitahuan program sudah disalahgunakan oleh segelintir individu yang tidak bertanggungjawab.

Nak menegur, masing-masing sudah dewasa. Bila dibiarkan, ianya sudah jadi seperti pasar malam.

Masing-masing sudah menjadi pedagang. Dan pada akhirnya Abang bertanya pada diri sendiri.

Kalau semua nak jadi pedagang, siapa pula nak jadi pelanggan?

Disebabkan rasa terganggu dengan kehadiran notifikasi dan poster ‘hard selling’ produk / promosi yang terlalu banyak, Abang ambil keputusan untuk keluar komuniti.

Bagi Abang, untuk apa untuk Abang berdebat atau bertikam pandangan dengan orang seperti itu. Baik Abang memilih jalan berdamai dengan cara, Abang sendiri yang mengalah.

Untuk memastikan Abang tidak ketinggalan dengan info-info / aktiviti yang dianjurkan jabatan atau agensi kerajaan, Abang memilih untuk mengikuti (follow) jabatan tersebut. Barulah Abang bertambah yakin apabila memperoleh maklumat dari sumber yang pertama.

Jika tidak sebelum ini, punyalah sedap Abang membaca informasi di Whatsapp komuniti, tiba-tiba kena suruh picit link kedai oren. Panas je Abang rasa.

Ketika itu baru Abang tersedar. Bukannya kerajaan tidak pernah membantu rakyatnya, tetapi rakyat sendiri yang tidak mahu ambil peduli tentang pergerakan agensi / jabatan kerajaan.

Terlalu banyak senarai bantuan atau dana yang kerajaan persekutuan / negeri peruntukkan untuk rakyatnya.

Cuma macam biasa, maklumat yang tepat ini tidak sampai apabila diselewengkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Seolah-olah rakyat Malaysia ni anak tiri kerajaan Malaysia. Walhal kerajaan Malaysia bukanlah seperti buruk disangkakan.

Tak cukup itu, Jabatan / Agensi kerajaan yang dilantik siap wujudkan perjawatan Graphic Designer (pereka) untuk menterjemahkan maklumat tersebut ke dalam poster digital.

Ingat tak, Abang pernah cakap sebelum ini?

Poster kempen kesedaran yang dikongsikan dari halaman rasmi Facebook pages mereka lebih menyakinkan berbanding poster pemilik perniagaan. Maaf cakap, Abang terpaksa berterus terang hal ini.

Poster yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) sangat menarik perhatian.

Pemilihan warna dan jenis tulisannya yang sentiasa konsisten, mencerminkan Geng Agamawan (orang panggil Pak Lebai) jauh lebih berwawasan dan professional jika dibandingkan dengan stigma masyarakat yang beranggapan, agamawan berfikiran kolot.

Kadang Abang bertanya dengan Tukang Penggali Kubur. Siapa yang lebih kolot sebenarnya?

Dan ini membuktikan, golongan agamawan ini cuba memenuhi atau mengikuti keperluan semasa rakyat Malaysia yang suka sesuatu yang indah.

Jadi benarlah lirik lagu,

“Dari mata terbitnya asmara

Senyumanmu menikamlah jiwa

Renungan mesra menjelma segera

Aku tertawan memendam rasa. “

Semasa Abang berkongsi tentang cerita tentang poster Jabatan / Agensi kerajaan, pun Abang masih tersenyum manis ala Fazura.

Mestilah Abang tersenyum. Abang pernah bersekolah di Madrasah Bugisiah Tampok, Benut Pontian Johor.

Sudah tentu Abang gembira. Inilah yang dikatakan agama Islam tidak pernah menghadkan pengikutnya berdakwah secara kreatif, tetapi kena pada tempatnya.

Terima?

Tak percaya? Follow lah Majlis Agama Islam Negeri Sembilan , kau akan nampak apa yang Abang kongsikan, fakta ke auta?

Ok lah. Burger daging Abang tempah di pasar malam pun sudah siap dimasak. Abang kena gerak dulu.

Qalas!

– Taufix Skilo (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *